Perbezaan Fahaman Politik, Kubur Pasangan Suami Isteri Di Indonesia Digali & Dipindahkan [Video]
Penggalian kubur dan proses pemindahan dilakukan oleh penduduk setempat. Kedua-dua jenazah dipindahkan ke tanah perkuburan awam di Desa Manjalling.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sudah menjadi lumrah untuk setiap manusia mempunyai pandangan atau ideologi yang sama dan berbeza-beza.
Namun, itu semua bukanlah alasan untuk kita memusuhi sesama sendiri, sebaliknya ideologi yang berbeza itu haruslah diraikan.
Hal ini kerana menerima pandangan serta nasihat daripada individu lain juga adalah perkara yang baik agar setiap manusia mampu hidup secara harmoni dan saling menghormati.
Kubur pasangan suami isteri dipindahkan kerana isu perbezaan politik
Bagaimanapun, lain pula dengan satu video tular baru-baru ini apabila pusara sepasang suami isteri di Sulawesi Selatan, Indonesia terpaksa digali semula untuk dipindahkan hanya kerana perbezaan fahaman politik semasa Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) 2024.
Memetik berita tempatan, Tribunnews, kejadian tersebut berlaku pada Jumaat lalu (29 November) di sebuah kampung di Kelurahan Dannuang, Kecamatan Ujung Loe, Kabupaten Bulukumba.
Difahamkan, Allahyarham Mattayang Daeng Lengu yang juga suami meninggal dunia pada 27 Julai 2023, manakala isterinya, Allahyarhamah Nurlia dikebumikan di situ pada 13 Mac 2022.
Perbezaan politik antara anak arwah dan pemilik tanah perkuburan
Perbezaan politik semasa Pilkada 2024 di antara pemilik tanah perkuburan itu dan anak perempuan pasangan berkenaan yang dikenali sebagai Nurmi menjadi punca perkara tersebut berlaku.
Penggalian kubur dan proses pemindahan dilakukan oleh penduduk setempat. Kedua-dua jenazah dipindahkan ke tanah perkuburan awam di Desa Manjalling.
Wakil Bupati Bulukumba, Andi Edy Manaf telah menemui Nurmi dan mendengar masalah yang dihadapinya.
Jadi pengajaran dan berharap tidak berlaku lagi – Wakil Bupati Bulukumba
“Tentu masalah ini menjadi pengajaran buat kita semua, dan kita berharap agar perkara seperti ini tidak berlaku lagi di masa hadapan,” katanya.
Andi yang juga ahli politik dari Parti Amanat Nasional (PAN) itu turut menggesa penduduk di Bulukumba agar saling menghormati dan tidak membiarkan perbezaan politik merosakkan hubungan persaudaraan.
Menerusi video tular kejadian berkenaan yang dimuat naik di akaun TikTok @info.bulukumba, kelihatan penduduk sedang bekerjasama menggali semula pusara pasangan suami isteri itu untuk dibawa pulang ke rumah sebelum dipindahkan ke tanah perkuburan yang lain.