fbpx
Now Reading
Anak Ketagih Dadah, Ibu Bina Penjara Dalam Rumah Untuk Lindungi Diri & Jiran

Anak Ketagih Dadah, Ibu Bina Penjara Dalam Rumah Untuk Lindungi Diri & Jiran

Menurut wanita berkenaan dia membina penjara itu lengkap dengan fasiliti seperti bilik air, katil, wifi termasuklah CCTV untuk memantau kegiatan anaknya yang ketagih dadah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seseorang yang bergelar ibu pasti akan berusaha melakukan apa sahaja demi anak yang tercinta.

Malah mereka tentunya ingin melihat anak dikandungkan menjadi insan yang berguna kepada agama, negara dan bangsa.

Ibu bina penjara di rumah kerana anak ketagih dadah

Perkara sama turut dilakukan oleh seorang ibu di Thailand apabila sanggup membina penjara di dalam rumah kerana mempunyai anak yang ketagih dadah.

Memetik laporan Oddity Central, selepas lebih 20 tahun hidup dalam ketakutan kerana mempunyai anak yang ketagih dadah, seorang ibu berusia 64 tahun di wilayah Buriram mengambil langkah luar biasa itu untuk melindungi dirinya dan jiran tertangga.

Oleh itu, dia telah mengupah kontraktor untuk membina jeriji besi tersebut di dalam rumah bagi mengurung anak lelaki yang berusia 42 tahun daripada terus mengganas.

Dah cuba macam-macam cara untuk selamatkan anak, buat penjara kerana bimbang keselamatan sendiri

Wanita itu turut memberitahu polis bahawa dia sudah mencuba segala-galanya untuk menyelamatkan anak lelakinya itu selama bertahun-tahun. Malah sebelum ini dia telah mencuba lebih daripada 10 pusat berbeza di seluruh negara.

Namun ia tidak membuahkan hasil dan anak lelakinya itu semakin mengganas. Apa yang lebih memburukkan keadaan anaknya itu tidak hanya ketagih dadah bahkan turut ketagih berjudi.

“Selama 20 tahun, saya hidup dalam ketakutan. Saya tinggal bersama anak lelaki selepass suami meninggal dunia. Salah satu punca menyebabkan kematian suami saya adalah kerana tertekan disebabkan anak ketagih dadah.

“Saya memasang jeriji besi di rumah kerana saya bimbang mengenai keselamatan saya dan jiran,” katanya kepada wartawan.

Penjara turut disediakan kelengkapan seperti katil, bilik air dan banyak lagi

Sebelum ini pada 23 Oktober yang lalu, wanita itu memaklumkan dia terpaksa menghubungi polis kerana tidak dapat mengawal anak lelakinya.

Anak lelakinya itu kemudian dihantar ke hospital. Namun kerana tahu anaknya itu pasti akan pulang ke rumah maka dia nekad memasang tirai besi terbabit.

“Bilik yang mempunyai jeriji itu bagaimanapun mempunyai fasiliti lengkap seperti bilik air, katil, termasuklah wifi.

“Saya mereka lubang kecil untuk meletakkan makanan dan minuman kepada anak saya serta memasang kamera litar tertutup untuk memantau kelakukannya 24 jam.

“Saya percaya tindakan ini dapat melindungi saya dan jiran daripada sikap agresifnya (anak lelaki).”

Walau bagaimanapun, tindakan wanita itu memasang jeriji besi di rumah tidak disenangi oleh segelintir pihak yang datang melawat ke rumahnya.

Seorang jurucakap memberitahu wartawan wanita itu boleh didapati bersalah kerana melanggar hak asasi manusia dan penahanan yang menyalahi undang-undang.

“Tindakan wanita itu mungkin melanggar Perkara 310 Kanun Jenayah, di mana penahanan yang menyalahi undang-undang yang boleh mengakibatkan kematian atau kecederaan serius. Boleh dihukum penjara tiga tahun hingga 15 tahun,” ujar Ketua Polis Daerah.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.