Penunggang Motosikal Nyaris Hanyut Dibawa Arus Deras Ketika Cuba Redah Banjir [Video]
Penunggang motosikal berkenaan dikatakan tetap cuba meredah banjir walaupun telah dihalang oleh orang ramai.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui pada ketika ini Malaysia sedang mengalami Monsun Timur Laut atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh.
Oleh sebab itu, kebanyakan negeri di Malaysia mengalami cuaca hujan lebat yang berterusan hingga beberapa kawasan telah dinaiki air dan dilanda banjir khususnya di Kelantan, Terengganu serta Kedah.
Keadaan sebegitu sudah semestinya menyukarkan pergerakan orang ramai apatah lagi kebanyakan laluan telah ditutup akibat banjir berkenaan.
Malah, orang ramai juga dinasihatkan oleh pihak berkuasa agar tidak terlalu berani mengambil risiko meredah arus banjir tanpa menilai beberapa faktor seperti kemampuan kenderaan, paras air dan arus.
Penunggang Motosikal Nyaris Hanyut Kerana Arus Deras
Namun, ada juga yang dilihat tidak mengendahkan nasihat tersebut dengan mengambil risiko meredah air banjir.
Terbaharu, tular di media sosial seorang penunggang motosikal nyaris dihanyutkan oleh arus deras ketika cuba meredah banjir menggunakan kenderaannya.
Menerusi video yang dikongsikan semula di Facebook Media Terkini, kelihatan beberapa individu sedang menyelamatkan penunggang tersebut dan motosikal miliknya.
Melalui perkongsian itu, dapat dilihat dua orang individu sedang cuba menarik penunggang berkenaan yang pada ketika itu terduduk dalam air yang sedang deras arusnya.
Manakala tiga orang individu lagi sedang menahan motosikal tersebut daripada hanyut dibawa arus.
Difahamkan, kejadian berlaku di Kampung Manggol, Malau, Jitra, Kedah.
Penunggang Motosikal Tetap Cuba Redah Banjir Walaupun Telah Dilarang
Memetik Berita Harian, saksi kejadian yang dikenali sebagai Mohammad Faidhi Adam Rohaizat mendedahkan kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika sekumpulan lelaki sedang melakukan pemantauan banjir.
Pada ketika itu, penunggang motosikal berkenaan cuba meredah banjir walaupun telah dihalang oleh orang ramai.
Namun, dia bernasib baik kerana sempat diselamatkan oleh beberapa individu yang berada di sekitar kawasan tersebut.
“Kami sudah melarangnya tetapi dia tetap meneruskan perjalanan sebelum dia tiba-tiba dihanyutkan arus deras.
“Lelaki itu bernasib baik apabila beberapa orang lain di situ dapat memegang dan menarik tangannya daripada dihanyutkan arus deras,” katanya.
Jitra: Penunggang motorsikal nyaris dihanyutkan banjir ketika cuba meredah arus deras.
Posted by Media Terkini on Thursday 28 November 2024
Ramai Geram Dengan Tindakan Motosikal Cuba Redah Banjir
Video yang telah mendapat lebih 92,000 tontonan itu nyata menarik perhatian pengguna media sosial.
Mengintai ke ruangan komen, majoriti mereka meluahkan rasa geram dan marah dengan tindakan penunggang motosikal berkenaan.
Bagi mereka, dia tidak seharusnya merisikokan diri dan orang lain dengan melakukan perbuatan sedemikian.
Berikut antara komen pengguna Facebook:
“Dia Sendiri Tak Bersungguh-Sungguh Selamatkan Diri Dia”
“Sendiri Cari Penyakit, Musim-Musim Arus Deras Ini Bawaklah Otak Tu Berfungsi”
“Nasib Ada Orang Dekat Situ, Setakat Hilang Motor Tak Pe, Kalau Hilang Nyawa? Adoi Bang”
“Dah Tahu Bahaya Pergi Redah Juga, Tak Jadi Apa-Apa Tak Apa, Jadi Macam Ni Kan Dah Menyusahkan Orang”
Baca Artikel Berkaitan: “New King” – Pemandu Perodua Axia Nekad Redah Air Banjir Curi Perhatian [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Aksi Bezza Redah Banjir Hingga Separuh Tenggelam Raih Perhatian Ramai [Video]