fbpx
Now Reading
Perlu Solat Sambil Dukung Bayi? Ini Syarat & Caranya [Video]

Perlu Solat Sambil Dukung Bayi? Ini Syarat & Caranya [Video]

Terdapat beberapa syarat yang perlu diikuti ketika ingin mendirikan solat sambil mendukung bayi antaranya ibu bapa perlu memastikan si kecil dalam keadaan bersih dan bebas daripada sebarang najis.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Setiap ibu bapa yang mempunyai anak kecil atau bayi pasti memahami beberapa kesulitan yang dialami setiap kali ingin mendirikan solat.

Ini kerana bayi dan anak kecil ini mempunyai pelbagai ragam, adakalanya mereka hanya akan diam dan bermain sendiri. Namun ada juga masa mereka menangis dan meragam sehingga membuatkan para ibu atau bapa risau serta sukar fokus untuk melakukan kerja harian.

Akan tetapi solat pula merupakan ibadah wajib yang tidak boleh ditinggalkan dan perlu dilakukan walau dalam apa jua keadaan.

Sebenarnya, terdapat panduan sekiranya ibu bapa ingin mendirikan solat sambil mendukung bayi.

Tular video memaparkan lelaki sedang solat sambil mendukung bayi

Baru-baru ini, tular di media sosial satu video memaparkan seorang bapa yang juga imam sedang mendirikan solat sambil memegang bayinya.

Menerusi video dikongsikan oleh Souldigested di Instagram awalnya kelihatan lelaki itu berdiri sambil mendukung bayi berkenaan dengan kedua tangan. Perkara sama turut dilakukan oleh imam terbabit sewaktu dia tunduk untuk rukuk.

Manakala ketika ingin sujud lelaki itu meletakkan bayinya di tengah sejadah dan sujud seperti biasa. Lelaki itu turut meninggalkan bayi berkenaan di atas sejadah dan berdiri untuk rakaat seterusnya.

Namun dia juga dilihat mendukung semula bayi berkenaan apabila si comel itu menangis.

Rasulullah juga pernah dilihat menunaikan solat sambil mendukung bayi

Memetik laporan Kosmo, sebelum ini ada individu yang bertanya adakah umat Islam dibenarkan untuk mendirikan solat sambil mendukung bayi.

Jelas artikel itu menurut hadis yang diriwayatkan dari Abi Qatadah Al-Ansari R.A katanya:

“Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah menunaikan solat dalam keadaan memikul atau mendukung Umamah Binti Zainab Binti Rasulillah SAW dan dia merupakan anak kepada Abu Al-‘Ash bin Rabi’ah bin ‘Abd Syams.”

“Apabila sujud, baginda meletakkannya. Dan apabila baginda berdiri baginda mendukungnya.” – Riwayat Imam Al-Bukhari (516).

Manakala dalam satu lagi riwayat lain dari Abu Qatadah R.A mengatakan:

“Aku melihat Rasulullah SAW menjadi imam kepada orang ramai dalam keadaan beliau mendukung Umamah binta Abi Al ‘Ash di atas tengkuk baginda. Apabila baginda rukuk, baginda meletakkannya dan apabila baginda bangun baginda mengangkatnya semula.” – Riwayat Imam Al-Nasai (827).

Ada syarat perlu dipatuhi ketika solat bersama bayi khususnya berkaitan najis

Imam Al-Nawawi Rahimullah pula mengeluarkan beberap pendapat berhubung hadis berkenaan. Menurutnya ada dalil akan sahnya solat seseorang individu yang mendukung anak mahupun haiwan yang suci.

Contoh haiwan suci seperti burung, kambing dan sebagainya. Bukan hanya itu, perlu dipastikan juga pakaian dan jasad anak kecil atau bayi bersih daripada sebarang najis.

Jelas ulama itu lagi perbuatan yang sedikit itu sama sekali tidak membatalkan solat, serta jika dilakukan berulang kali namun tidak secara berturutan, walhal dilakukan secara berasingan tidak membatalkan solat.

Selain itu pada hadis itu juga menunjukkan sifat tawadhu’ dengan kanak-kanak serta keseluruhan golongan yang lemah, menyayangi mereka dan saling berlemah lembut kepada mereka. (Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (5/198).

Perkara sama turut dijelaskan oleh pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus menerusi satu video kuliah pada beberap tahun lalu.

Syarat-syarat untuk solat sambil dukung bayi

Menerusi laman Facebook Kuliah Agama yang memetik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terdapat beberapa syarat yang perlu dilakukan sekiranya ingin melakukan solat sambil mendukung bayi.

  • Bayi perlu bebas dari sebarang najis. Ibu bapa atau penjaga perlu memastikan lampin si comel ditukar sebelum mendirikan solat.
  • Kawal pergerakan agar tak melakukan pergerakan anggota besar lebih tiga kali berturut-turut. Selain itu pergerakan lain juga perlu dikurangkan supaya ia tidak menghilangkan fokus atau khusyuk.
  • Dada perlu dipastikan sentiasa menghadap ke arah kiblat.
  • Sebaiknya ia dilakukan ketika berada dalam keadaan yang betul-betul memerlukan. JAKIM turut menegaskan adalah baik jika seorang individu dapat menjaga anak sewaktu si ibu atau bapa ingin mendirikan solat.

Cara-cara untuk mendukung bayi ketika solat:

  • Mulakan niat solat seperti biasa ketika mendukung bayi.
  • Ketika takbiratul ihram, individu tak perlu mengangkat kedua tangan dan meletakkan di atas pusat jika sedang mendukung si comel. Ini kerana takbiratul ihram merupakan rukun qauli di mana ia wajib dibaca atau lafaz dan bukan fi’li iaitu perbuatan.
  • Membaca surah Al-Fatihah seperti biasa dan surah pilihan jika bersesuaian atau keadaan mengizinkan.
  • Rukuk dengan tangan memegang bayi. Tak perlu letak pada lutut jika luar dari kemampuan sewaktu sedang mengendong bayi.
  • Sewaktu ingin sujud, bayi diletakkan di sebelah dan sujud seperti biasa. Sebaik selesai melakukan sujud yang kedua, individu boleh mendukung semula bayi dan solat seperti biasa sehingga selesai solat.
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.