Jumaat lalu (1 November), negara dikejutkan dengan berita tangkapan enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi wanita terkenal dari Kelantan bersama 6,000 biji pil kuda di salah sebuah hotel di Sungai Golok, Thailand.
Tiga lelaki dan tiga wanita termasuk penyanyi itu ditangkap polis Thailand kira-kira pukul 5 pagi dalam satu serbuan ketika mereka berehat di bilik hotel berkenaan selepas berhibur di pusat hiburan yang terletak berdekatan kawasan itu.
Difahamkan, keenam-enam individu terbabit masuk ke negara jiran itu untuk berhibur sempena cuti perayaan Deepavali.
Dibawa ke mahkamah untuk prosiding reman
Hari ini (4 November), penyanyi wanita dari Kelantan itu bersama lima suspek yang lain telah dibawa ke Mahkamah Wilayah Narathiwat untuk prosiding reman.
Menerusi satu video tular di media sosial, kelihatan kesemua mereka menaiki trak polis sebelum meninggalkan pekarangan Balai Polis Sungai Golok untuk ke mahkamah tersebut.
Puluhan ahli keluarga dan rakan-rakan kepada kesemua suspek yang datang dari Malaysia dilihat turut hadir di balai polis itu.
Kesemua suspek ditahan sehingga siasatan selesai
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kol Pol Jedsadavit Ingprapon berkata, keenam-enam suspek itu dihantar ke Mahkamah Wilayah Narathiwat untuk mendapatkan perintah tahanan lanjut.
Menurutnya, kesemua suspek akan ditahan di mahkamah sehingga selesai siasatan berhubung kes memiliki pil kuda dan memasuki Thailand tanpa dokumen sah.
Terdahulu, media melaporkan penyanyi wanita terbabit dan lima individu yang ditahan disahkan positif dadah.