Gelagat Kanak-Kanak Pakai Headphone Khusyuk Nyanyi Mendayu-dayu Buat Ramai Terhibur [Video]
Menerusi video tersebut, kelihatan kanak-kanak lelaki itu betul-betul menghayati lagu yang dinyanyikannya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kanak-kanak yang sedang membesar sememangnya mempunyai pelbagai keletah. Ini kerana, mereka sedang meneroka dunia serta mempunyai bermacam-macam persoalan.
Oleh itu, tidak hairanlah jika ada segelintir dari tindakan atau tingkah laku mereka yang adakalanya membuatkan ibu bapa atau ahli keluarga pening apabila memikirkan.
Namun adakalanya tak dinafikan kita juga terhibur melihat gelagat mereka dan perkara itu secara tidak langsung menjadi kenangan manis apabila si kecil sudah besar.
Kanak-kanak menyanyi sambil mendayu dengan penuh penghayatan raih perhatian
Baru-baru ini, tular satu video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki yang dilihat sedang asyik menyanyi sehingga menarik perhatian ramai.
Menerusi video yang dikongsikan oleh Aizam Faroq di TikTok, awalnya kelihatan kanak-kanak kecil yang juga adiknya sedang duduk di atas sebuah kerusi sambil mendengar lagu menggunakan headphone.
Namun apa yang menjadi perhatian, kelihatan kanak-kanak lelaki berkenaan turut menyanyikan lagu yang didengarnya dengan penuh bersungguh-sungguh.
Menerusi nyanyiannya itu, kanak-kanak tersebut sedang mendengar lagu nasyid berkaitan ibu bapa.
“Allah ampunkanlah segala dosa ibu dan ayahku. Kasihanilah mereka seperti mereka menjagaku,” nyanyinya.
Malah turut kedengaran suaranya begitu mendayu-dayu dan penuh penghayatan ketika menyanyikan lagu berkenaan.
Menerusi semakan kami lagu yang dinyanyikan oleh kanak-kanak tersebut adalah Doa Ibu Bapa yang dinyanyikan oleh Raqib.
Ramai terhibur dengar kanak-kanak nyanyi
Melihat di ruangan komen, ramai yang terhibur melihat gelagat kanak-kanak berkenaan sewaktu menyanyikan lagu tersebut.
Tidak kurang juga ada yang cuba meneka lagu apakah yang dinyanyikan olehnya. Ini kerana, nyanyian kanak-kanak tersebut juga seperti lari dari temponya.
Ada juga menyangka kanak-kanak itu awalnya mengaji atau mengalunkan azan sebelum mengetahui dia sebenarnya sedang menyanyi.