Ramai Terhibur Lihat Budak Lelaki Jadi ‘Kipas Bergerak’ Tengku Ampuan Pahang [Video]
Difahamkan Tengku Ampuan Pahang bersama Sultan Pahang ketika itu sedang melawat mangsa banjir di sebuah kampung di negeri terbabit.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Boleh dikatakan hampir semua orang pasti mempunyai kipas mudah alih (portable fan) pada masa kini. Bukan apa, ianya begitu berguna kerana cuaca di Malaysia boleh menjadi sangat panas.
Kadangkala ada pula ahli keluarga atau rakan-rakan di sekeliling yang meminta kita untuk tolong kipaskan mereka sekali. Kalau waktu tengah malas tu, mesti korang berat hati nak buat kan?
Tapi lain pula bagi seorang budak lelaki apabila dia dilihat mengipas figura yang bukan calang-calang orangnya.
Budak Lelaki Tolong Kipaskan Tengku Ampuan Pahang
Perkara itulah yang dapat disaksikan menerusi satu video tular dimuat naik ke TikTok (@missdiyana1).
Menerusi video terbabit, kelihatan seorang kanak-kanak lelaki sedang menghalakan kipas mudah alihnya ke bahagian belakang Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Kanak-kanak yang digelar Wazir, berdasarkan kepada nama pada belakang bajunya, secara bersahaja mengipas Tunku Azizah yang ketika itu dilihat sibuk berinteraksi dengan penduduk tempatan.
“Bila kau tiba-tiba jadi kipas bergerak Raja dan Permaisuri,” tertulis pada video berkenaan.
Menurut pemilik video di ruangan komen, kanak-kanak itu berbuat demikian selepas Tunku Azizah sendiri yang memintanya bantuannya untuk memegang kipas tersebut.
Sultan & Permaisuri Pahang Lawat Mangsa Banjir
Turut bersama-sama Tunku Azizah ketika itu adalah Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Difahamkan pasangan diraja berkenaan mencemar duli dengan melawat mangsa yang terkesan banjir di sebuah kampung di Pahang.
Pada akhir video, Wazir juga dilihat ditegur oleh baginda Sultan yang turut memegang bahunya. Mungkin ditanya okay ke tak tu🤭
“Mana Dah Tukang Kipas Saya Ni” – Tengku Ampuan Pahang
Melihat kepada komen yang ditinggalkan pada video terbabit, difahamkan Tengku Ampuan Pahang yang ketika itu sedang bergambar dengan penduduk kampung telah meminta bantuan Wazir untuk mengipasnya.
Lebih menggelikan hati lagi apabila Wazir berhenti mengipas Tunku Azizah dan melepak, dia telah dicari semula.
“Mana dah tukang kipas saya ni?” soal Tunku Azizah dipetik pengguna media sosial.
Betul-betul macam tukang kipas diraja ni!
Wazir dan kanak-kanak lain yang hadir di sana juga turut menerima sampul duit raya daripada pemimpin kesayangan mereka itu.
“The Real Kaki Kipas” – Pengguna Media Sosial
Menjenguk lanjut ke ruangan komen, orang ramai teruja melihat Wazir yang setia mencurahkan bakti untuk mengipas Permaisurinya.
Malah, mereka siap mengaitkan perkara itu dengan tindakan ‘mengipas’ boss yang sering dilakukan oleh sesetengah pekerja.
“Setakat ni pernah jumpa kaki kipas boss je. Adik ni power kipas Sultan terus,” seloroh seorang pengguna TikTok.
Dalam pada itu, seorang individu sempat memuji sifat Tengku Ampuan Pahang yang merendah diri, sekaligus membuatkan mangsa banjir menjadi mesra walaupun ditimpa musibah.
Seorang pengguna media sosial pula menjelaskan nama ‘Wazir’ bermaksud ‘menteri’ serta turut mendoakan agar kanak-kanak terbabit menjadi pemimpin di masa hadapan.
Pahang Diminta Bersedia Hadapi Banjir Gelombang Kedua
Pahang menjadi negeri ke-10 yang terkesan dengan banjir apabila Raub, Lipis dan Jerantut dilanda bencana alam itu. Semalam (3 Disember), dua lagi daerah iaitu Temerloh dan Bera pula terkesan.
Menurut info terkini di Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, 53 mangsa yang terkesan dengan banjir di Pahang ditempatkan di empat Pusat Penempatan Sementara (PPS).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam pada itu menggesa Pahang dan Johor bersedia bagi menghadapi banjir gelombang kedua minggu hadapan.
“Untuk gelombang kedua yang diunjurkan mulai pada 8 Disember dan berakhir 14 Disember kesiapsiagaan melebihi daripada kesiapsiagaan sebelum ini kerana kita telah mengadakan simulasi jangkaan itu sebelum gelombang pertama.
“Kita harap negeri Pahang dan Johor bersiap sedia kerana uluran hujan akan turun ke Pahang dan Johor dan air daripada sungai yang datang daripada Terengganu akan juga turun ke Pahang dan kemudiannya turun ke Johor,” katanya.