fbpx
Now Reading
Polis Tahan Warga Emas Cuba Serang Pekerja Bengkel Dengan Pisau Kerana Bawa Motosikal Laju

Polis Tahan Warga Emas Cuba Serang Pekerja Bengkel Dengan Pisau Kerana Bawa Motosikal Laju

Insiden cuba menyerang menggunakan pisau berkenaan telah dilaporkan oleh pekerja di kedai tersebut kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada malam 18 November.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Melihat individu membawa kenderaan dengan laju sememangnya menimbulkan rasa risau, lebih-lebih lagi jika tindakan itu dilakukan di kawasan awam yang dipenuhi orang ramai dan kanak-kanak.

Selain itu, terdapat juga kenderaan yang menghasilkan bunyi yang kuat, sekaligus menyebabkan pencemaran bunyi terhadap orang sekeliling.

Mungkin ada sesetengah masyarakat yang akan mengambil tindakan dengan menegur perkara tersebut dengan elok. Namun lain pula yang terjadi apabila teguran seseorang itu bertukar menjadi panas sehingga boleh mencetuskan pergaduhan.

Warga Emas Tegur Pekerja Bengkel Bawa Motosikal Dengan Laju

Dalam satu video tular di X (@Update11111), seorang warga emas telah menegur pekerja di sebuah pusat servis motosikal kerana didakwa membawa motosikal dengan laju dan menyebabkan bunyi bising.

Individu yang merakam kejadian itu menunjukkan bahawa lelaki tua tersebut telah membawa pisau bersama sewaktu menegur pekerja terbabit.

Difahamkan pekerja berkenaan membawa motosikal untuk mengambil alat gantian atau ‘spare part’ daripada tempat lain.

“Motor bising. Bukan orang bising,” individu tersebut menjelaskan kepada warga emas itu.

Namun warga emas itu tetap bertegas dengan tegurannya dan mengingatkan bahawa membawa motosikal dengan laju boleh mendatangkan bahaya kepada orang sekeliling, terutama sekali kanak-kanak.

Warga Emas & Pekerja Bergelut, Pisau Berjaya Dirampas

Pekerja bengkel yang kelihatan agak muda itu pada mulanya menjawab kembali, tetapi mendiamkan diri sahaja apabila diingatkan lagi sekali agar tidak membawa motosikal dengan laju.

Namun tidak semena-mena lelaki warga emas terbabit bertindak menampar pekerja berkenaan sebelum dia ditolak sebagai tindakan mempertahankan diri.

Perkara itu tidak terhenti di situ apabila warga emas tersebut mencabut pisau daripada sarungnya sebelum cuba menyerang pekerja di bengkel berkenaan.

Dia walau bagaimanapun dapat dijatuhkan selepas bergelut dengan pekerja tadi, sebelum seorang individu lain berjaya merampas pisau daripada tangannya.

Lelaki Tua Dimarahi Orang Awam

Orang awam di sana kemudiannya cuba menenangkan warga emas berkenaan dan mempersoalkan tindakannya yang membawa pisau bersama. Mereka juga memarahi warga emas itu atas tindakannya.

“Nak masuk penjara ke? Tak ada benda lain nak buat?” tanya seorang individu kepada lelaki tua terbabit yang kini bercakap dengan lebih tenang.

Pada akhir video, kelihatan pisau yang dirampas dalam pergelutan sebentar tadi dipulangkan semula kepada warga emas itu. Dia kemudiannya pergi meninggalkan bengkel berkenaan.

Kedengaran juga seorang individu menasihati pekerja bengkel tadi supaya tidak lagi membawa motosikal dengan laju selepas ini.

“Kalau Report Polis, Uncle Ni Yang Paling Sakit” – Pengguna Media Sosial

Melihat ke ruangan balas, orang ramai berpendapat warga emas itu telah melakukan salah yang besar, malah boleh dikenakan cas cubaan membunuh, akibat tindakannya.

Beberapa individu merasakan teguran warga emas tersebut terhadap pekerja yang membunyikan motosikal dan membawanya dengan laju adalah bagus, namun menjadi kesalahan apabila melakukan serangan terlebih dahulu.

Ada juga yang berpendapat lelaki muda itu sepatutnya terus meminta maaf apabila ditegur mengenai tindakannya.

Seorang pengguna media sosial pula memberi cadangan bahawa warga emas itu sepatutnya hanya melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa dan tidak mengambil tindakan sedemikian.

Suspek Warga Emas Ditahan 4 Jam Selepas Insiden

Menerusi hantaran di Facebook Polis Bentong, kejadian yang tular itu telah berlaku di sebuah premis membaiki motosikal di Karak sekitar 8.50 malam, 18 November.

Insiden berkenaan telah dilaporkan oleh pekerja di kedai tersebut kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada malam sama.

Sehubungan itu, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan.

Suspek yang merupakan seorang lelaki berumur 52 tahun telah ditahan dengan pisau terbabit dirampas pada 12.45 tengah malam, 19 November, di kediamannya. Dia kini masih dalam tempoh reman sehingga 21 November bagi tujuan siasatan.

“Semakan dapati suspek tidak mempunyai risiko jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga dapati suspek negatif dari penyalahgunaan dadah,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Zaiham Mohd Kahar meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.