Mungkir Janji Nak Nikah, Lelaki Tak Selamat Di Akhirat Kerana Wanita Boleh Tuntut Pahalanya [Video]
Jelas Ustaz Almahiraja, seorang lelaki hanya perlu mengatakan sedang berusaha untuk menghalalkan wanita yang dikenalinya (pasangan) dan berdoa semoga mempunyai jodoh antara mereka.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap pasangan yang bercinta pasti ingin mengakhiri hubungan mereka ke jinjang pelamin. Ini kerana, mereka mempunyai perasaan sayang begitu mendalam terhadap pasangan dan mahu hidup bersama.
Ada juga jenis pasangan yang menaburkan pelbagai janji seperti ingin berkahwin, ingin memberikan kemewahan dan sebagainya sewaktu sedang hangat bercinta.
Namun mana-mana individu khususnya kaum lelaki perlu berhati-hati dalam menabur janji mereka kerana sekiranya memungkiri janji untuk menikahi seorang wanita ia boleh memakan diri apabila di akhirat kelak.
Wanita boleh tuntut pahala di akhirat jika lelaki mungkir janji nak kahwin
Baru-baru ini pendakwah yang dikenali sebagai Ustaz Raja Muhammad Al-mahi Raja Badrol Hisham menjelaskan seorang wanita boleh menuntut janji tersebut ketika di akhirat sekiranya lelaki tidak menunaikan janji untuk bernikah dengan mereka.
“Mana-mana lelaki yang pernah berjanji nak berkahwin dengan anda (wanita) lalu dia tidak tunaikan, dekat akhirat nanti anda boleh tuntut depan Allah SWT. ‘Ya Allah lelaki ini pernah berjanji nak kahwin dengan saya, nak jaga, didik saya lalu dia tidak tunaikan. Aku nak tuntut hari ini, aku nak pahala darinya’,” ujarnya dalam video di TikTok.
Berdosa jika mungkir janji nak kahwin tapi tak tunaikan
Jelas ustaz yang mesra dipanggi Almahiraja perkara itu boleh dilakukan dan menasihatkan para lelaki jangan sesekali berjanji dengan mana-mana wanita untuk mengahwininya.
Ini kerana sekiranya janji itu tidak ditunaikan ia adalah berdosa.
“Kalau anda (lelaki) berjanji lalu usaha tunaikan, kemudian tak dapat tunaikan berdosa. Kalau anda berjanji dan memang sengaja tak nak tunaikan sebab nak ambil kesempatan dekat wanita tu, dua kali berdosa.
“Sebab tu jangan janji nak kahwin dengan siapa-siapa. Jodoh ini milik Allah bukanlah dengan lamanya bercinta itu menjadi satu jaminan jodoh.
“Ada orang bercinta 10 tahun ke 20 tahun, ada yang dari sekolah rendah, sekolah menengah dari tadika pun ada yang bercinta. Akhirnya berkahwin dengan orang yang baru kenal sebulan dua,” katanya.
Cukup sekadar maklumkan sedang berusaha untuk menghalalkan wanita itu & semoga berjodohan
Jelasnya jodoh ini ditetapkan oleh Allah SWT sejak azali dengan siapa kita akan berkahwin. Oleh itu, sekiranya berjanji untuk berkahwin dengan seseorang wanita, lelaki perlu usaha untuk menunaikan janjinya.
Sebaiknya jangan berjanji tersebut, sekiranya betul-betul menyukai seorang wanita dan ingin menghalalkannya hanya cakap ‘saya sedang usaha menghalalkan awak, semoga kita berjodoh’.
“Jangan janji aku akan kahwin dengan awak, aku akan jaga awak, aku akan didik awak, aku akan bagi kemewahan dekat awak. Tidak boleh, berdosa.
“Jangan buat main dengan janji, sebab tu wanita juga janganlah paksa ‘awak janjilah kahwin dengan saya. Kalau awak tak nak janji kahwin dengan saya, saya tak nak kahwin dengan awak’.”
Tambahnya para wanita perlu meminta lelaki berusaha untuk mengahwini dirinya dan sekiranya bukan jodoh perkara itu diserahkan kepada Allah SWT.