Kucing Jalanan Dari Malaysia Dinobatkan Juara Dunia Dalam ‘FIFe World Winner Show 2024’
Baby merupakan seekor kucing betina yang berusia sembilan tahun, malah dia sebelum ini berasal dari jalanan telah berjaya merangkul juara dunia dalam World Winner 2024.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kucing merupakan salah satu haiwan yang sering menjadi kegemaran ramai. Wajah dan keletah yang comel sering membuatkan orang sekeliling berasa senang dengan mereka.
Malah pemilik yang mempunyai kucing turut menjaga kebajikan si comel mereka bagaikan raja seperti menghantar ke klinik untuk membuat pemeriksaan kesihatan, memastikan mereka tidak tertekan dan sebagainya.
Bukan hanya itu, kerana minat yang mendalam terhadap kucing ada yang turut membawa si comel memasuki pertandingan antara kucing.
Dalam pertandingan ini setiap aspek dari segi kesihatan, kecantikan dan banyak lagi akan dititik beratkan sebelum memilih pemenang.
Kucing jalanan buktikan mampu rangkul juara dunia dalam Pertunjukan Kucing Antarabangsa
Terbaharu, seekor kucing jalanan dari Malaysia yang dikenali sebagai Baby telah mencipta sejarah apabila muncul sebagai juara dunia dalam Pertunjukan Kucing Antarabangsa atau nama rasminya World Winner Show 2024 yang berlangsung di Oslo, Norway pada 3 November lalu.
Baby merupakan seekor kucing betina milik pasangan suami isteri yang dikenali sebagai Shaharudin Shuib serta Rooaida Mohd Darus. Kemunculan Baby sebagai juara untuk pertandingan secara tidak langsung telah menewaskan ribuan pesaingnya dari pelbagai negara.
Tambat hati juri dengan kejinakan dan sifat manja
Malah Baby berjaya menambat hati para juri dalam pertandingan tersebut dengan kejinakan, ketenangan dan juga sifat manjanya sewaktu penilaian dilakukan dalam pertunjukan anjuran Persekutuan Kucing Antarabangan (FIFe).
Turut difahamkan tuannya juga sangat pandai menjaga dan mendandan bulu Baby sehingga ia kelihatan rapi serta cantik.
Apa yang lebih menjadi perhatian, Baby yang berusia sembilan tahun juga bersaing dengan seekor lagi kucing jantan yang juga milik pasangan berkenaan di pentas akhir untuk menentukan juaranya.
Kucing lain turut dibawa untuk wakili Malaysia di Oslo
Selain Baby, beberapa lagi ekor kucing dari pelbagai baka turut dibawa hasil inisiatif Kelab Kucing Malaysia (KKM) untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan berkenaan antaranya:
- Empat ekor kucing baka British Short Hair.
- Tiga ekor kucing jalanan.
- Seekor kucing Bengal.
“Penyertaan kali kedua ini membuahkan hasil apabila juri tertarik dengan perwatakan Baby selain piawaian lain yang memenuhi spesifikasi pemarkahan.
“Ini merupakan kali kedua Baby menyertai FIFe World Cat Show, selepas kali pertama bertanding pada 2017 di Amsterdam, Belanda, di mana Baby berjaya melangkah ke pentas final untuk pencalonan World Winner.
“Ini adalah penghargaan yang tinggi diterima kerana Baby perlu bersaing sengit dengan 1,500 ekor kucing lain yang turut menyertai pertunjukkan ini,” jelas Rooaida, dipetik Kosmo.
Selain pasangan itu, Timbalan Presiden KKM iaitu Habil Hussain serta Setiausaha Agong, Muhammad Hasbullah Ibrahim turut mengiringi kontinjen dari Malaysia ini ke Oslo untuk pertandingan tersebut.
Beri pendedahan awal dengan masuki pertandingan kucing untuk biasakan kucing dengan persekitaran
Kata Rooaida dia sebelum ini telah memberikan pendedahan awal kepada Baby dengan menyertai pertunjukkan yang diadakan bagi memberi ruang kepada si comel untuk berada di persekitaran yang terbuka.
Malah pendedahan awal diberikan itu membuatkan Baby membiasakan dirinya dengan orang ramai.
“Saya dan suami kerap bawa Baby menyertai pertunjukkan kucing dalam negara bagi membiasakan dia dengan khalayak ramai, ia dapat memupuk watak jinak dan manja.
“Baby hanyalah kucing baka biasa, kamil ambil dia dari jalanan dan kemudian dipelihara dengan baik sehingga kini.”
Dalam pada itu, KKM turut berkongsi video memaparkan momen manis saat Baby diumumkan sebagai juara untuk pertandungan tersebut.