Sah Ke Berwuduk Guna Gayung? Ini Penjelasan Pejabat Mufti WP
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, air dalam bekas kurang dua kolah kekal mutlak walaupun ada air musta’mal yang menitik ke dalamnya selagi tiada perubahan dari segi warna, bau dan rasa.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Apabila mengambil wuduk, sudah tentulah kita akan menggunakan air mutlak, iaitu air yang tidak dicemari najis sehingga mengubah bau, rasa dan warna air tersebut.
Kebiasaannya kita akan menggunakan air yang mengalir dari paip apabila di rumah atau masjid. Namun, terdapat juga kolah yang disediakan di masjid untuk para jemaah berwuduk.
Dalam pada itu, ada pula jemaah yang mengambil air di dalam kolah menggunakan gayung, dan berwuduk daripada gayung tersebut.
Persoalannya adakah wuduk tersebut sah?
Sunat Basuh Tangan Sebelum Berwuduk
Menerusi video dimuat naik di TikTok Masjid Kg Nakhoda, Imam Ustaz Zaid Amran, dilihat melakonkan watak seseorang yang sedang berwuduk daripada gayung sebelum bekas itu ditolak oleh jemaah lain.
Apabila ditanya, individu itu berkata dia berbuat sedemikian kerana air di dalam gayung tersebut adalah air musta’mal dan tidak sah digunakan untuk berwuduk.
Namun, Ustaz Zaid berkata air tersebut bukanlah air musta’mal. Sebaliknya, air musta’mal terjadi apabila tangan yang kotor menyentuh air yang jumlahnya kurang daripada dua kolah.
Menurut Zaid, umat Islam oleh itu disunatkan agar membasuh tangan terlebih dahulu sebelum mengambil wuduk.
“Bila kita dah basuh tangan, kemudian kita sentuh air yang belum cukup dua kolah, air mutlak tidak akan bertukar menjadi air musta’mal,” katanya.
Air Kekal Mutlak Jika Sedikit Air Musta’mal Menitik Ke Dalanya
Dia kemudiannya ditanya jika air lebihan wuduk pada muka terjatuh ke dalam gayung berisi air mutlak akan menjadikannya sebagai air musta’mal.
“Satu perkara yang kena ingat, air musta’mal tidak ada kuasa untuk memusta’malkan air mutlak,” jelasnya.
Oleh itu, jika air musta’mal menitik atau menitis ke dalam air mutlak yang kurang dua kolah, ia masih kekal mutlak yang boleh mensucikan dan digunakan untuk berwuduk.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata jika tiada perubahan sifatnya iaitu dari segi warna, bau dan rasa pada air tersebut, maka ia akan kekal sebagai air mutlak, tetapi jika sebaliknya ia akan berubah menjadi air musta’mal.
Video tersebut bagaimanapun telah dipadamkan oleh masjid berkenaan. Sehubungan itu, kami telah melakukan carian di laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bagi memastikan kesahihan kenyataan tersebut.
Air Mutlak Kekal Menyucikan Walaupun Diletakkan Dalam Bekas Kecil
Menjenguk ke laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tidak disyaratkan bahawa air mutlak yang digunakan bagi berwuduk mesti lebih daripada dua kolah.
Sebaliknya, hukum penggunaan kadar dua kolah hanyalah merujuk kepada status takungan air, yang dimasuki najis, sama ada berubah menjadi air mutanajjis, yang tidak boleh digunakan untuk bersuci, atau tidak berubah.
Hukum air mutlak kekal menyucikan walaupun diambil dan ditakung di dalam bekas kecil tidak mencukupi dua kolah, dengan syarat tiada sesuatu yang menajiskan atau merosakkan sifat menyucikannya (tohuriyyah).
Air musta’mal pula merujuk kepada air kurang daripada dua kolah yang telah digunakan bagi mengangkat hadas seperti ketika berwuduk, mandi atau untuk membersihkan najis.
Perlu Niat Mencebok Jika Ingin Celup Tangan Dalam Air Sedikit Untuk Berwuduk
Sama seperti penerangan Masjid Kg Nakhoda, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan mencelupkan tangan ketika berwuduk dari dalam air yang sedikit adalah dibolehkan.
Walaupun begitu, tindakan ini harus disertakan dengan niat mencebok (ightiraf) iaitu memindahkan air untuk tujuan berwuduk. Jika tidak, air itu akan menjadi air musta’mal apabila tangan dicelup ke dalamnya.
“Perbuatan mencebok air daripada gayung menggunakan tangan selepas basuhan muka ketika berwuduk tidak menyebabkan air di dalam gayung menjadi air musta`mal jika perbuatan mencebok itu tidak diniatkan untuk mengangkat hadas, sebaliknya diniatkan semata-mata untuk memindahkan air,” kata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebut dalam kitab Minhaj al-Qowim bahawa, “Seseorang yang berwuduk dengan tangan dimasukkan ke dalam air yang sedikit, selepas dia membasuh muka, tanpa berniat dilakukan untuk mencebok, maka baki air yang sedikit tadi itu berubah menjadi air musta’mal”.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lagi, mencelup semula tangan ke dalam bekas kecil berisi sedikit air merupakan cara berwuduk yang dilakukan oleh para sahabat.
Kesimpulannya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan:
- Hukum mengambil wuduk dengan mencebok air daripada bekas yang kecil seumpama gayung adalah diharuskan.
- Perbuatan mencebok air daripada gayung menggunakan tangan selepas basuhan muka ketika berwuduk tidak menyebabkan air di dalam gayung menjadi air musta`mal jika perbuatan mencebok itu tidak diniatkan untuk mengangkat hadas, sebaliknya semata-mata untuk memindahkan air.
- Air percikan daripada basuhan mana-mana anggota wajib wuduk tidak menyebabkan air di dalam gayung berubah menjadi musta`mal kerana kuantiti baki air tersebut adalah sedikit yang tidak mengubah sifat air serta sukar dijaga pada kebiasaannya, maka dimaafkan seperti mana yang difahami daripada zahir hadis-hadis yang sahih.
- Tidak boleh kita menghukum seseorang yang berwuduk dengan cebokan menggunakan tangan daripada gayong sebagai tidak sah atas alasan air musta`mal kerana wujud nas-nas yang mengharuskannya.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Perlukah Wanita Check Keputihan Setiap Kali Sebelum Solat Walaupun Ada Wuduk?
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Boleh Ke Tahan Kentut Ketika Solat? Ini Jawapannya
Baca Artikel Berkaitan: Mandi Wajib Sambil Selam Dalam Sungai, Sah Ke? Ini Penjelasan Sebenar