Influencer TikTok Ditegur, Didakwa Salah Terangkan Hukum Pergerakan 3 Kali Batal Solat [Video]
Menurut lelaki yang dikenali sebagai Naim, pergerakan tiga kali berturut-turut dalam satu masa yang membatalkan dan bukannya pergerakan lebih daripada tiga kali.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Solat merupakan tiang agama, setiap umat Islam diwajibkan menunaikan solat fardu lima waktu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan syarak.
Dalam menunaikan ibadah wajib itu, terdapat beberapa aspek penting yang perlu dipelajari agar solat yang dilakukan diterima di sisi Allah SWT seperti rukun solat serta perkara yang boleh membatalkan solat.
Umum mengetahui, perkara-perkara yang boleh membatalkan solat adalah seperti meninggalkan rukun solat dengan sengaja, berhadas semasa solat, makan dan minum, melakukan pergerakan tiga kali berturut-turut serta terbuka aurat.
Influencer TikTok sering kongsi bab agama ditegur salah beri penjelasan
Bagaimanapun, baru-baru ini seorang influencer TikTok yang sering berkongsi bab agama telah ditegur selepas dia didakwa salah dalam menyampaikan hukum mengenai pergerakan tiga kali ketika solat.
Dia ditegur oleh seorang lelaki dikenali sebagai Naim menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @gusnazihpersonal dalam respon balas terhadap video yang dimuat naik oleh pempengaruh itu.
Menurutnya, terdapat dua perkara yang perlu ditegurnya dalam video penjelasan iaitu tentang ‘pergerakan lebih tiga kali membatalkan solat’ dan cara ‘pergerakan tangan yang dikira sebagai sekali’.
Bergerak 3 kali berturut-turut dah batal solat, bukan lebih 3 kali baru batal solat
Kata Mohamad Naim, pergerakan tiga kali berturut-turut dalam satu masa sudah membatalkan solat seseorang itu dan bukannya lebih daripada tiga kali pergerakan.
“Aku buat teguran sikit lah, dua perkara yang aku boleh ambil dari video hang yang tadi tu, yang pertama hang kata pergerakan lebih tiga kali batal, maka aku kata itu salah.
“Sepatutnya bukan pergerakan lebih tiga kali yang batal tapi tiga kali yang batal, hanya pergerakan dua kali (berturut-turut) sahaja yang tak batal (solat),” katanya.
Pergerakan tangan naik dan turun baru dikira satu pergerakan
Menurutnya lagi, kaedah mengira pergerakan tangan yang ditunjukkan oleh influencer itu juga salah.
Jelasnya, pergerakan tangan naik dan turun ke tempat asal baru dikira sebagai satu pergerakan dan bukannya pergerakan searah.
Dalam video terbabit, Naim turut menjelaskan hujah yang diutarakannya itu berpandukan Kitab Fathul Wahab Al-Malik.
Susulan itu, Naim menunggu respon balas daripada Almahiraja mengenai perkara itu dan menasihati agar pempengaruh terbabit mempelajari dahulu ilmu agama lebih mendalam.
“Aku tak minat untuk nak berbahasa lembut atau sembang baik-baik, aku tengah takda mood sekarang, cuma aku bagitahu, better hang pergi mengaji lebih banyak lagi kot,” katanya lagi.
Teguran kasar yang diberikan oleh lelaki itu bagaimanapun mendapat reaksi pelbagai daripada orang ramai, di mana rata-rata mengkritiknya kerana tidak menggunakan bahasa yang betul dalam memperbetulkan kesilapan yang berlaku.
UAI dan Habib Ali Zaenal turut beri pandangan sama
Sebelum ini, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus berkata, para ulamak feqah dalam Mazhab Syafie menjelaskan pergerakan sebanyak tiga kali anggota badan yang berat secara berturut-turut membatalkan solat.
Kongsi Ustaz Azhar atau lebih dikenali UAI, anggota badan yang berat itu adalah seperti kaki, tangan, pergelangan tangan dan juga kepala.
Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid turut memberikan pandangan sama mengenai perkara ini, katanya pergerakan anggota badan yang berat melebihi tiga kali yang bukan secara berturut-turut tidak akan membatalkan solat, namun jika dilakukan tiga kali berturut-turut maka solat akan terbatal.