Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Selain motosikal lama, kereta-kereta klasik daripada jenama terkemuka seperti Mercedes, BMW, Honda, Toyota juga mempunyai peminatnya yang tersendiri.
Bahkan ada yang sanggup berhabis puluhan ribu ringgit untuk memiliki dan menjaga kenderaan-kenderaan lama sebegini.
Manakan tidak, menjaga sebuah jentera lama bukanlah sesuatu yang mudah dan murah apabila ada sahaja yang perlu diperbaiki agar kereta tersebut dapat digunakan di atas jalan raya.
Kebanyakan orang Mauritania pandu Mercedes 190E
Pun begitu, lain pula dengan sebuah negara yang dikenali sebagai Mauritania di Afrika ini selepas seorang rakyat Malaysia yang berada di sana mendedahkan kebanyakan penduduk di situ memandu kereta klasik.
Apa yang menarik, kebanyakan kenderaan klasik itu merupakan dari jenama Mercedes dan model yang sama iaitu 190E.
Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di akaun TikTok @klasikmercedesmalaysia, difahamkan Mercedes 190E itu merupakan keluaran pada tahun 1982 sehingga 1992.
Peminat Mercedes klasik boleh ‘pengsan berdiri’ jika datang sini
Mercedes 190E itu masih boleh dilihat di negara lain, namun tidaklah sebanyak yang ada di Mauritania.
Menurut lelaki itu, jika mengikut nisbah boleh dikatakan 2 daripada 3 kereta di sana adalah Mercedes 190E.
Susulan itu, lelaki terbabit berseloroh dengan mengatakan peminat-peminat kereta klasik dari jenama Mercedes pasti boleh ‘pengsan berdiri’ sekiranya berada di negara ini.
Sekadar info, Mauritania merupakan sebuah negara kecil yang terletak di utara Afrika dan memiliki majoriti penduduk beragama Islam.
Negara kecil yang berada di tengah-tengah padang pasir itu tidak mempunyai sistem jalan raya seperti di kebanyakan negara lain.