Tular JPJ Johor Saman Pemandu Potong Di Garisan Berkembar, Siap Ada Yang Minta ‘Kawtim’ [Video]
Anggota JPJ itu dilihat tegas dan amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya dengan tidak melayan permintaan karut individu-individu itu untuk menyelesaikannya secara ‘kawtin’ atau ‘settle tepi’.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Peraturan dan undang-undang jalan raya yang ada di Malaysia bukanlah digubal dengan suka-suka, sebaliknya, ia untuk memastikan keselamatan para pemandu kenderaan dan penunggang motosikal.
Bagaimanapun, tidak dinafikan sehingga hari ini masih ada segelintir pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab enggan mematuhi undang-undang ini.
Oleh kerana itu, pihak berkuasa daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahagian Trafik serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melakukan pemantauan dan operasi bagi mengambil tindakan terhadap golongan sebegini.
Tular anggota JPJ Johor tahan pemandu potong di garisan berkembar
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memarkan seorang anggota JPJ Bahagian Penguatkuasaan negeri Johor melakukan rondaan dan menahan pemandu-pemandu yang memotong di garisan berkembang (double line).
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @enforcement.jpj.johor, rondaan itu dilakukan untuk menahan pemandu atau penunggang motosikal yang melakukan tujuh kesalahan utama yang tidak dibenarkan kompaun.
7 kesalahan utama itu adalah:
- Memotong barisan
- Memotong di garisan berkembar
- Tidak mematuhi isyarat lampu merah
- Memandu melebihi had laju
- Penggunaan telefon bimbit semasa memandu
- Tidak memakai tali pinggang atau topi keledar
- Memandu di lorong kecemasan
Pelbagai ragam pemandu potong garisan berkembar, siap ada yang minta ‘kawtim’
Di dalam video tersebut, dapat dilihat pelbagai ragam pemandu-pemandu yang ditahan anggota terbabit kerana melakukan kesalahan berkenaan.
Ada yang memberi alasan bahawa kenderaan depan yang mengarahkannya untuk memintas dan ada pula yang seolah-olah tidak mengetahui bahawa garisan berkembar tidak dibenarkan untuk memotong.
Lebih mengecewakan, mereka yang sudah melakukan kesalahan trafik dilihat cuba melakukan kesalahan yang lebih melampau iaitu meminta pihak berkuasa terbabit untuk menyelesaikannya secara ‘kawtim’ dan ‘settle tepi’.
Anggota JPJ Johor amanah tak layan pemandu nak ‘kawtim’, terus saman RM300
Anggota berkenaan yang memiliki kamera di atas topi keledarnya dilihat tegas dan amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya dengan tidak melayan permintaan individu-individu itu.
Malah, dia juga mengenakan saman terhadap pemandu-pemandu yang melakukan kesalahan memotong di kawasan ‘double line’ sebanyak RM300.
Untuk info, memotong di garisan berkembar adalah dilarang kerana ia boleh membahayakan diri sendiri, penumpang serta pengguna jalan raya yang lain.