Tular Kisah Tok Kadi & Saksi ‘Buli’ Pengantin, Tanya Macam-macam Soalan Semasa Akad Nikah
Menurut Firdaus Wong, soalan-soalan yang ditanya oleh saksi terbabit telahpun disoal oleh bapa pengantin perempuan kepada pengantin lelaki.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap pasangan khususnya wanita pasti teruja apabila menantikan saat untuk diijab kabulkan dengan insan yang dicintainya.
Oleh itu, bagi mempersiapkan diri bergelar raja sehari pelbagai persediaan yang dilakukan antaranya adalah memilih baju untuk akad nikah dan juga persandingan agar pengantin kelihatan cantik dan segak.
Bagi lelaki pula, antara perkara yang ditakuti semasa majlis akad nikah semestinya semasa proses ijab kabul itu berlangsung, jika tersasul atau tersalah sebut, sudah pasti ia tidak sah dan perlu diulang semula.
Tular kisah pengantin dibuli tok kadi
Pun begitu, lain pula dengan kisah pasangan ini apabila didakwa dibuli oleh tok kadi dengan pelbagai soalan semasa ingin bernikah di sebuah masjid di Sungai Petani, Kedah.
Perkara itu didedahkan oleh pendakwah bebas, Ustaz Firdaus Wong di akaun media sosial miliknya selepas dia menghadiri majlis akad nikah pasangan berkenaan yang merupakan sepupu isterinya.
Menurutnya, tok kadi berkenaan telah lewat menghadiri majlis tersebut selama hampir 30 minit namun tiada perkataan maaf yang keluar dari mulutnya.
“Lewat, takda minta maaf atas kelewatan apa, terus bagi tazkirah. Bagi tazkirah bukan kepada pengantin tetapi kepada tetamu.
“Antara yang dia sebut, ‘semasa majlis berlangsung, jangan ada sesiapa bersuara ke apa. Biar saja kami buat kerja kami. Jangan ada yang nak menyampuk’,” katanya.
Saksi tanya bertalu-talu soalan yang sudah disoal bapa pengantin perempuan
Kebimbangan Firdaus yang pengantin lelaki akan dibuli semasa akad nikah berlangsung menjadi realiti selepas saksi yang juga muazzin masjid berkenaan bertalu-talu menyoalkan soalan.
Menurutnya lagi, soalan-soalan yang ditanya oleh saksi terbabit telahpun disoal oleh bapa pengantin perempuan kepada pengantin lelaki.
“Tok kadi itu siap tanya, ‘set salinan pakaian ada berapa? Ada berapa? Bila pergi kursus kahwin? Kenapa 3 bulan bukan sekali. Baca syahadah, baca al-Fatihah, selawat. Baca kuat sikit tak dengar.’
“Saya dah tengok wajah ibu pengantin lelaki menahan geram. Mengeleng kepala beberapa kali. Dialah antara wanita yang dikenali sangat penyabar tetapi dapat melihat reaksi kekecewaan dan geramnya.
“Saya memanggil abang pengantin yang bertindak sebagai jurugambar, ‘Adi, apa benda saksi tu tanya benda macam tu? Bapa pengantin perempuan dah tanya semua itu dah. Bagitau dekat bapa pengantin perempuan suruh saksi itu berhentilah buli pengantin lelaki’,” katanya lagi.
Bapa pengantin perempuan kemudiannya meminta saksi agar berhenti menanyakan soalan dan terus menikahkan pasangan terbabit.
Saksi berdegil tetap nak tanya macam-macam soalan kepada pengantin lelaki
Pun begitu, saksi terbabit tetap berdegil dengan meminta bapa pengantin perempuan untuk bersabar kerana masih ada soalan yang ingin disoalnya kepada pengantin lelaki.
Firdaus yang hilang sabar selepas saksi berterusan menanyakan soalan kemudiannya bangun menegur individu itu yang dilihatnya sebagai cubaan menyusahkan urusan pernikahan kedua-dua mempelai yang sepatutnya dimudahkan.
Tok kadi ‘backup’ saksi, siap ugut nak batalkan majlis jika tidak berpuas hati
Namun apa yang mengejutkan, tok kadi pula bersuara meminta agar Firdaus dan waris keluarga pengantin yang lain untuk tidak bersuara ketika majlis berjalan.
Bahkan tok kadi itu juga didakwa melakukan ugutan untuk membatalkan majlis pernikahan terbabit dan mengarahkan mereka untuk bernikah di pejabat agama.
“Apa saya cakap tadi? Saya kata jangan sesiapa bersuara ketika majlis berjalan! Saya dah buat benda ini (akad nikah) 10 tahun dah.
“Kalau awak tak puas hati, saya boleh sahaja batalkan majlis pernikahan ini dan suruh diorang (pengantin) pergi bernikah di pejabat agama,” kata tok kadi.
Susulan kejadian itu, Firdaus menyatakan bahawa dia akan membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Kedah agar imej agama Islam tidak dicemari karektor pembuli seperti itu.
Video semasa kejadian berlaku turut tular di TikTok sebelum dipadamkan oleh ahli keluarga pengantin lelaki.