Reaksi Anak Kecil Girang Dapat Hadiah Dari Ibu Bapa OKU Buat Ramai Mengalir Air Mata [Video]
Menerusi video tersebut, kedengaran si kecil menjerit kegirangan sebaik menyedari hadiah yang diberikan oleh ibu bapanya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap ibu bapa sudah tentu mahu membuatkan anak mereka hidup dalam keadaan gembira dan bahagia sepanjang masa.
Malah mereka akan berbuat apa sahaja yang boleh membuatkan si anak gembira meskipun perkara itu memerlukan pengorbanan.
Ini kerana, melihat si kecil ketawa dan gembira perkara itu memberikan kelegaan kepada ibu bapa yang secara tidak langsung mengetahui telah berusaha yang terbaik buat anak-anak.
Ibu bapa cacat pendengaran beri kejutan pada anak kecil
Perkara sama turut dirasakan oleh pasangan suami isteri yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) ini apabila kelihatan anak begitu gembira apabila menerima kejutan daripada mereka.
Menerusi video yang dimuat naik oleh Syira Adnan di TikTok memaklumkan dia dan suami adalah OKU pendengaran iaitu pekak, maka dia berkomunikasi dengan anak lelakinya, Affan menggunakan bahasa isyarat.
Dalam video kelihatan si ibu yang sedang memegang bayi, meminta Affan untuk melihat ke arah satu kawasan. Si kecil itu kemudian tercari-cari apa yang ingin ditunjukkan oleh ibunya.
Sebaik Affan menoleh, dia kemudian meletakkan kotak mainan figura Spiderman di atas meja.
Tidak tahu apa yang ditunjukkan oleh si ibu, Affan kemudian berpaling semula dan membuat isyarat seperti ‘tiada apa-apa di kawasan yang ditunjukkan itu’.
Menjerit kegembiraan sebaik nampak kotak mainan atas meja
Namun tidak lama kemudian, si kecil itu menyedari kotak mainan yang diletakkan di hadapannya dan menjerit kegembiraan.
Kelihatan Affan menjerit beberapa kali sambil tersenyum dan membuat isyarat ‘terima kasih’ kepada ibu bapanya.
“Papa belikan anak mainan Spiderman, gembira betul anak (Affan) dapat mainan spiderman. Walaupun mama papa tak dapat dengar anak jerit tapi mama papa boleh nampak anak gembira,” kata Syira di ruang kapsyen.
Video buat ramai mengalirkan air mata
Melihat di ruangan komen, ramai yang sebak dan mengalirkan air mata dengan video tersebut. Malah ada yang menyamakan situasi itu seperti dalam drama bersiri Korea iaitu Twinkling Watermelon.
Tidak kurang juga ada yang menyifatkan anaknya menjerit dengan kuat untuk memaklumkan kepada ibu bapa berapa kuat suara anak mereka sewaktu menerima hadiah itu.
Ada juga yang memuji kanak-kanak lelaki itu, kerana walaupun masih kecil namun dia boleh berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.