Tindakan Pantas Lifeguard Hotel Hard Rock Selamatkan Kanak-kanak Nyaris Lemas Raih Pujian Ramai [Video]
Dalam video terbabit, kelihatan kanak-kanak berkenaan sudahpun tenggelam beberapa saat sebelum diselamatkan oleh lifeguard terbabit.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Bermandi-manda di kolam renang, sungai mahupun air terjun merupakan antara aktiviti yang paling digemari oleh kebanyakan kanak-kanak.
Bahkan, aktiviti riadah sebegini juga bagus untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan antara ibu bapa dan anak-anak.
Pun begitu, ibu bapa mahupun penjaga mestilah memantau anak-anak terutamanya yang masih kecil bagi mengelak kejadian yang tak diingini berlaku.
Tular video lifeguard Hard Rock selamatkan kanak-kanak hampir lemas
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan tindakan pantas seorang lelaki yang juga ‘lifeguard’ Hotel Hard Rock selamatkan kanak-kanak yang nyaris lemas di sebuah kolam renang.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @stapagonjeng, video terbabit pada awalnya diambil oleh seorang wanita yang sedang merakam gelagat suami dan anaknya di kolam renang kanak-kanak itu.
Ketika kejadian, wanita itu tidak menyedari akan kanak-kanak terbabit yang sedang tenggelam berdekatan sebuah ‘water slides’ berwarna biru kerana fokus melihat keluarganya.
Fokus anak dan suami mandi, terkejut tiba-tiba lifeguard terjun dalam kolam
Bagaimanapun, dia terkejut selepas pekerja Hard Rock berkenaan berlari dengan laju sebelum terjun ke dalam kolam.
“Aku tengah rakam Stapa (suami) dan anak aku tengah mandi, terkejut aku tengok pekerja Hard Rock ini berlari punya pantas pergi selamatkan budak dari lemas,” tulisnya di dalam video.
Kanak-kanak nyaris lemas berjaya diselamatkan
Dalam video terbabit, kelihatan lelaki berkenaan dengan pantas mengangkat kanak-kanak itu yang sudahpun tenggelam beberapa ketika.
Tindakan pantas itu menyebabkan kanak-kanak perempuan terbabit berjaya diselamatkan.
“Pergi mandi tempat-tempat macam ini kena ‘alert’, kalau tak lemas takpa, kalau lemas hmm menyesal seumur hidup nanti. Jaga-jaga tau anak korang kalau bawa mandi di kolam,” tulisnya di kapsyen.
Ramai persoal di mana ibu bapa kanak-kanak yang lemas itu
Memindai ke ruangan komen, kebanyakan pengguna media sosial yang melihat video terbabit mempersoal di manakah keberadaan ibu bapa kanak-kanak itu semasa kejadian berlaku.
Tidak kurang juga yang mengecam kerana ibu bapanya tidak mengawasi kanak-kanak itu semasa bermain air di kolam renang sehingga terjadi sebegitu.
Segelintir individu juga memuji tindakan pantas yang dilakukan oleh lifeguard berkenaan menyelamatkan budak perempuan berkenaan.