fbpx
Now Reading
‘Maha Kaya’ & ‘Ketimbang’ Jadi Perkataan Baharu Masuk Kamus DBP

‘Maha Kaya’ & ‘Ketimbang’ Jadi Perkataan Baharu Masuk Kamus DBP

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berharap orang ramai dapat menerima bahawa perbendaharaan bahasa Melayu akan terus hidup serta sedang berkembang.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sering menggunakan perkataan-perkataan Melayu yang jarang digunakan oleh kebanyakan orang.

Perkataan-perkataan yang jarang didengari ini sering digunakan oleh Anwar semasa memberi ucapannya sekali gus berjaya menarik perhatian ramai.

Antara perkataan itu adalah seperti berikut:

  • Ketimbang
  • Maha Kaya
  • Kendatipun
  • Mahsul
  • Kesenjangan
  • Sementelahan
  • Walhasil
  • Marcapada
  • Arakian

Penggunaan ayat-ayat ini khususnya ketimbang yang sering digunakan di Dewan Rakyat menyebabkan segelintir Ahli Parlimen khususnya pembangkang mempersoalkan mengapakah iainya tiada dalam daftar kata Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

‘Maha Kaya’ dan ‘Ketimbang’ jadi perkataan baharu masuk kamus DBP

Terbaharu, ‘Maha Kaya’ dan ‘Ketimbang’ menjadi salah satu daripada 12 perkataan baharu yang dimasukkan pada kamus dalam talian DBP.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengesahkan tentang perkara itu dan berharap agar orang ramai dapat menerima bahawa perbendaharaan bahasa Melayu akan terus hidup serta sedang berkembang.

“Sebagai bahasa yang hidup, kosa kata bahasa Melayu sentiasa berkembang penggunaannya. Ada yang suatu ketika dahulu kerap digunakan, kini sudah dianggap klasik.

“Contohnya, dahulu digunakan tetuang udara namun kini, radio. Dahulu perkataan ujana yang dianggap klasik kini meluas digunakan yang merujuk taman. Ujana ilmu yang bermaksud taman ilmu, ujana buku yang bermaksud taman yang dipenuhi buku-buku.

“Sama ada sedar atau tidak, sudah banyak kata serantau alam Melayu atau Nusantara yang sudah terserap ke dalam bahasa Melayu kita.

“Bukan sahaja kata serantau, malah kata-kata dialek, bahasa sukuan dan sebagainya ada yang sudah diterima sebagai bahasa standard. Proses penyerapan sesuatu bahasa ke dalam bahasa lain berlaku dalam semua bahasa di dunia ini,” katanya dipetik Harian Metro.

Perkataan ‘ketimbang’ ada dalam Kamus Besar Indonesia, bawa maksud perbandingan

Menurutnya, ketimbang adalah perkataan yang ada di dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia yang membawa maksud kata untuk menandai perbandingan.

Jelas Ahli Parlimen Nibong Tebal itu, kata ketimbang juga sama ertinya atau bersinonim dengan kata daripada.

Menurutnya lagi, bagi perkataan peluncuran pula, ia mempunyai maksud yang sama dengan pelancaran iaitu hal atau perbuatan memperkenalkan produk atau program.

Perkataan ‘peluncuran’ semakin kerap digunakan pengguna bahasa Melayu

Katanya, perkataan peluncuran ini semakin banyak digunakan oleh pengguna bahasa Melayu sebagai variasi dalam konteks yang bersesuaian.

Dalam konteks ini, Fadhlina menjelaskan bahawa perkataan peluncuran mengalami peluasan makna.

“Sama halnya dengan perkataan pelancaran. Dahulunya, kata pelancaran tidak digunakan untuk merujuk kepada hal atau perbuatan melancarkan produk atau program.

“Kedua-dua perkataan ini ditemukan penggunaannya dalam bahasa Melayu berdasarkan carian daripada pangkalan data korpus bahasa Melayu yang dibangunkan oleh DBP, cuma belum terakam dalam kamus terbitan DBP.

“Kata ini akan dimasukkan dalam edisi kedua Kamus Dewan Perdana (2020). Perakaman kata dan makna baharu dalam kamus diusahakan dari semasa ke semasa selari dengan perkembangan kosa kata bahasa Melayu dan berdasarkan bukti penggunaannya oleh masyarakat,” katanya.

Fadhlina berkata demikian semasa semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar bagi Kementerian Pendidikan (KPM) di Dewan Rakyat semalam (11 November).

Selain ‘Maha Kaya dan ‘Ketimbang’, 10 perkataan lain yang dimasukkan juga adalah:

  1. Tatanan
  2. Intiha
  3. Mahsul
  4. Purbasangka
  5. Taakul
  6. Tiwikrama
  7. Kesenjangan
  8. Walhasil
  9. Kebinekaan
  10. Tatakelola
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.