fbpx
Now Reading
Universiti Malaya Lantik Rizalman Sebagai Profesor Adjung Akademi Pengajian Islam

Universiti Malaya Lantik Rizalman Sebagai Profesor Adjung Akademi Pengajian Islam

Ini merupakan lantikan akademik kedua Datuk Rizalmin selepas dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Akademi Kontemporari Islam (ACIS), UiTM pada Ogos 2023.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Datuk Rizalman Ibrahim merupakan nama yang tidak asing lagi dalam dunia seni fesyen tempatan.

Berkuat kuasa 23 Oktober lalu, Rizalman telah dilantik sebagai Profesor Adjung di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM).

Menerusi lantikan selama tiga tahun itu, Rizalman diberi kepercayaan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bukan sahaja dengan para penuntut, malah tenaga pengajar dan pengurusan di akademi tersebut.

Rizalman Akan Ditawarkan Untuk Beri Syarahan & Seminar

Rizalman dalam pada itu menyifatkan pelantikan itu mempunyai makna yang besar buatnya sebagai khalifah di muka bumi.

Sebagai Profesor Adjung, Pengasas Kumpulan Syarikat Rizalman Ibrahim (RIC) itu bertanggungjawab sebagai penasihat kepada akademi tersebut, terutamanya berkaitan penyelidikan dan perundingan.

Dia juga dalam masa sama akan ditawarkan untuk memberi syarahan kepakaran dan seminar kepada pelajar serta tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi terulung negara itu.

“Ilmu Harus Dikongsi Dengan Orang Lain” – Rizalman

Bercakap kepada Awani, Rizalman berkata dia tidak menyangka akan diberi peluang sebesar itu.

Menurutnya, dia selama ini berdakwah sebagai persiapan untuk fasa selepas kematian kelak. Namun dia tidak menolak bahawa ilmu yang diperolehinya harus dikongsi dengan seluruh umat Islam, khususnya pengikut di akaun media sosial.

“Dalam masa sama seperti kita sedia maklum salah satu daripada tuntutan agama kita ialah ilmu yang ada harus dikongsi dengan orang lain agar pahala kita akan terus mengalir berpanjangan.

“Kerana itu, saya terlalu bersyukur kerana usaha saya selama ini menelaah dan mendalami ilmu-ilmu agama dan dikongsi dengan seluruh masyarakat dipandang secara positif oleh Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya,” katanya dipetik Awani.

Sumber gambar: Yayasan RI

Orang Ramai Berbeza Pendapat Dengan Pelantikan Rizalman

Menjenguk ke laman media sosial, masyarakat memberi tindak balas yang pelbagai terhadap pelantikan Rizalman sebagai Profesor Adjung itu.

Ada yang bergembira dengan berita tersebut dan mengucapkan tahniah buat Rizalman. Seorang individu turut menjelaskan bahawa pereka fesyen terkemuka negara itu telah berhijrah dan menubuhkan sebuah yayasan.

Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, turut menyambut baik berita tersebut. Katanya pelantikan itu merupakan anjakan tektonik gaya fikir agamawan akademik tanah air dan menunjukkan keanjalan pengajian Islam oleh UM.

Namun dalam masa sama, ada juga pihak yang mempersoalkan pelantikan itu dan menyifatkannya sebagai tidak bersesuaian memandangkan latar belakang Rizalman adalah di dalam bidang rekaan dan bukan pengajian Al-Quran.

Sebagai info, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendefinisikan Profesor Adjung sebagai satu gelaran kehormat yang diberikan kepada profesional, tokoh korporat dan sebagainya yang mempunyai kepakar­an dan berpengalaman luas dalam sesuatu bidang.

Rizalman Asaskan Jenama Sendiri Seawal Usia 24 Tahun

Dilahirkan di Georgetown, Pulau Pinang pada 1971, Rizalman merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Seni Lukis Dan Seni Reka (Fesyen) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pada 1995 ketika berumur 24 tahun, dia telah mengasaskan jenama tersendiri iaitu ‘Rizalman Ibrahim’. Kini antara perniagaan yang dimiliki olehnya termasuk Glam Casa, Glam Reka, Glam Weddings dan The RI Maison by Rizalman.

Pelanggan pertamanya sebagai seorang pereka fesyen ialah personaliti televisyen popular, Wan Zaleha Radzi. Lain-lain personaliti televisyen yang menjadi antara terawal mendapatkan khidmatnya termasuk Fauziah Ahmad Daud, Zarina Zainuddin dan Zakiah Anas.

Rizalman juga pernah mereka busana buat Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Selain bergiat aktif dalam dunia fesyen, Rizalman pernah menggalas tanggungjawab sebagai pereka hiasan dalaman, pengurus majlis, pengatur perkahwinan dan personaliti televisyen.

Rizalman telah menerima pelbagai anugerah antaranya Mercedes-Benz Asian Fashion Award di Anugerah Fesyen Antarabangsa-Malaysia (MIFA) 2004, Style Star Of The Year Award 2008 dan Mercedez Benz Stylo Award.

Selain di Malaysia sendiri, Rizalman juga mula menempa nama di peringkat antarabangsa apabila rekaan busananya diperagakan oleh model Naomi Campbell di Minggu Fesyen Dubai 2023 dan Lady Gaga ketika mengadakan persembahan residensinya di Las Vegas Jun lalu.

Rizalman Tubuhkan Dar Al-Qari, Sediakan Peluang Belajar Ilmu Al-Quran

Menelusuri pencapaian Rizalman dalam bidang pendidikan pula, dia sebelum ini telah dilantik sebagai Ahli Lembaga UiTM pada tahun 2020.

Tanggungjawab sebagai Profesor Adjung di UM menjadi lantikan akademik keduanya selepas dilantik juga sebagai Profesor Adjung di Fakulti Akademi Kontemporari Islam (ACIS), UiTM pada Ogos 2023.

Di samping itu, Rizalman juga telah mengasaskan Yayasan RI, dengan Dar Al-Qari sebagai salah satu cabangnya.

Menerusi pusat-pusat pengajiannya yang dikenali sebagai Pusat Pengajian Al-Quran Al-Qari, tujuan Dar Al-Qari ditubuhkan adalah bagi menyediakan peluang mempelajari ilmu Al-Quran terutamanya buat golongan dewasa.

Baca Artikel Berkaitan: Rizalman Derma Lebih RM300 Ribu Kepada UKM Bagi Naik Taraf Fasiliti Pelajar

Baca Artikel Berkaitan: [Foto] Rekaan Busana Pengasas Tudung Bernilai RM250,000 Buat Ramai Terpukau!

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.