Bapa Tekad Berhenti Merokok Demi Derma Buah Pinggang Kepada Anak Buat Ramai Tersentuh [Video]
Menurut anak lelaki dikenali sebagai Dr Zulkifli, si bapa telah mengambil keputusan untuk berhenti merokok sepenuhnya sebaik berniat untuk mendermakan buah pinggang buatnya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tidak dapat dinafikan, bukan semua di antara kita yang berada dalam keadaan sihat serba-serbi.
Dalam waktu kita sedang mengharungi dan bergelut dengan masalah kesihatan, orang tersayang dan keluargalah yang selalu menunjukkan sokongan serta semangat terutama sekali ibu bapa.
Sehinggakan ramai di antara golongan itu yang sanggup mengorbankan segalanya hanya untuk melihat anak mereka sihat walafiat seperti sedia kala.
Bapa Henti Hisap Rokok Untuk Derma Buah Pinggang Kepada Anak
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok (@dr.zulkifli) menyaksikan seorang bapa sedang melakukan latihan pernafasan menggunakan alat dikenali sebagai ‘Nemo Incentive Respiratory Exerciser’ ketika berada di dalam wad sebuah hospital.
Menurut anak lelakinya yang dikenali sebagai Dr Zulkifli, si bapa sedang bersiap sedia untuk menjalani operasi pemindahan buah pinggang buat dirinya pada hari ini (19 November).
Difahamkan, Dr Zulkifli sedang mengalami kegagalan buah pinggang tahap ke-5 sejak tahun 2020.
Perkara yang menyentuh hati adalah apabila Dr Zulkifli mendedahkan bahawa si bapa pada awalnya adalah seorang perokok.
Namun disebabkan mahu mendermakan organnya buat si anak, bapa tersebut sanggup meninggalkan tabiat buruknya dan berhenti merokok serta-merta.
“Ayah saya adalah bekas perokok yang sangat suka Gudang Garam (jenis rokok). Apabila dia mengambil keputusan untuk mendermakan buah pinggangnya kepada saya, dia berhenti merokok sepenuhnya,” ujar Dr Zulkifli pada ruangan kapsyen video.
Menerusi klip itu, si bapa tersebut kelihatan ceria walaupun akan berdepan dengan pembedahan tidak lama lagi.
@dr.zulkifli Tomorrow is the transplant day. May Allah ease everythings
♬ original sound – Zulkifli_Ayub
Ramai Sebak Lihat Si Kasih Bapa Untuk Pastikan Anak Sembuh
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai meluahkan rasa sebak mendengar kisah bapa Zulkifli yang sanggup meninggalkan rokok untuk kesihatan anaknya.
“Kasihnya ayah. Demi anak sanggup berbuat apa sahaja. Moga sihat-sihat sahaja keduanya lepas ni,” ujar seorang wanita.
Warganet juga dilihat tidak terlepas menitipkan doa agar kedua-dua anak lelaki dan si bapa itu mendapatkan kesihatan yang terbaik pada masa akan datang.
“Semoga tuan dan ayahanda dipermudahkan urusan. Hats off pakcik, father of the year,” kata seorang pengguna TikTok.
Sementara itu, segelintir individu turut berkongsi kisah ahli keluarga yang tidak berkira dan berkorban demi kesihatan orang tercinta.
“Semoga dipermudahkan urusan. Tahun 2019, abang dan kakak saya buat pemindahan ginjal. Alhamdulillah dua-dua sihat. Kasih sayang tidak ternilai sehingga sanggup berkorban untuk tersayang,” jelas seorang individu.
Kami dari team TRP mendoakan agar prosedur pemindahan buah pinggang berjalan dengan lancar dan agar Dr Zulkifli bersama bapanya dikurniakan kesihatan yang baik, Insya-Allah.
Kaedah Pendermaan Organ Semasa Hidup Di Malaysia
Menurut Unit Perkhidmatan Transplan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seseorang yang masih hidup boleh mendermakan sebahagian dari hatinya (liver) atau salah satu buah pinggang.
Namun di Malaysia, KKM hanya membenarkan pendermaan organ semasa hidup kepada ahli keluarga terdekat yang mempunyai pertalian darah. Ini termasuk pasangan kembar seiras, ahli keluarga darjah pertama (first degree relative) dan ahli keluarga darjah kedua (second degree relative).
Anda juga boleh menderma kepada suami atau isteri yang sah. Sekiranya anda mahu menderma organ kepada seseorang yang tidak mempunyai pertalian darah atau ahli keluarga yang jauh (ahli keluarga darjah ketiga ke atas), anda perlu menjalani penilaian oleh satu Jawatankuasa bebas dilantik oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Anda mungkin diberikan kelulusan untuk pendermaan organ berdasarkan kepada penilaian Jawatankuasa bebas tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: Motor Ditarik Oleh Bank, Bapa Sanggup Jalan Kaki 8KM Hantar Anak Ke Sekolah
Baca Artikel Berkaitan: Raih 38 Juta Tontonan, Kisah Hiba Si Ayah Tahan Lapar 4 Hari Demi Anak Sakit Leukemia Jadi Perhatian
Baca Artikel Berkaitan: Demi Anak Sakit, Ibu Sanggup Kayuh Basikal Dalam Gelap Untuk Jemput Ambulans [Video]