“Macam Mana Dia Angkat?” – Ramai Bingung Lihat Kereta Kancil & Saga Diletak Atas Bumbung Rumah [Video]
Difahamkan, kedua-dua kereta itu diletakkan di atas bumbung rumah berkenaan dengan hanya menggunakan tangga oleh empat individu sahaja.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Selain mengubahsuai kenderaan, kebanyakan rakyat Malaysia juga gemar menghiasi rumah agar kediaman mereka kelihatan cantik.
Kebanyakan renovasi yang dilakukan adalah mengikut konsep dekorasi sedia ada seperti Minimalis, Moden, Klasik, Scandinavian dan banyak lagi.
Namun, ada pula yang suka menghiasi rumah mengikut cita rasa tersendiri agar ia kelihatan lain daripada yang lain.
Tular video rumah letak kereta Saga dan Kancil atas bumbung
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan dua buah kenderaan diletakkan di atas bumbung sebuah rumah kampung di Kedah.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @anaksulong33, kedua-dua kereta itu adalah Proton Saga generasi pertama dan Perodua Kancil model lampu petak.
Pemilik video yang dipercayai penduduk kampung berkenaan merakam klip rumah tersebut semasa sedang bersiar-siar menaiki motosikal. Jelas, rumah berkenaan menjadi tarikan kepada sesiapa sahaja yang melalui kawasan itu.
Hanya 4 orang guna tangga angkat kereta letak atas bumbung?
Pemilik video mendakwa Saga dan Kancil itu diletakkan di atas bumbung dengan hanya menggunakan tangga oleh empat individu sahaja.
Kedengaran seperti tidak masuk akal bukan? Namun itulah yang diceritakan oleh lelaki itu semasa ditanya pengguna TikTok bagaimana kedua-dua kenderaan itu diletakkan.
Pun begitu, tidak diberitahu sebab mengapa tuan rumah terbabit meletakkan kedua-dua kereta di atas bumbung rumahnya, sama ada untuk perhiasan atau sebaliknya.
Difahamkan, rumah unik dengan dua buah kereta di atas bumbung itu terletak di Kampung Matang Paku, Ayer Hitam.
Video berdurasi 21 saat itu telah meraih lebih 21,800 tanda suka dan 362,000 tontonan semasa artikel ini ditulis.
Memindai ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial berasa hairan bagaimana 4 individu boleh mengangkat kereta tersebut dan meletakannya di atas bumbung.
Tidak kurang juga yang berseloroh menyatakan rumah tersebut senang dicari oleh penghantar barangan dengan hanya melihat kereta-kereta di atas bumbung itu.