Ramai Puas Hati Lihat Anggota Imigresen Halau Kereta Potong Q, Arah Beratur Semula Dari Belakang [Video]
Kejadian kenderaan-kenderaan diarah membuat U turn kerana cuba memotong Q itu berlaku di pintu sempadan Malaysia-Thailand, Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap kali tibanya musim cuti sekolah atau perayaan, kebanyakan rakyat Malaysia pasti tidak melepaskan peluang untuk bercuti ke luar negara.
Antara negara yang menjadi tumpuan semestinya Thailand kerana kedudukannya yang hanya bersebelahan dari Malaysia dan tidak menelan belanja yang tinggi.
Maka tidak hairanlah, sekiranya setiap kali cuti umum sudah pasti pintu sempadan seperti di Bukit Kayu Hitam, Padang Besar, Rantau Panjang dan lain-lain dibanjiri ribuan kenderaan dari negara ini.
Mereka memang sanggup beratur berjam-jam untuk masuk dan keluar dari Thailand, tetapi pasti berasa sakit hati jika ada pula pemandu yang bertindak memotong ‘queue’.
Lelaki puas hati lihat anggota imigresen halau kereta potong Q
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan seorang lelaki berpuas hati dengan tindakan pihak imigresen menghalau beberapa kenderaan yang didakwa cuba memotong barisan.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @syamimrosli, kejadian dipercayai berlaku semasa lelaki itu berada di dalam sebuah kereta yang sedang beratur untuk pemeriksaan Imigresen Malaysia sebelum keluar dari Thailand di Bukit Kayu Hitam Kedah.
“Haa itu makan dia, halau bang (anggota imigresen), halau bang, semua U turn, itu makan dia nak potong Q, ini yang kita mahukan,” katanya.
Pemandu potong Q terpaksa akur dan buat pusingan U
Dalam video terbabit, kelihatan beberapa kenderaan yang memotong barisan itu terpaksa akur dengan arahan anggota Imigresen yang sedang bertugas.
Mereka perlu membuat pusingan U dan ikut beratur bersama-sama kenderaan yang lain bermula dari belakang semula.
Dalam pada itu, lelaki terbabit turut berterima kasih kepada anggota imigresen Malaysia yang bertindak tegas terhadap pemandu-pemandu berkenaan.
Netizen puji dan puas hati dengan tindakan anggota imigresen
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial turut berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan oleh anggota imigresen itu.
Malah, mereka turut memuji tindakan tegas anggota berkenaan terhadap pemandu-pemandu terbabit.
Kalau pemandu-pemandu lain boleh beratur dan tunggu, kenapa perlu Potong Q? Berhenti daripada bersikap pentingkan diri.