Respon Pemandu Lori Lepas Ditegur Anggota JPJ Kerana Main Telefon Bimbit Ketika Memandu Buat Ramai Geram [Video]
Jelas pemandu lori berkenaan, dia memegang telefon bimbit ketika memandu kerana mahu melihat notifikasi pesanan yang masuk.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap pengguna jalan raya sering kali diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Ia penting bagi mengelakkan daripada berlaku perkara yang tidak diingini seperti kemalangan.
Namun, ada segelintir pengguna yang dilihat mengabaikan peraturan tersebut dengan melakukan perkara yang dilarang terutamanya ketika memandu.
Pemandu Lori Main Telefon Bimbit Ketika Memandu
Itulah yang dilakukan oleh seorang pemandu lori treler apabila dia ditangkap oleh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika melakukan rondaan.
Menerusi video yang dikongsikan di TikTok @enforcement.jpj.johor, pemandu lori berkenaan dilihat sedang memandu sambil memegang telefon bimbitnya.
Sedar dengan tindakan merbahaya pemandu lori tersebut, anggota JPJ berkenaan mengarahkan pemandu terbabit untuk memberhentikan kenderaannya di tepi jalan.
Pemandu Lori Melawan, Ada Alasan Sendiri Main Telefon Bimbit Ketika Memandu
Sebaik sahaja pemandu lori itu memberhentikan kenderaannya, kedengaran anggota beruniform itu terus meminta lesen dan menyatakan kesalahan individu tersebut iaitu bermain dengan telefon bimbit ketika memandu.
Namun, kenyataan anggota JPJ itu tidak dapat diterima oleh pemandu lori berkenaan. Malah, kedengaran dia membalas kenyataan itu menggunakan alasannya yang tersendiri.
Jelas pemandu berkenaan, tindakannya yang memegang telefon bimbit ketika memandu kerana mahu melihat notifikasi pesanan dipercayai dari pelanggan yang masuk.
Pun begitu, kenyataan pemandu lori itu dibalas oleh anggota JPJ berkenaan yang menjelaskan dia sepatutnya tidak boleh bertindak sedemikian.
“Tengok order (pesanan) tak boleh, you pegang telefon pun tak boleh. You kena letak dekat holder (pemegang).
“Dekat holder, you tengok sekejap-sekejap macam ni, boleh. You pegang dekat stereng, you main-main,” kata anggota berkenaan.
Namun, pemandu lori berkenaan dilihat seolah-olah tidak dapat menerima kenyataan yang diberikan.
“Nanti aku cakap dulu, aku tengok order, order sampai dekat sana,” katanya.
Anggota JPJ Keluarkan Saman Kepada Pemandu Lori
Kedengaran kedua-duanya terus bertikam lidah hingga akhirnya anggota berkenaan terus mengeluarkan saman kepada pemandu lori tersebut.
Namun, pemandu lori itu mempersoalkan tindakan anggota berkenaan yang menyamannya dan meminta bukti atas kesalahannya itu.
Anggota berkenaan terus menunjukkan kamera di atas kepalanya sebagai bukti malah turut bercakap mengenai akta tentang larangan penggunaan telefon bimbit selepas pemandu itu mempertikaikan tindakannya.
Ramai Geram Lihat Sikap pemandu Lori
Video yang telah mendapat lebih 567,000 tontonan itu nyata menarik perhatian pengguna media sosial.
Mengintai ke ruangan komen, majoriti daripada mereka meluahkan rasa geram melihat sikap dan respon pemandu lori berkenaan apatah lagi sejak belakangan ini ada sahaja kemalangan jalan raya yang melibatkan kumpulan pemandu itu.
Malah, ramai juga yang memuji anggota JPJ berkenaan yang dilihat sabar melayan sikap pengguna jalan raya seperti pemandu lori berkenaan.
Penggunaan Telefon Bimbit Ketika Memandu Satu Kesalahan
Untuk info, penggunaan telefon bimbit atau alat komunikasi semasa memandu merupakan satu kesalahan di bawah Subkaedah 17A (i), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Jika individu didapati bersalah, kadar kompaun sebanyak RM300 akan dikenakan.
Berikut antara komen pengguna TikTok:
“Spin Selagi Boleh. Bila Langgar Orang Kata Brek Tak Makan”
“Bila Dah Langgar Orang, Kata Brek Rosak. Berduyun-Duyun La Golongan Mereka Backup”
“Dia Pula Buat Undang-Undang Sendiri, Aku Pun Bawa Lori Juga, Boleh Je Letak Phone Holder”
“Nampak Sangat Salah. Pegawai JPJ Tu Siap Hormat Cakap Abang Pegang Handphone”
“Patuhi Undang-Undang La Uncle, Aiyo”
Baca Artikel Berkaitan: Pegang Atau Letak Telefon Bimbit Di Riba Ketika Memandu Adalah Satu Kesalahan – PDRM
Baca Artikel Berkaitan: Tindakan Pemandu Bawa Kereta Sambil Pegang Telefon & Tonton Video Undang Kecaman [Video]