“Kena Scam, Banyak Dia Beli” – Lelaki ‘Dibahan’ Rakan Gara-gara Beli Wifi Repeater Tak Berfungsi [Video]
Setelah membuka peranti tersebut, dia terkejut melihat di dalam wifi repeater itu kosong dan hanya terdapat printer circuit board (PCB) untuk menyalakan empat lampu led berwarna hijau.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tidak dinafikan, sehingga hari ini masih ada segelintir peniaga-peniaga tidak bertanggungjawab tergamak menipu pelanggan demi mengaut keuntungan.
Ada pihak yang menjual barangan palsu, namun menipu pelanggan dengan mendakwa bahawa barangan tersebut adalah original yang dijual pada harga murah.
Dan lebih parah lagi, ada pula yang menjual barangan yang tidak dapat digunakan langsung kepada pelanggan tidak seperti apa yang dipromosikannya.
Lelaki dakwa rakan ditipu beli Wifi Repeater semasa TikTok live
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan seorang lelaki mendedahkan bahawa rakannya telah ditipu oleh seorang peniaga online semasa membeli Wifi repeater dalam satu sesi jualan lansung (live) di aplikasi TikTok.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @ayammaduz, lelaki itu menyatakan bahawa rakannya telah membeli alat untuk meningkatkan rangkaian wifi berkenaan dalam kuantiti yang banyak dek kerana harganya yang murah.
Namun dia mula menyedari perkara itu sebaik barangan berkenaan sampai ke tangannya.
“Aku nak bagitahu, kawan aku beli benda ini, wifi repeater katanya baguslah kan dia beli dekat TikTok murah, banyak dia beli.”
Dalam Wifi Repeater kosong, hanya ada PCB untuk lampu led
Lelaki tersebut yang curiga dengan berat wifi repeater kemudiannya membuka alat tersebut untuk melihat apakah isi di dalamnya.
“Jadi aku rasa ringan, aku pun pelik kenapa murah, aku pun buka lah,” katanya.
Setelah membuka peranti tersebut, dia terkejut melihat isi di dalam wifi repeater itu yang kosong di mana ia hanya mengandungi printed circuit board (PCB) untuk menyalakan empat lampu led berwarna hijau sahaja,
Dakwanya lagi, empat ‘antena’ yang ada pada peranti itu juga hanyalah ‘dummy’ semata-mata dan tidak mempunyai sebarang fungsi.
Susulan itu, lelaki terbabit gagal menahan ketawanya kerana berasa terhibur melihat rakannya yang telah ditipu oleh penjual terbabit.
“Bila buka, yang ada benda ini (PCB) jadi nak tahu jugalah fungsinya apa kan, jadi (bila) aku cuba buka (cucuk pada usb) korang tengok (lampu led menyala).
“Itu sajalah nak tunjuk dekat korang, jangan kena ‘bodoh’ (tipu) lagilah lepas ini,” kata lelaki itu sambil ketawa.
Kawan disekat oleh seller terbabit
Lebih mendukacitakan apabila rakannya itu juga telah disekat oleh penjual terbabit yang dipercayai enggan bertanggungjawab selepas selesai urusan membeli wifi repeater tersebut.
Netizen beri pelbagai reaksi, ada yang terkena nasib sama
Memindai ke ruangan komen, pelbagai reaksi yang diberikan oleh pengguna media sosial setelah melihat video terbabit.
Ada yang mendakwa turut menjadi mangsa ‘scammer’ terbabit dan ada pula yang menyatakan bahawa penjual wifi repeater itu masih aktif melakukan siaran langsung di TikTok menjual alat berkenaan.
Tidak kurang juga pengguna TikTok yang mencadangkan beberapa jenama yang menjual Wifi Repeater atau Wifi Extender yang boleh dipercayai.
Difahamkan, lelaki tersebut boleh membuat laporan berhubung penipuan itu kepada pihak TikTok dengan menyertakan segala bukti gambar dan dia akan mendapat bayaran balik (refund).
Kami juga sedang menghubungi TikTok Malaysia bagi mendapatkan reaksi mereka dan kaedah membuat laporan sekiranya berdepan masalah seperti ini.
Pengguna kena scam boleh minta ‘refund’, begini caranya
Menerusi semakan kami, pembeli yang berdepan masalah sebegini boleh memohon pemulangan wang semula (refund).
Caranya mudah sahaja, pada paparan ‘order delivered’ terdapat butang ‘request refund’ dan anda hanya perlu klik bahagian tersebut.
Setelah klik ‘request refund’, pilih issue iaitu sebab mengapa anda ingin mendapatkan semula wang dan tekan submit.
Setelah itu, pergi ke bahagian ‘Contact TikTok’, di situ anda perlu menunjukan segala bukti tentang produk terbabit seperti gambar produk, resit pembelian, nombor ‘tracking’, tangkap layar produk tersebut yang dipaparkan oleh penjual.
Pihak TikTok amat mengambil berat mengenai aduan yang dibuat oleh penggunanya dan kebanyakan mereka yang menjadi mangsa penipuan ini pasti akan mendapatkan semula wang sekiranya bukti yang diberikan kukuh.
Berikut komen yang diberikan netizen: