fbpx
Now Reading
Karnival Minggu Sains Negara & Malaysia Techlympics 2024 Pupuk Minat Anak Muda Dalam Bidang STI

Karnival Minggu Sains Negara & Malaysia Techlympics 2024 Pupuk Minat Anak Muda Dalam Bidang STI

Selain Karnival Minggu Sains Negara & Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Akhir Kebangsaan, turut diadakan adalah penyampaian Anugerah Saintis Muda semasa majlis perasmian penutup karnival tersebut.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) merupakan bidang yang kurang mendapat perhatian terutama dalam kalangan generasi muda pada masa kini.

Ia dapat dilihat berdasarkan Kajian Kesedaran Awam Mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Malaysia 2022 yang dilaksanakan oleh Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Hasil kajian tersebut menunjukkan penglibatan pelajar dalam bidang STEM menurun sepanjang tempoh 2017 hingga tahun 2022 daripada 45.20% kepada 40.94%.

Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh MOSTI sebagai cara untuk memupuk dan membudayakan bidang STEM dalam kehidupan rakyat Malaysia khususnya generasi pada masa kini.

Baca Artikel Berkaitan: Minat Golongan Muda Terhadap Bidang STEM Semakin Membimbangkan – Menteri Sains, Teknologi & Inovasi

MOSTI Anjur Minggu Sains Negara (MSN), Budayakan STI Secara Konsisten & Berterusan

Sebagai membudayakan STI dalam kehidupan rakyat Malaysia secara konsisten dan berterusan, MOSTI telah menganjurkan Karnival Minggu Sains Negara (MSN) bermula 17 hingga 18 November bertempat di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya.

Melalui karnival tersebut, pelbagai pengisian interaktif telah diadakan antaranya seperti pameran menerusi reruai, demonstrasi sains dan bual bicara yang berteraskan STI.

Sebelum ini, MOSTI telah menganjurkan sebanyak lapan siri Karnival MSN di seluruh negara sepanjang tahun 2024 dengan mencatatkan hampir 100,000 orang pengunjung.

Lebih menarik, pelaksanaan MSN secara pengisian aktiviti bulanan dan dalam talian bermula pada April 2024 dan berakhir pada Oktober lalu turut berjaya merekodkan hampir 2.4 juta penglibatan dari seluruh negara.

Pelaksanaan Minggu MSN merupakan kali ketujuh sejak dilancarkan pada tahun 2018.

Foto: Fatin/BuzzKini

Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Akhir Kebangsaan Turut Diadakan Secara Serentak

Dalam pada itu, Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Akhir Kebangsaan turut diadakan secara serentak bersama karnival MSN.

Ia merupakan inisiatif MOSTI dalam usaha memupuk minat generasi muda terhadap bidang STEM melalui pertandingan.

Sejak Julai 2024, program Malaysia Techlympics berjaya menarik 652,613 ribu penyertaan dari seluruh negara dengan penyertaan seramai lebih 2,000 orang peserta dari 538 pasukan melibatkan 232 pasukan sekolah rendah, 278 pasukan sekolah menengah dan 28 pasukan belia pada peringkat akhir kebangsaan 2024.

Foto: Fatin/BuzzKini

MOSTI Laksana Inisiatif, Pupuk Minat Generasi Muda Terhadap Bidang STI

Tidak hanya itu, MOSTI turut mempergiatkan pembudayaan STI melalui aktivititi pembelajaran secara bukan formal di luar bilik darjah serta melalui hands on secara langsung daripada pakar dan pengamal bidang STI.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dalam ucapannya ketika Majlis Perasmian Penutup Karnival MSN dan Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Akhir Kebangsaan pada hari ini (18 November), pelaksanaan inisiatif tersebut selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 – 2030.

Foto: Fatin/BuzzKini

Pada masa yang sama, Chang turut memaklumkan MOSTI telah menyenaraikan 100 orang saintis tempatan bagi pelaksanaan Program Jangkau Luar (outreach) ke 100 buah sekolah seperti yang diminta oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 17 Julai lalu.

“Gerak kerja 100 saintis di bawah program yang dinamakan sebagai STI 100 on the power of Three (STI 1003) pada awal bulan Oktober.

“Program tersebut melibatkan 100 saintis, 100 sekolah dan 100 hari tempoh pelaksanaan program serta diharapkan dapat menghasilkan impak yang signifikan dalam peningkatan minat pelajar sekolah kepada bidang STEM.

“Secara keseluruhannya, pelaksanaan STI 100 on the power of Three (STI 1003) telah menunjukkan komitmen yang tinggi oleh para saintis ini menjadikan program tersebut sebagai pemangkin utama untuk pembangunan bakat STI yang adaptif melalui pemerkasaan Pendidikan STEM,” katanya.

Ketika majlis perasmian tersebut, Chang turut menyempurnakan penyampaian Anugerah Saintis Muda sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan MOSTI terhadap kerja dan pencapaian cemerlang individu dalam bidang penyelidikan dan Pembangunan (R&D) negara.

Foto: Fatin/BuzzKini

Sebanyak lima kategori utama dipertandingkan melibatkan kategori Biologi, Fizik, Kimia, Perubatan dan Kejuruteraan.

Melalui penganugerahan tersebut, penerima bakal membawa hadiah berupa wang tunai berjumlah RM20,000 bagi setiap kategori.

Antara senarai penerima anugerah mengikut kategori adalah seperti berikut:

  1. Dr Wong Sok Kuan (Biologi)
  2. Prof Madya Ts Dr Lim Seng Joe (Kimia)
  3. Prof Madya Dr Siti Fairus binti Abdul Sani (Fizik)
  4. Prof Madya Dr Elena Aisha binti Azizan (Perubatan)
  5. Ts Dr Ahmad Ilyas bin Rushdan (Kejuruteraan)

Sebarang maklumat lanjut mengenai Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics, anda boleh melayari laman web rasmi MSN di sini dan Techlympics di sini.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.