Wanita Sarung Jubah Buat Ibu Yang Tak Dapat Hadir Majlis Konvokesyen Undang Sebak [Video]
Menerusi video, ibu kepada Aina memohon maaf kerana tidak dapat menghadiri majlis konvokesyennya atas faktor tertentu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap kejayaan yang dikecapi oleh seorang anak pastinya akan didedikasikan buat ibu bapa.
Ini kerana merekalah insan yang paling layak untuk mendapat segala kejayaan itu selepas gigih berkorban untuk memastikan anak mereka berjaya hingga ke menara gading.
Bukan hanya itu, mereka juga menempuh segala kesusahan demi memastikan anak yang tercinta mendapat ilmu pengetahuan dengan sebaiknya dan menjadi insan berguna di masa hadapan.
Oleh itu, tidak hairanlah jika ada anak-anak yang meraikan ibu bapa mereka dengan kejayaan dimiliki seperti memberikan hadiah dan sebagainya.
Wanita sarungkan jubah graduasi pada ibu kerana tak dapat datang majlis konvokesyen
Perkara sama turut dilakukan oleh seorang graduan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini apabila dia juga mendedikasikan kejayaannya kepada si ibu.
Menerusi video yang dimuat naik oleh Aina di TikTok, awalnya kelihatan dia dan ibu seperti berada di kebun.
Aina kemudian menyarungkan jubah biru ke badan ibu tercintanya sebagai salah satu tanda penghargaannya kepada insan tersayang berkenaan.
Ibu berjalan dalam kebun sambil pakai jubah disarung oleh anak
Dalam video itu, kelihatan si ibu kemudian memakai jubah yang disarung oleh anaknya itu berjalan ke kebun sambil membawa guni.
Malah dia memohon maaf kepada anaknya kerana tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen wanita itu.
“Mak minta maaf mak tak dapat pergi konvo hang,” ujar si ibu.
“Tak apa mak, jangan sedih nanti adik sambung master (pengajian) mak boleh pergi ya,” balas Aina.
Ibu tak pergi majlis konvokesyen kerana perlu jaga bapa yang kurang sihat
Ketika ditanya mengapa ibu tercinta tidak ke majlis konvokesyen, Aina itu memaklumkan ibu perlu menjaga bapanya yang berada dalam keadaan kurang sihat
Ujar Aina, dia ke majlis konvokesyen tersebut ditemani oleh kakak dan abang.
“Mak kena jaga ayah, ayah saya tak berapa sihat. Jadi mak dengan ayah memang tak pergi,” katanya kepada BuzzKini.
Melihat di ruangan komen, tindakan wanita itu menyarungkan jubah berkenaan kepada ibunya telah membuatkan ramai sebak serta terharu.
Tidak kurang juga ada yang mengucapkan tahniah kepada wanita tersebut atas kejayaannya yang berjaya menamatkan pengajian.
Ada juga yang menyifatkan mereka bangga dengan wanita tersebut dan menyifatkan dia seorang anak yang hebat.