Wanita Dakwa Kena Scam Dengan Orang Jual Ketam Ketika Berkelah Di PD, Minta Pengunjung Berhati-hati [Video]
Menurut Izzy sebaik pulang ke rumah dia menyedari ketam yang dibeli tidak sampai 1 kilogram sebaliknya hanya 560 gram dan menyifatkan terdapat ketam busuk.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Port Dickson (PD) yang terletak di Negeri Sembilan merupakan salah satu pantai peranginan yang sering dikunjungi oleh ramai khususnya di hujung minggu atau ketika cuti panjang.
Ini kerana kebiasaannya orang ramai akan berkunjung ke Port Dickson untuk berkelah di tepi pantai, mandi laut dan sebagainya.
Apabila berada di pusat peranginan yang sering mempunyai pengunjung sudah tentu aktiviti perniagaan juga giat dijalankan kerana terdapat permintaan. Oleh itu, ramai peniaga yang menjual berhampiran pantai dan sebagainya.
Wanita kongsi detik kena scam ketika berkelah di PD
Baru-baru ini, seorang wanita yang dikenali sebagai Izzy Ghazali telah mendedahkan pengalaman yang kurang menyenangkan apabila tertipu dengan peniaga sewaktu dia dan keluarga berkelah di Port Dickson.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, Izzy memaklumkan dia dan keluarga berkunjung ke pusat peranginan itu pada 23 November lalu untuk berkelah.
Izzy turut berkongsi momen indah anak-anaknya sedang seronok bermandi-manda di pantai sambil bermain dengan ombak dan pasir.
Selain itu turut kelihatan ahli keluarga yang lain seronok berkelah sambil menikmati makanan yang dibawa dan sebagainya.
Lelaki dakwa jual ketam bunga segar RM35/kg
Sewaktu sedang berkelah, datang seorang lelaki memaklumkan dia ada menjual ketam jenis bunga dan bertanya sekiranya mereka ingin membelinya. Katanya ketam tersebut dijual pada harga RM35 per kilogram.
“Ada sorang abang ni datang dan tanya, nak beli ketam bunga tak? RM35/kg, dia kumpul pesanan dulu. Kami pun tak fikir panjang (untuk order).
“Kami kena scam mentah-mentah… 560 gram je untuk aku (berat ketam yang dibeli), beg lain tak pasti rasanya sama sahaja kot. Kita orang beli lima beg sepatutnya lima kilogram,” ujarnya dalam video tersebut.
Saiz ketam kecil, wanita turut dedah modus operandi scammer
Izzy turut menyifatkan saiz ketam yang diterima dari lelaki tersebut hanya besar sedikit daripada ketam kecil (baby crab). Bukan itu sahaja ada yang kaki serta tangan terputus dan busuk.
Dia bagaimanapun menganggap ketam itu bukan rezeki mereka namun mahu memberi peringatan kepada orang ramai untuk berhati-hati. Izzy turut memberitahu bagaimana modus operandi scam itu berlaku:
- Pembayaran secara tunai sahaja.
- Target keluarga yang besar di tepi pantai.
- Ketam segar
- RM35/kg (sekitar 7 ekor).
“Alert, video hanya untuk beri kesedaran pengunjung pandai PD, agar lebih berhati-hati. Itu sahaja.”
Ramai kongsi pengalaman berdepan situasi sama
Melihat di ruangan komen, ramai pengguna TikTok meluahkan mereka juga pernah tertipu dengan perkara yang sama.
Ada juga yang mengatakan selain ketam ada juga yang menjual kek, namun kek yang dijual dipercayai berkulat dan sebagainya.
Tidak kurang juga ada yang terkena scam namun bukan ketam sebaliknya sewaktu membeli buah-buahan.