Jadi Pengemis Sehingga Raih Pendapatan RM12,000 Sebulan, JIM Johor Tahan 4 Warga Asing
Menurut Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi ada pengemis warga asing yang ditahan turut menggunakan alasan membiayai sekolah tahfiz atau institusi keagamaan untuk meraih simpati.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tidak dinafikan masyarakat di Malaysia merupakan antara individu yang prihatin dengan keadaan sekelilingnya malah sentiasa mengamalkan sikap saling tolong-menolong.
Namun ada pihak yang mengambil kesempatan atas kebaikan ini apabila menjadikannya jalan mudah bagi mendapatkan wang dengan menjadi pengemis dan meminta simpati orang ramai.
Apa yang lebih menjadi perhatian, ada diantara mereka ini turut meraih pendapatan yang lumayan sehingga ribuan ringgit hasil daripada mengemis.
4 warga asing ditahan JIM Johor
Terbaharu pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor telah menahan seramai empat warga asing kerana menjadi pengemis di sebuah pasar malam di Taman Nusa Perintis, Gelang Patah pada 29 Oktober.
Warga asing tersebut ditahan dalam operasi Ops Kutip dan Ops Jaja yang dijalankan pihak JIM di kawasan itu sekitar jam 6.20 petang hingga 7.20 malam.
Menurut pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus tindakan menahan warga asing itu dilakukan selepas menerima aduan awam berkaitan kegiatan dan kewujudan pengemis dan pengutip derma warga asing di sekitar pasar malam berkenaan.
Mengemis dengan guna alasan biayai sekolah tahfiz atau institusi keagamaan untuk raih simpati
“Pengemis warga asing dipercayai telah menjalankan aktiviti meminta sedekah lebih 3 bulan di pasar malam tersebut.
“Pengemis yang ditahan dipercayai kudung sebelah kaki dan ada yang menggunakan alasan membiayai sekolah tahfiz atau institusi keagamaan untuk meraih simpati,” katanya dalam kenyataan itu.
Menerusi rekod, JIM Johor telah membuat serbuan di lokasi pasar malam berkenaan bulan Januari lepas.
Walau bagaimanapun terdapat individu lain yang dipercayai turut melakukan kegiatan itu.
Salah guna pas lawatan sosial dan raih sehingga RM12,000 sebulan dengan mengemis
“Lokasi yang strategik dan sikap mudah kasihan rakyat Malaysia terhadap golongan ini mampu memberi pendapatan lumayan kepada pengemis tersebut.
“Penahanan mereka membuktikan mereka menyalahgunakan pas lawatan sosial dan mampu meraih pendapatan sehingga RM400 sehari atau RM12,000 sebulan.
“Kesemua yang ditahan adalah dua lelaki warganegara Thailand dan seorang Kemboja. Dalam operasi tersebut, JIM Johor turut membuat pemeriksaan di gerai-gerai sekitar dan menahan seorang lelaki warga Pakistan.
“Mereka yang ditahan berusia 22 tahun hingga 56 tahun,” ujarnya.
Kesemua yang ditahan dipercayai telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.
Pihak JIM Johor memandang serius isu berkenaan dan aktiviti kutipan derma tanpa kebenaran secara bersindiket daripada terus berleluasa.
“Jabatan Imigresen Malaysia akan terus membanteras warga asing yang menyalahgunakan pas atau permit yang diberikan.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap PATI yang melanggar undang-undang,” katanya.