Tindakan Lelaki Soal Individu Kutip ‘Derma’ Untuk Sekolah Tahfiz Di Pasar Malam Raih Perhatian [Video]
Menerusi video tersebut, kelihatan lelaki berjubah biru itu segera menyimpan tabung derma yang dipegangnya ke dalam beg selepas ditegur Fhairul.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Amalan bersedekah sememangnya satu amalan yang mulia untuk dilakukan oleh setiap individu. Malah dengan bersedekah juga kita dapat membantu orang yang berada dalam kesusahan selain dijanjikan ganjaran pahala yang besar oleh Allah SWT.
Namun terdapat segelintir pihak yang mengambil kesempatan di atas sikap pemurah orang ramai demi kepentingan diri sendiri.
Sebelum ini juga terdapat laporan yang mengenai sikap segelintir individu yang tertangkap menipu orang ramai dengan mengutip wang derma dari orang ramai.
Bukan hanya itu, segelintir yang ditahan turut meraih pendapatan yang lumayan daripada kutipan derma orang ramai. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati agar percaya dengan tipu helah individu yang ingin mengambil kesempatan.
Tular video, lelaki persoal individu dakwa kutip derma untuk tahfiz
Baru-baru ini, tular satu video di TikTok memaparkan seorang lelaki yang menyoal pengutip derma yang dijumpainya di pasar malam sehingga menarik perhatian ramai.
Menerusi video yang dimuat naik oleh Fhairul Fizzy, awalnya kelihatan dia berkunjung ke sebuah tempat awam seperti pasar malam dan menyapa seorang lelaki memakai jubah biru yang sedang memegang satu tabung di kawasan berkenaan.
Pada tabung berkenaan terpapar perkataan ‘Bantuan ikhlas untuk Madrasah’.
Fhairul kemudian bertanya kepada lelaki itu adakah dia dari institusi sama dengan seorang individu lain yang juga sedang mengutip derma dari orang ramai di kawasan berkenaan.
Lelaki itu kemudian menjawab bukan dan sambil bercakap dia menyimpan tabung yang dipegang ke dalam sebuah beg.
Tak tunjuk surat sah untuk kutip derma
Malah ketika Fhairul bertanya adakah dia mempunyai surat yang sah untuk mengutip derma, lelaki itu hanya menganggukkan kepala namun tidak menunjukkan buktinya.
Lelaki itu turut menegaskan bahawa dia dan individu yang juga mengutip derma di kawasan terbabit adalah dari institusi berlainan serta tidak mengenalinya.
“Saya tak kisah nak minta derma, tapi biar betul sumbangan tu mesti sampai dekat orang susah. Itu sahaja.
“Saya tak kisah nak minta derma, tapi biar benda tu betul. Maknanya yang depan (individu yang kutip derma) tu bukan lah?” soal Fhairul.
Individu hilangkan diri selepas disoal oleh Fhairul
Fhairul kemudian mengajak perakam untuk berjumpa semula dengan individu yang mengutip derma di bahagian depan untuk mendapatkan kepastian.
Namun apabila Fhairul kembali untuk berjumpa dengan lelaki jubah biru itu di tempat berkenaan, kelihatan dia sudah tiada di kawasan terbabit.
“Okay kita datang balik, tapi dah hilang dah. Dah lari, kalau tak salah kenapa nak lari. Hilang terus,” kata Fhairul sambil menunjukkan keadaan sekeliling di pasar malam itu.
Tindakan Fhairul persoal individu kutip derma undang pelbagai reaksi
Melihat di ruang komen, video perkongsian Fhairul telah menarik perhatian orang ramai dan mencetuskan pelbagai reaksi.
Ini kerana, ada yang menyokong pemuda itu menyoal pengutip derma berkenaan memandangkan kini banyak individu yang mengambil kesempatan untuk menipu dengan menggunakan modus operandi mengutip derma.
Malah ada yang berpendapat ia adalah satu tindakan yang betul kerana ramai yang menggunakan alasan mereka mengutip derma untuk madrasah sehingga meminta pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut.
Namun ada juga yang merasakan Fhairul tidak patut melakukan perkara itu dan apa yang penting adalah menjalankan ibadah sunat untuk bersedekah kepada orang ramai.