Starbucks Malaysia menafikan laporan bahawa lebih 100 cawangannya di seluruh negara telah ditutup secara kekal, sebaliknya menjelaskan ia hanya melibatkan beberapa kedai dan buat sementara waktu sahaja.
Menurut seorang jurucakap Starbucks Malaysia, penutupan sementara itu adalah sebahagian daripada penilaian berterusan bagi membolehkan syarikat itu menyelaraskan kedudukan mereka dengan lebih strategik, tanpa berlaku pemberhentian pekerja.
“Dakwaan bahawa lebih 100 cawangan Starbucks di Malaysia telah ditutup adalah palsu. Sementara kami telah menghentikan operasi di beberapa cawangan sahaja, kebanyakan lokasi yang dikatakan ditutup adalah bersifat sementara,” katanya dipetik Business Times.
Tambahnya lagi, apa yang lebih penting adalah tiada pekerja terjejas akibat penutupan tetap atau sementara.
“Ini kerana mereka telah ditugaskan semula ke kedai berhampiran untuk terus melayani pelanggan kami dengan lancar,” kata jurucakap itu lagi.
Meskipun beberapa lokasi disenaraikan sebagai “tidak dibuka buat sementara waktu” di laman web mereka, namun ketika ini sudah terdapat peningkatan positif dalam jualan sebaik pelanggan menyedari bahawa jenama tersebut bukan sasaran gerakan Boikot, Pemulauan, dan Sekatan (BDS).
Sebelum ini beberapa media melaporkan Starbucks Malaysia telah menghentikan operasi di lebih 100 cawangan di seluruh negara ekoran dari pergerakan yang memboikot jenama Amerika Syarikat dek kerana sokongan Washington terhadap Israel.
Sekitar Ogos lalu, pengendali Starbucks Malaysia, Berjaya Food Berhad (BFood) mengumumkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM87.34 juta bagi tahun kewangan terakhir 30 Jun tahun ini berbanding keuntungan sebelum cukai RM148.73 juta tahun sebelumnya.