Kegigihan Kanak-Kanak 12 Tahun Jaga Ibu Sakit Di Hospital Buat Ramai Berendam Air Mata [Video]
Menerusi video tersebut, kelihatan Iman tidak duduk diam malah sentiasa memastikan ibu yang menghidap penyakit strok berada dalam keadaan selesa.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ibu merupakan seorang insan yang sangat penting kepada anaknya, malah susuk tubuh ini sering dijadikan tempat untuk anak-anak bergantung.
Bukan hanya itu, ibu juga sanggup berkorban apa sahaja demi memastikan anak yang dikandung sembilan bulan dapat hidup dengan selesa, mendapat pendidikan yang baik dan bahagia bersamanya.
Oleh itu, sebagai seorang anak adalah wajib untuk kita sentiasa patuh dengannya dan menjaga dia dengan penuh kasih sayang.
Kanak-kanak berusia 12 tahun gigih jaga ibu sakit di hospital
Baru-baru ini, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun telah menjaga ibunya yang sedang sakit di hospital dengan sangat baik.
Menerusi video yang dikongsikan oleh Norasni, awalnya kelihatan kanak-kanak yang dikenali sebagai Iman sedang menguruskan ibu yang terlantar di atas katil sebuah hospital.
Sentiasa pastikan ibu berada dalam keadaan selesa, ibu sakit strok
Malah turut kelihatan dia seperti sedang bertanya kepada si ibu sekiranya mahukan perkara lain untuk dilakukan bagi memastikan wanita itu berada dalam keadaan selesa.
Dalam video dikongsikan Norasni di TikTok, dia memaklumkan Iman merupakan anak tunggal dan ibunya menghidap penyakit strok.
“Sepanjang aku (Norasni) dekat sini, dia sorang-sorang jaga ibu dia yang terkena strok. Tak duduk diam dia untuk pastikan keadaan ibunya betul-betul selesa.
“Dia akan tukarkan lampin pakai buang, lapkan badan ibunya. Dia buat seorang diri tanpa ada bantuan daripada sesiapa,” ujar Norasni.
Kanak-kanak adalah anak tunggal
Menurut Norasni lagi, ibu kepada Iman merupakan ibu tunggal dan hanya memiliki Iman dalam hidupnya.
Katanya doktor juga tidak mengetahui sama ada Iman memahami atau tidak penyakit dialami ibunya.
Bahkan doktor hanya menerangkan perkara yang perlu dibuat oleh Iman sesuai dengan umurnya.
“Semoga kuat dalam menjalan tanggungjawab sebagai seorang anak seawal 12 tahun. Kita yang tua ni belum tentu dapat buat macam mana Iman buat. Kasihnya dia, sampai sanggup berjaga siang dan malam.
“Semoga Allah SWT permudahkan urusan kau dik,” ujar Norasni lagi.
Sanggup tidur atas lantai nak jaga ibu
Norasni di ruang kapsyen turut memaklumkan ibu Iman merupakan pesakit yang berada di hadapan katilnya dan dia kasihan melihat anak kecil itu.
Ini kerana dia sanggup makan, minum dan tidur di lantai untuk menjaga ibu tercinta.
Wanita dah keluar hospital dan kini berada di rumah, keadaaan semakin pulih
Melihat di ruangan komen, seorang individu yang dikenali sebagai Mohd Izad Izuddin memaklumkan ibu kanak-kanak itu telah keluar dari hospital dan kini berada di rumah.
Katanya keadaan ibu Iman kini beransur pulih dan Iman juga telah pergi ke sekolah seperti biasa. Manakala adik-beradik ibu kanak-kanak lelaki itu juga secara bergilir menjaga wanita berkenaan di rumah.
Dalam pada itu, kelihatan ramai yang sebak dan menitis air mata dengan kegigihan Iman sepanjang menjaga ibunya.
Tidak kurang juga ada yang mendoakan agar dia menjadi seorang kanak-kanak yang berjaya di dunia dan akhirat.