fbpx
Now Reading
Tular Honda Civic ‘Cucuk’ Rapat Belakang Ambulans, Pemandu Kini Ditahan Polis [Video]
honda civic mengekori belakang ambulans

Tular Honda Civic ‘Cucuk’ Rapat Belakang Ambulans, Pemandu Kini Ditahan Polis [Video]

Kelihatan kereta Honda Civic tersebut turut menyalakan lampu kecemasan sewaktu mengekori rapat belakang ambulans yang sedang melalui Lebuhraya Persekutuan itu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui, setiap kali ambulans membunyikan siren sewaktu berada di atas jalan raya, ia menandakan mereka dalam kecemasan dan setiap kenderaan yang berada di kawasan sekitar perlu memberikan ruang serta laluan.

Walaupun ramai di kalangan masyarakat yang cakna tentang perkara tersebut, namun ada juga segelintir pihak yang suka mengambil kesempatan terhadap situasi sebegitu.

Seperti sebelum ini, tular sebuah kereta jenis Nissan Almera yang mengekori sebuah ambulans. Lebih membuatkan pemandu ambulans berang adalah apabila pemandu kereta itu bertindak memarahinya selepas ditegur atas perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut.

Baca Artikel Berkaitan: Tular Rakaman Dashcam Nissan Almera Ikut Ambulans Dari Belakang Undang Perhatian [Video]


Honda Civic Ikut Belakang Ambulans & Memandu Secara Melulu

Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok (@gpmambulance) menyaksikan situasi di Lebuhraya Persekutuan iaitu laluan dari Shah Alam menghala ke Klang.

Menerusi video perkongsian, kelihatan sebuah kereta jenis Honda Civic sedang mengekori sebuah ambulans dari arah belakang.

Lebih mengundang perhatian adalah apabila kereta itu memandu secara melulu dan berbahaya iaitu dengan menyelit di bahagian tengah antara dua laluan.

Difahamkan kejadian ini berlaku pada 1 Disember lalu sekitar jam 5 petang.

“Jenis manusia pentingkan diri, ikut belakang ambulans. Dalam masa yang sama membahayakan pengguna jalan raya yang lain😮‍💨,” kata petugas ambulans.


Honda Civic Turut Nyalakan Lampu Kecemasan

Dalam klip yang sama, kelihatan Honda Civic itu turut menyalakan lampu kecemasan sepanjang mengekori ambulans dari belakang.

Dalam pada itu, seorang penunggang motosikal yang berada di laluan sama dilihat seolah-olah sedang menghalang laluan Honda Civic tersebut untuk mengekori ambulans secara rapat.

@gpmambulance Jenis manusia pentingkn diri, ikut belakang ambulans… dalam masa yang sama membahayakan pegguna jalan raya yg lain 😮‍💨😮‍💨 Lokasi Lebuhraya Perseketuan Shah Alam Menghala Klang (01 December 2024 @ 1715Hrs) #fyp #fypage #fypagetiktok #beritaditiktok #videoviral #pdrm #trafik #ambulans #ambulancedriver #ambulanceswasta ♬ เสียงต้นฉบับ – เอก. อนุภาพ 🎬. 📌

[Kemaskini] Pemandu Honda Civic Ditahan Polis, Penunggang Motosikal Sedang Dikesan

Terkini, pemandu kereta dipercayai bukan ahli keluarga pesakit itu telahpun ditahan polis. Manakala penunggang motosikal jenis Yamaha MT-15 kini sedang dikesan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 4.40 petang, Ahad.

Tindakan kedua-dua individu terbabit dikatakan boleh mendatangkan bahaya kepada ambulans tersebut serta pengguna jalan raya lain.

“Ekoran kejadian itu, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 28 tahun disyaki pemandu Honda Civic sekitar jam 11 malam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada Isnin.

“Sementara itu, pihak polis masih giat mengesan penunggang motosikal yang terlibat dalam kejadian tersebut,” kata beliau.

Dalam pada itu, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tambah Mohd Iqbal, saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097.

Sumber: Facebook Polis (IPD) Shah Alam

Perlu Ada Jarak 15 Meter Antara Ambulans Dan Kereta Lain

Perbuatan mengekori ambulans seperti ini merupakan satu perbuatan yang amat bahaya. Hal ini kerana ambulans mungkin terpaksa menekan brek dan berhenti secara tiba-tiba dan kenderaan yang mengekori rapat berisiko melanggar ambulans yang sedang membawa pesakit serta para petugas.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini berkata bahawa mana-mana kenderaan tidak boleh mengekori ambulans yang bergerak dengan laju.

“Masih ada lagi pengguna jalan raya yang tidak faham ataupun buat-buat tak faham mengekori ambulans dengan rapat tanpa tujuan yang munasabah.

“Di belakang kenderaan ambulans telah tertulis amaran, ‘Bahaya! Jangan Ekori Kenderaan Kecemasan Bergerak Laju, beri jarak 15 meter’,” ujar KKM dalam satu hantaran di laman Facebook.


Ramai Ingatkan Jangan Ikut Belakang Ambulans Untuk Elak Kemalangan

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai menyelar tindakan pemandu Honda Civic yang memandu secara tidak berhemah.

“Salah ikut ambulans dari belakang ni. Kalau ambulans tekan brek kecemasan? Dah satu hal jadi kemalangan pula,” kata seorang individu.

Malah ramai juga yang ingin bersangka baik dan mengatakan pemandu Civic adalah waris kepada pesakit di dalam ambulans. Bagaimanapun, ramai juga berkata bahawa waris bukanlah satu ‘tiket’ untuk mereka mengekori belakang ambulans.

Bahkan ada yang merasakan individu berkenaan bukanlah waris memandangkan rakaman tersebut dimuat naik oleh petugas kesihatan yang berada dalam ambulans terbabit.

“Pernah dari Segamat pergi ke Johor Bahru. Isteri naik ambulans, saya naik kereta. Memang tak boleh ikut (belakang ambulans) bahaya sebab tak semua orang tahu kita adalah waris. Ada juga yang ‘keras’ tak nak bagi jalan,” ujar seorang lelaki.

Sementara itu, orang ramai juga berharap agar pihak berkuasa boleh memantau perkara ini dan mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan di atas jalan raya.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) tolong ambil tindakan ke atas kenderaan sebegini. Ia salah dalam undang-undang,” ujar seorang pengguna TikTok.

Sumber: TikTok (@gpmambulance)

Baca Artikel Berkaitan: Padah Ikut Rapat Belakang Ambulans, Pemandu Kereta Dapat Malu Selepas Gambar Diambil Depan-Depan [Video]

Baca Artikel Berkaitan: “Pekak Bukan Alasan” – Kenalan Mendiang Tampil Bersuara Isu Kereta Halang Ambulans

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.