
Tiada Lagi Khemah Biru Di Teluk Kemang, Ramai Luah Rasa Lega [Video]
Sebelum ini, tular mengenai isu ‘khemah biru’ yang memenuhi sepanjang gigi air di pantai Teluk Kemang.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Dengan laut yang terbentang luas, pantai merupakan tempat pilihan orang ramai untuk beriadah bersama keluarga dan orang tersayang.
Selalunya pantai dibuka kepada orang awam secara percuma atau mungkin dengan bayaran minimum, tetapi lain pula yang terjadi apabila sesetengah pihak mengambil kesempatan untuk menjalankan perniagaan secara tidak bertanggungjawab.
Pada September lalu, tular mengenai isu ‘khemah biru’ yang dipasang betul-betul berhampiran gigi air di sekitar pantai Teluk Kemang di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Lebih teruk lagi apabila sesetengah individu mendakwa tidak dibenarkan menghamparkan tikar sendiri dan dipaksa menyewa khemah jika mahu duduk di tepi pantai tersebut.
Pihak berkuasa tempatan kemudiannya mengarahkan semua peniaga khemah biru untuk menghentikan operasi bermula 18 November.
Baca Artikel Berkaitan: “Teluk Khemah Ke Teluk Kemang Ni?” – Ramai Persoal Kewujudan Khemah Di Tepi Pantai [Video]
Tiada Lagi ‘Khemah Biru’ Di Pantai Teluk Kemang
Dalam satu video yang tular di TikTok (@zielaasalleh), kelihatan tiada lagi kewujudan khemah biru di sekitar pesisir pantai Teluk Kemang.
Jelas pantai yang sering dikunjungi orang ramai itu, kini dilihat lebih ceria dan tidak sesak dengan lambakan khemah biru.
“Pantai Teluk Kemang dah kembali ceria. Dah tak ada khemah-khemah biru yang menyesakkan mata,” kata Ziela yang merakamkan situasi di sana.
Walaupun begitu, masih terdapat beberapa khemah yang mungkin dipasang oleh pihak yang menguruskan permainan sukan air.
@zielaasalleh Mcm ni baru best nk berkelah #pantaitelukkemang #khemahbiru
♬ bunyi asal – zielaasalleh – zielaasalleh
“Ingat Pasar Malam Selama Ni” – Pengguna Media Sosial
Memindai ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa gembira apabila tiada lagi khemah biru tersebut yang dipasang di Pantai Teluk Kemang.
Malah mereka berkata barulah pengunjung dapat melihat pemandangan pantai yang cantik berbanding dipenuhi khemah biru sebelum ini.
“Baru betul turun kereta nampak pantai. Ni tidak, sebelum ni turun kereta nampak biru tapi bukan laut,” kata seorang pengguna TikTok.
“Lah ada pantai rupanya, ingat pasar malam selama ni,” seloroh seorang individu.
Ada juga yang menceritakan pengalaman mereka dihalau oleh pemilik khemah, malah diminta membuat bayaran untuk menggunakan tempat wakaf.
Dalam pada itu, beberapa individu berseloroh bahawa khemah biru dari pantai tersebut telah berpindah ke Pantai Morib, Banting pula.








MPPD Diarah Rampas Khemah Haram Di Kawasan Bukan Persendirian
Terdahulu, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) telah diarahkan agar merampas khemah haram yang dilarang dipasang di kawasan bukan persendirian susulan tularnya video khemah biru di pantai Teluk Kemang.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri, J. Arul Kumar berkata pihaknya sebelum itu pernah melakukan sitaan namun lokasi tersebut diceroboh oleh pengusaha lain.
“Pasang khemah itu sendiri memang tidak dibenarkan undang-undang tempatan di pantai awam kerana ia adalah tanah kerajaan untuk rakyat bebas buat aktiviti rekreasi,” katanya.
Namun sehingga sekurang-kurangnya minggu pertama Oktober, tinjauan oleh Berita Harian mendapati masih terdapat khemah biru yang dipasang di pantai tersebut.
Apabila ditanyakan kepada Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd Hamid, mereka dimaklumkan bahawa libat urus dan rundingan antara pihaknya dengan pengusaha dijangka selesai selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Namun akhirnya pada Oktober lalu, MPPD mengeluarkan arahan kepada pengusaha agar menghentikan aktiviti sewaan mereka.
Baca Artikel Berkaitan: “Kebal Sungguh” – Khemah Sewa Masih Dilihat Di Teluk Kemang Lepas Ditegur Exco Negeri
Baca Artikel Berkaitan: Tindakan Tegas Buat Peniaga Sewa Khemah Di Pantai Awam – Exco N9