“Content Ke?” – Rakaman Lelaki Solat Dalam Banjir Cetus Perdebatan Namun Ada Yang Kata Ianya Sah [Video]
Semakan kami mendapati video solat dalam banjir berkenaan pernah dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok dari Indonesia pada bulan Ogos lalu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Solat merupakan Rukun Islam kedua dan merupakan ibadah wajib yang perlu dilakukan oleh umat Islam.
Kepentingan solat dapat dilihat hingga wujud pelbagai cara menunaikannya mengikut situasi tertentu yang dialami oleh individu itu sendiri.
Contohnya jika ada yang sedang bermusafir atau dilanda musibah seperti sakit, terdapat kaedah tertentu dalam mendirikan ibadah tersebut.
Bahkan, terdapat kelonggaran untuk menunaikan solat sekiranya berada dalam situasi terdesak dan darurat.
Pemuda Solat Dalam Air Banjir
Terbaharu, tular di media sosial video seorang lelaki sedang mendirikan solat ketika dalam keadaan banjir.
Menerusi video yang dikongsikan oleh seorang pengguna di platform X @apanakdikato, kelihatan pemuda berkenaan yang membalut kepalanya dengan plastik sedang melakukan ibadah wajib itu dalam air banjir yang berada pada paras lututnya.
Apa yang menjadi perhatian adalah lelaki berkenaan dilihat kekal tenang mendirikan solat dan bersujud dalam air banjir di hadapan sebuah rumah.
Malah, dia juga kelihatan berdoa sebaik sahaja tamat melakukan ibadah tersebut.
Namun begitu, tindakan lelaki berkenaan mengundang kecaman seorang pengguna X dan segelintir netizen yang beranggapan ia hanyalah sekadar content yang boleh mencemar nama agama Islam.
“Menunjuk kelakuan bangang demi content. Orang macam ni yang buat Islam dipandang rendah dan diperlekeh,” tulis pengguna berkenaan.
Menunjuk kelakuan bangang demi content
— Abang aji🪵 (@apanakdikato) November 24, 2024
Org cmni yg buat islam di pandang rendah dan di perlekeh.. 😌 pic.twitter.com/MdBQChfIYK
Video Pernah Dimuat Naik Oleh Pengguna TikTok Dari Indonesia
Walau bagaimanapun, tiada lokasi dan tarikh sebenar kejadian berkenaan dinyatakan melalui hantaran itu.
Pun begitu, carian kami mendapati video berkenaan pernah dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok dari Indonesia pada bulan Ogos lalu.
Ramai Kecam Tindakan Lelaki Solat Dalam Air
Video yang telah mendapat 1.3 juta tontonan itu nyata menarik perhatian pengguna media sosial.
Rata-rata mengecam tindakan lelaki berkenaan yang didakwa seperti sedang membuat content mendirikan solat dalam air banjir.
Mereka berpendapat tindakan sedemikian seolah-olah mencemar dan mempermainkan imej agama Islam.
Tidak kurang juga ada yang mahu pihak berkuasa khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil tindakan berhubung perkara itu.
Solat Dalam Air Dibenarkan Mengikut Keadaan Tertentu – UAI
Menurut penceramah dan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI), mendirikan solat dalam air dibolehkan sekiranya tidak ada tempat daratan.
Namun, tindakan itu tidak dibenarkan sekiranya terdapat kawasan darat di sekitar lokasi tersebut.
“Yang tak boleh, darat ada tapi sengaja masuk dalam air. Macam video dalam YouTube, ada tebing sungai tapi dia masuk dalam air, sembahyang dalam air, tidak sah.
“Kerana dalam air itu sembahyang darurah (darurat). Yang nampak habis aurat sebab basah pakaian itu darurah,” katanya dalam sebuah video ceramah.
Malah, seorang penulis buku agama turut berkongsi pendapat mengenai perkara itu. Menurut Yazid Hamka, solat yang didirikan oleh lelaki itu adalah sah kerana semua rukun dapat dilaksanakan.
“Lebih lagi jika memang tiada tempat kering untuk solat. Solat tetap perlu didirikan sekalipun dalam keadaan banjir, mengikut kadar termampu.”
Tambahnya dalam masa sama, mangsa banjir juga mendapat keringanan untuk melakukan solat jamak.
Apa hukum solat begini?
— YAZID HAMKA (@yazid_hamka_) November 24, 2024
Sah, kerana semua rukun dapat dilaksanakan.
Lebih lagi jika memang tiada tempat kering untuk solat.
Solat tetap perlu didirikan sekalipun dalam keadaan banjir, mengikut kadar termampu.
Juga, mangsa banjir mendapat rukhsah (keringanan) untuk jamak. https://t.co/11Ub2TlEaE
Berikut antara komen pengguna X:
“Janganlah Buat Macam Ini. Takut Agama Kita Diperlekeh Orang. Selagi Boleh Cari Tempat Kering Untuk Solat, Cari Lah”
“Solat Pun Buat Main-Main”
“Bab Agama Jangan Dibuat Main”
“Tak Tahu Nak Cakap Macam Mana, Jangan Main-Main Bab Solat Ni”
“Ada Je Kawasan Tak Kena Banjir Untuk Kau Solat Tapi Tujuan Kau Solat Dalam Air Sambil Rekod Ini Untuk Apa?”
“Fitnah Akhir Zaman, Jika Ada Yang Sokong Lagi Kesian”
Baca Artikel Berkaitan: “Elak Jadikan Solat Bahan Jenaka” – Ustaz Ini Tegur Trend Viralkan Video Solat
Baca Artikel Berkaitan: Hal Ibadah Tidak Dibuat Bahan Gurauan – Dr Zulkifli Jawab Isu Tongkat Khatib