“Bos Terbaik Di Malaysia!” – Majikan Berhabis RM3.1 Juta Hadiahkan Kereta Kepada Staf
Menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan Helewu Superstar,John Wong, syarikat itu pada setiap tahun sememangnya akan memberi kereta kepada staf yang telah banyak memberi sumbangan kepada syarikat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Dalam dunia pekerjaan, tidak semua orang bertuah mempunyai hubungan baik dengan majikan mereka. Ini kerana ada segelintirnya yang dilihat sering menindas dan tidak menghargai pekerja.
Namun, majoriti majikan pada masa kini dilihat lebih menghargai pekerja mereka dengan cara tersendiri.
Kebiasaannya, cara yang paling biasa dilakukan oleh kebanyakan bos adalah dengan memberi bonus dalam bentuk wang tunai sebagai tanda penghargaan.
Majikan Hadiahkan Kereta Buat Pekerja Yang Berdedikasi
Lain pula dengan seorang majikan ini yang sanggup berhabis sebanyak RM3.1 juta demi menghadiahkan kereta kepada pekerjanya.
Memetik China Press, pengasas Warakuya Japanese Restaurant dan Superstar Family KTV bermurah hati menghadiahkan kereta mewah jenis BMW 6-Series yang keseluruhannya berjumlah RM1.08 juta kepada empat orang pekerja senior di syarikatnya.
Bukan itu sahaja, dia turut memberikan hadiah kereta kepada pekerja lain yang berdedikasi dan dinaikkan pangkat termasuklah pekerja warga asing.
Selain model kereta jenis BMW 6-Series, majikan berkenaan turut menghadiahkan kereta yang terdiri daripada pelbagai model antaranya seperti Audi, Toyota, Honda dan Proton kepada pekerja yang lain.
Menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan Helewu Superstar, John Wong, syarikat itu pada setiap tahun sememangnya akan memberi kereta kepada staf yang telah banyak memberi sumbangan kepada syarikat.
Difahamkan, seramai 31 orang pekerja bertuah telah terpilih menerima hadiah kereta yang keseluruhannya berjumlah RM3.1 juta bagi tahun ini.
BMW Sebagai Lambang Status & Selesa Untuk Dipandu
Menerusi satu acara penyerahan hadiah berkenaan, John mendedahkan empat orang pekerja bertuah yang terpilih menerima kereta mewah BMW 6-Series itu adalah Ketua Pegawai Operasi Superstar KTV, pengurus Cawangan Helewu di Kuala Lumpur, pengurus Rainbow Garden di Johor Bahru serta pengurus dari cawangan Million Town.
“Empat kereta BMW ini diberikan kepada empat ‘pekerja lama’ yang telah membina syarikat bersama saya, sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka,” katanya yang dipetik dari China Press.
Tambahnya lagi, penyerahan kenderaan itu akan dilakukan secara berfasa kepada pekerjanya yang lain.
Apabila ditanya mengapa BMW menjadi pilihan, dia menjelaskan kereta BMW itu merupakan lambang kepada status dan selesa untuk pemanduan.
Siap Taja Pekerja Asing Untuk Ambil Lesen Memandu
Lebih menarik, buat pekerja asing yang turut mendapat kereta tetapi tidak mempunyai lesen, kos mendapatkan lesen tersebut akan ditaja sepenuhnya oleh syarikat sehingga mereka berjaya mendapat lesen yang sah.
“Bagi pekerja Nepal atau Myanmar, syarikat akan meminta mereka mengambil ujian memandu dan menanggung kos ujian tersebut,” katanya lagi.
Dapat BMW Kali Kedua Sepanjang Bekerja Di Syarikat
Dalam pada itu, tiga daripada empat orang pekerja berkenaan mendedahkan itu merupakan kali kedua mereka menerima hadiah berupa kereta BMW daripada majikannya.
Kesemua mereka pernah menerima hadiah kereta jenis BMW buat kali pertama pada tujuh tahun yang lepas.
Pengurus Cawangan Helewu di Kuala Lumpur yang merupakan salah seorang daripada penerima kali kedua kereta tersebut menjelaskan dia teruja dan bersyukur dengan hadiah tersebut.
“Saya sangat teruja dan gembira menerima kereta sedan BMW sebagai hadiah daripada syarikat buat kali kedua. Saya amat berterima kasih kepada bos saya dan juga diri saya sendiri atas kerja keras,” ujarnya.
Baca Artikel Berkaitan: Wanita Dapat Kereta Proton X50 Dari Majikan Selepas 10 Tahun Berkhidmat
Baca Artikel Berkaitan: “Nak Bos Macam Ni” – Ramai Teruja Lihat Majikan Sediakan Banyak Stok Makanan Buat 5 Orang Staf [Video]