Peniaga Murah Hati, Panggil Pekerja Warga Asing Yang Lalu Depan Gerai & Beri Air Soya Percuma Raih Pujian [Video]
Peniaga air soya itu kedengaran berbesar hati apabila pekerja berkenaan meminta dua air minuman sebaik mengetahui yang peniaga berkenaan mahu memberikan air kepada mereka.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap orang disarankan untuk sentiasa berbuat baik sesama insan tanpa mengira perbezaan dan latar belakang.
Namun pada masa kini, masih ada segelintir manusia yang dilihat memberikan tanggapan negatif serta layanan yang berbeza terutamanya kepada warga asing yang bekerja di negara ini.
Panggil Pekerja Dari Bangladesh Yang Kebetulan Lalu Di Gerai
Lain pula dengan seorang peniaga air soya ini yang dilihat memberikan layanan baik kepada beberapa individu yang merupakan warga asing.
Menerusi video yang dikongsikan olehnya di TikTok @mamusoya, kelihatan tiga orang pekerja pembersihan sedang melalui gerainya yang terletak di Taman Teluk Molek, Teluk Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang.
Secara kebetulan, ketiga-tiga pemuda berkenaan yang sedang membawa mesin rumput dan penyapu dilihat memandang gerai air soya milik lelaki itu.
Namun, apa yang menjadi perhatian adalah tindakan peniaga berkenaan yang memanggil mereka dan terus membungkus minuman tersebut.
Malah, dia kedengaran berbesar hati apabila pekerja berkenaan meminta dua air minuman sebaik mengetahui yang peniaga berkenaan mahu memberikan air kepada mereka.
Ada Yang Dah 5 Tahun Tinggal Di Malaysia, Ada Yang Baru Datang
Ketika menyiapkan bungkusan untuk pekerja dari Bangladesh itu, peniaga berkenaan sempat bertanyakan latar belakang ketiga-tiga individu terbabit.
Ada di antara mereka yang telahpun tinggal di Malaysia selama 5 tahun namun ada juga yang baru sahaja datang ke negara ini.
Malah, ada di antara pekerja warga asing itu kedengaran fasih berbahasa Melayu namun salah seorang daripada mereka tidak fasih memandangkan baru sahaja tiba di sini.
Namun, peniaga berkenaan menasihatkan pemuda warga asing itu agar tidak perlu risau kerana Bahasa Melayu mudah untuk dipelajari.
Sebaik sahaja selesai membungkus minuman untuk pekerja warga asing berkenaan, kedengaran kesemua pekerja tersebut mengucapkan terima kasih dan kelihatan gembira dengan pemberian berkenaan.
Pengguna Media Sosial Puji Tindakan Peniaga, Tidak Berkira Sesama Manusia
Video yang telah mendapat lebih 475,000 tontonan itu nyata mencuri perhatian ramai.
Rata-rata pengguna media sosial memuji tindakan peniaga air soya itu yang murah hati memberi minuman kepada kumpulan pekerja tersebut.
Disebabkan sikap pemurahnya itu, ada warganet yang mendoakan agar peniaga itu sentiasa dimurahkan rezeki.
Malah, ada yang menyuarakan hasrat mahu berkunjung ke gerai kecil miliknya bagi menyokong perniagaan air soyanya.
Berikut antara komen pengguna TikTok:
“Bang, Niaga Dekat Mana? 1 Malaysia Nak Tahu”
“Terbaik Abang!”
“Baiknya Abang Ni, Masih Ada Warga Tempatan Yang Baik, Semoga Allah Murahkan Rezeki”
“Semoga Allah Murahkan Rezeki Abang, Berbagi Rezeki Yang Kita Ada Tak Kira Bangsa”
Baca Artikel Berkaitan: Pekerja Gerai Rojak Sanggup Dahulukan Duit Sendiri Untuk Bantu Orang Dalam Kesusahan Raih Pujian [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Demi Hantar Duit Ke Kampung, Pekerja Pembersihan Sanggup Makan Nasi Putih & Air Kosong [Video]