Gara-gara Google Maps, 3 Lelaki Di India Maut Selepas Kereta Lalui Jambatan Tak Siap
Insiden difahamkan berlaku pada lewat malam dan hanya disedari oleh penduduk kampung pada paginya selepas perasan terdapat sebuah kereta jenis Suzuki di bawah jambatan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Teknologi di masa kini tidak dinafikan telah banyak memudahkan kehidupan masyarakat di dunia ini. Malah jika hendak ke sesuatu tempat, individu hanya perlu menggunakan aplikasi navigasi yang ada untuk menunjukkan hala tujunya.
Bukan hanya itu, aplikasi navigasi juga memudahkan pengguna apabila turut menyediakan maklumat seperti jarak perjalanan, kesesakan lalu lintas serta waktu yang dijangka seseorang individu berkenaan sampai ke sesebuah destinasi.
Namun dalam menggunakan sesuatu teknologi ia perlulah digunakan secara berpada-pada dan tidak memberikan kepercayaan sepenuhnya kerana terdapat juga kes segelintir pengguna terbabit kemalangan hanya kerana terlalu mempercayai aplikasi navigasi ini.
Tiga lelaki di India maut kerana lalu jambatan tak siap
Perkara sama turut berlaku kepada tiga lelaki di Uttar Pradesh, India apabila disahkan maut selepas teksi yang dinaiki terjatuh daripada jambatan yang belum siap sepenuhnya.
Kemalangan tersebut dilaporkan berlaku pada 24 November yang lalu, dan insiden terbabit menyebabkan kereta dipandu terjatuh ke dalam Sungai Ramganga di Faridpur, India.
Ketika kejadian di fahamkan mangsa dari Gurugram mahu ke Bareilly dan menggunakan Google Maps untuk memberikan panduan jalan. Namun mereka tidak mengetahui tentang keadaan jambatan tersebut.
Insiden disedari oleh orang kampung selepas terlihat kereta di bawah jambatan tak siap
Menurut Times of India, insiden itu berlaku pada lewat malam dan perkara itu menyebabkan mangsa akhirnya terperangkap di sungai berkenaan tanpa mendapat pertolongan.
Kemalangan itu hanya disedari oleh penduduk Khalipur pada pagi Ahad (24 November) selepas menyedari terdapat kereta jenis Suzuki di bawah jambatan tidak siap.
Mereka kemudian memaklumkan kepada pihak berkuasa sebelum polis hadir ke kawasan insiden.
Mayat diambil menggunakan bot
Perkara itu turut disahkan oleh Pegawai Faridpur, Ashutosh Shivam dan memaklumkan mayat mangsa diambil dengan menggunakan bot.
Pegawai Station (SHO) Faridpur, Rahul Singh turut berkongsi mangsa menggunakan aplikasi Google Maps sewaktu insiden berlaku.
Mangsa maut dikenali sebagai Nitin Kumar (30 tahun), Ajit Kumar (35) dan Amit Kumar (30). Ajit merupakan sepupu kepada Nitin dan mereka bekerja sebagai pemandu di sebuah firma keselamatan. Manakala Amit pula adalah saudara jauh yang berasal dari Mainpuri.
Mayat ketiga-tiga mangsa kemudiannya dihantar untuk di bedah siasat dan ahli keluarga pula telah dimaklumkan mengenai insiden.
Sewaktu insiden berlaku, difahamkan mangsa dalam perjalanan untuk menghadiri majlis perkahwinan di Faridpur. Mangsa melalui jalan tersebut selepas pulang dari majlis keluarga di Budaun pada 23 November.
Keluarga menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan jambatan.
Ahli keluarga mangsa bagaimanapun mengkritik tahap keselamatan jambatan terbabit. Adik ipar kepada Nitin, Pramod Kumar mengatakan mereka telah menyemak laluan menggunakan Google Maps dan kelihatan jambatan tidak siap tersebut turut ada didalamnya.
“Jalan tersebut sepatutnya disekat, namun ia tidak dilakukan. Aplikasi tersebut tidak sepatutnya menunjukkan jalan di jambatan itu telah siap,” katanya.
Malah dia turut meminta agar siasatan terhadap kecuaian dan akauntabiliti berhubung kejadian itu dibuat.
Jambatan dah rosak untuk tempoh lama
Seorang pegawai mendedahkan jambatan itu dihanyutkan banjir pada beberapa bulan sebelum ini.
“Jambatan itu sedang dibina oleh UP State Bridge Corporation LTD, dan jalan di Budaun telah dibuka. Kami menerima arahan untuk membuat siasatan dan tindakan akan diambil terhadap pegawai yang bersalah.”
Memetik laporan Mothership, jurucakap Google turut meluahkan simpati mereka berhubung kejadian menimpa mangsa.
“Kami bersimpati dengan keluarga mangsa. Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dan akan memberikan sokongan untuk menyiasat isu berkenaan,” katanya.
Google Maps horror :
— Surya Reddy (@jsuryareddy) November 24, 2024
Wrong #GPS location took the lives of 3 people in #Bareilly, #UttarPradesh#GoogleMaps directed a car to a half-finished bridge.
Due to dense #fog, the incomplete bridge was not visible and the car falls into the #RamgangaRiver, resulting in the death of… pic.twitter.com/uTCMKTz7xG