Nak Beri Bonus Penjawat Awam Negeri Kena Dapat Kelulusan MOF? Ini Penjelasan MB Terengganu [Video]
Menurut Ahmad Samsuri, isu bonus penjawat awam negeri perlu kelulusan MOF itu mula timbul sejak Kerajaan Persekutuan mengenakan sekatan terpilih royalti kepada Terengganu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Selasa lalu (19 November), Kerajaan Terengganu telah membentangkan Belanjawan 2025 yang memperuntukkan sejumlah RM1.887 bilion untuk mengurus dan meneruskan pembangunan negeri itu bagi tahun hadapan.
Bagaimanapun, dalam pembentangan itu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri tidak mengumumkan sebarang bonus kepada penjawat awam negeri berkenaan.
Menurutnya, pihak kerajaan negeri perlu menunggu kelulusan serta pengesahan daripada Kementerian Kewangan (MOF) terlebih dahulu sebelum boleh mengumumkan tentang pemberian bonus terbabit. Beliau berkata demikian semasa diajukan soalan oleh wartawan menerusi satu video yang tular di media sosial.
Terbaek Calon PM 11 dari PAS ni sampai nak bagi bonus kat kakitangan negeri pun kena tunggu pengesahan dari MOF.
— Mr.Nazril (@Nazril_Iznil) November 18, 2024
Maksudnya kebergantungan sepenuhnya dari Kerajaan Persekutuan. Nak cari sendiri nampaknya tidak berkemampuan. pic.twitter.com/MsqZPwddGg
Jawapan yang diberikan oleh Ahmad Samsuri itu telah menarik perhatian ramai sekali gus mencetuskan pelbagai kritikan terhadapnya.
MB Terengganu tampil beri penjelasan isu bonus perlu tunggu kelulusan MOF
Cakna dengan perkara terbabit, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu tampil memberi penjelasan berhubung isu tersebut menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di akaun media sosial miliknya semalam (21 November).
“Di luar sana masih ada yang bertanya atau mungkin buat-buat tanya, sejak bila nak beri bonus kena dapatkan kelulusan MOF.
“Ini pun tak sihat, orang Terengganu kata ‘dok segar’, persoalannya kepana perkara seperti ini timbul?” katanya.
Kerajaan Persekutuan kenakan sekatan terpilih royalti kepada Terengganu
Jelasnya, isu pemberian bonus penjawat awam negeri yang memerlukan kelulusan MOF terlebih dahulu mula timbul sejak Kerajaan Persekutuan mengenakan sekatan terpilih royalti kepada Terengganu.
Ujar Ahmad Samsuri, sehingga hari ini segala urusan perbelanjaan negeri Terengganu yang berkait dengan peruntukan daripada royalti dipaksa untuk mendapatkan kelulusan daripada MOF terlebih dahulu.
“Lebih menyusahkan, pegawai kerajaaan negeri terpaksa berulang alik setiap minggu ke Putrajaya untuk membuat permohonan satu persatu ‘case by case’ kepada MOF bagi mendapatkan kelulusan peruntukan daripada wang royalti yang merupakan hak kita, hak rakyat negeri Terengganu,” katanya lagi.
Ada yang bertanya, “Sejak bila nak beri bonus kena dapatkan kelulusan MOF?” Ini jawapan saya. pic.twitter.com/CWpIpoaoZy
— Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (@DrAhmadSamsuri) November 21, 2024
Peruntuk RM450 juta caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan Terengganu
Terdahulu, Ahmad Samsuri berkata, Belanjawan 2025 yang bertemakan ‘Demi Masa Depan Terengganu’ itu termasuk RM450 juta caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.
“Di bawah Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM94.99 juta diperuntukkan untuk Perbelanjaan Tanggungan dan RM1.792 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan iaitu RM278.19 juta untuk Emolumen, RM361.49 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM23.93 juta untuk Aset, RM1.127 bilion untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan RM1 juta untuk perbelanjaan lain,” ujarnya dipetik laman media PAS pusat, Berita PAS.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan belanjawan terbabit di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman.