Kerugian Pelaburan FashionValet: Vivy & Suami Mohon Maaf, Lepas Jawatan Dalam FV
Vivy Yusof dan Fadza dalam masa sama turut menegaskan akan mengambil tanggungjawab penuh berhubung kegagalan pelaburan dalam FashionValet itu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Selepas beberapa hari diasak untuk memberikan penjelasan berhubung isu kerugian pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB), pengasas bersama FashionValet (FV), Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzarudin Shah Anuar akhirnya tampil mengumumkan bakal melepaskan jawatan dalam syarikat tersebut.
Vivy dan Fadza menerusi satu hantaran bersama di Instagram memohon maaf kepada Khazanah dan PNB berikutan kontroversi yang mengaitkan kedua-dua entiti itu sebagai pelabur FV.
Mereka dalam masa sama turut menegaskan akan mengambil tanggungjawab penuh berhubung kegagalan pelaburan tersebut.
“Sebagai dua individu yang menguruskan syarikat, ini tanggungjawab kami, Hakikatnya, kami telah mengecewakan pelabur (Khazanah dan PNB). Kami kecewa dengan diri sendiri dan kesal dengan apa yang berlaku. Kami benar-benar minta maaf.”
“Kami rasa sudah tiba masanya kami berundur daripada perniagaan (FV) dan melepaskan jawatan kami,” kata Vivy dan Fadza.
Jelasnya, adalah penting untuk mereka berdua mengeluarkan kenyataan memandangkan kedua-duanya bertanggungjawab menguruskan FashionValet.
Vivy bagaimanapun tidak menyentuh mengenai pegangan saham mereka di dalam FV.
Kegagalan FV kerana strategi agresif
Dalam kenyataan sama, pasangan suami isteri itu mengakui kegagalan FV berlaku disebabkan strategi pelaburan dan cara mereka mengembangkan syarikat dengan terlalu agresif.
Malah mereka turut menambah bilangan pekerja dan kedai fizikal sambil menjangkakan pertumbuhan berterusan.
Namun apabila Covid-19 melanda, mereka tidak bersedia dan langkah-langkah penjimatan kos yang diambil termasuk menutup laman e-Dagang tidak dapat membantu keadaan kewangan syarikat.
Terdahulu Kementerian Kewangan (MOF) menerusi jawapan bertulis bertarikh 28 Oktober memaklumkan, Khazanah dan PNB hanya menerima RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam Fashion Valet.
Kenyataan ini nyata mengejutkan orang ramai hingga ramai meminta pengasas dUCk itu untuk tampil memberikan penjelasan.
Vivy yang berdiam diri bagaimanapun dilihat berkongsi foto di Instagram Story memperlihatkan dia sedang menjalani rawatan di sebuah hospital.
Bersama posting itu, dia turut memuat naik satu kenyataan ringkas berbunyi, “Sangat banyak yang saya ingin katakan tetapi pada masa yang sesuai, Insya-Allah. Buat masa ini, saya biarkan apa yang mereka mahu kata, Cuma berhati-hati dengan fitnah yang awak sebarkan tentang orang lain.”
Selain orang ramai, Menteri Komunikasi, Fadmi Fadzil turut meminta FV, Khazanah dan PNB untuk memberikan penjelasan berhubung perkara itu.
Sebagai info, MOF turut berkata Khazanah sebelum ini melabur dalam FV sebagai satu usaha mereka pada waktu itu untuk memupuk usahawan teknologi tempatan. Manakala PNB pula mahu menyokong dan membantu syarikat runcit digital milik Bumiputera yang sedang meningkat untuk menjadi platform jualan serantau bagi jenama Malaysia.
Baca artikel berkaitan: PNB & Khazanah Jual Saham Pelaburan FashionValet RM47 Juta Dengan Nilai RM3.1 Juta – MOF
Baca artikel berkaitan: Fahmi Fadzil Minta Khazanah, PNB & FashionValet Perjelas Isu Kerugian RM43.9 Juta Dalam Saham FV
Baca artikel berkaitan: “Kami Masih Di Sini” – Panas Isu Penutupan Operasi FashionValet, Vivy Yusof Akhirnya Buka Mulut