
“Cuba Nasi Goreng USA” – Tok Mat Beri Respon Selepas Tucker Carlson Dakwa Kamala Harris Ada Darah Malaysia
Menteri Luar itu turut meluahkan rasa terkejut dan gembiranya apabila mengetahui bahawa seorang ‘rakyat Malaysia’ bertanding untuk menjadi presiden AS.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini (30 Oktober) berseloroh menjemput calon presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris untuk melawat ‘kampungnya’ di Malaysia dan menikmati hidangan tempatan sekiranya beliau memenangi pilihan raya presiden pada 5 November hadapan.
Mohamad Hasan atau lebih mesra disapa Tok Mat berseloroh tentang perkara itu menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya.
Dalam hantaran itu, Tok Mat turut meluahkan rasa terkejut dan gembiranya apabila mengetahui bahawa seorang ‘rakyat Malaysia’ bertanding untuk menjadi presiden AS.
Tok Mat sindir kenyataan Tucker Carlson tuduh Kamala Harris rakyat Malaysia
Perkongsian itu dilihat satu sindiran Tok Mat kepada pengulas politik AS, Tucker Carlson yang sebelum ini tanpa usul periksa mendakwa Kamala Harris berdarah campuran Malaysia menerusi laporan Weekly Echo.
“Kami tidak sedar bahawa ada seorang rakyat Malaysia yang bertanding untuk jawatan Presiden AS.
“Jika Puan Kamala menang dalam ‘perlumbaan’ ini, kami dengan gembira menjemputnya untuk balik kampung dan mencuba nasi goreng USA,” katanya secara sinis.
Sebelum ini, Carlson yang juga seorang penyokong Donald Trump telah mendakwa Harris dari wakil parti Demokratik sebagai ‘orang Samoa-Malaysia’ dalam satu perhimpunan di New York baru-baru ini.
Kamala Harris berketurunan India-Jamaica, tiada kene mengena dengan Malaysia
Walhal Harris sebenarnya dilahirkan di California, di mana ibunya, Shyamala Gopalan, seorang imigran India manakala bapanya pula, Donald Harris, berasal dari Jamaica yang berketurunan Afro-Jamaica.
Ini jelas membuktikan Kamal Harris langsung tidak mempunyai kaitan dengan Malaysia, namun Carlson tanpa kaji selidik terus membuat tuduhan secara ‘membabi buta’.
Maka tidak hairanlah jika ramai pihak yang menjadikan kenyataan oleh Carlson itu sebagai bahan jenaka dan sindiran termasuk Tok Mat sendiri.
Sekadar info, nasi goreng USA bukanlah berasal dari AS, sebaliknya ia hanyalah singkatan nama bagi nasi goreng udang, sotong dan ayam.