“Ya Jual Di Sana G*blok” – Pendakwah Indonesia Didakwa Hina Peniaga Air Teh Di Depan Orang Ramai [Video]
Di dalam video tular itu, pendakwah, Gus Miftah yang sedang berada di atas pentas melontarkan gurauan kasar kepada peniaga air teh tersebut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, tular di media sosial satu klip rakaman yang memaparkan seorang pendakwah selebriti berpengaruh di Indonesia, Gus Miftah yang didakwa menghina seorang peniaga air teh jalanan di hadapan khalayak ramai dalam sebuah majlis.
Di dalam video tular itu, Gus Miftah atau nama sebenarnya Miftah Maulana Habiburrahman itu sedang berada di atas pentas ketika kejadian berlaku.
Pendakwah asal Yogyakarta itu pada awalnya bertanya kepada penjual itu yang berada di majlis terbabit mengenai jumlah air teh yang masih belum terjual sebelum secara tiba-tiba melontarkan gurauan kasar.
“Air teh kamu masih banyak? Ya, pergi jual di sana g*blok” – Gus Miftah
“Air teh kamu masih banyak tak? Masih? Ya, pergi jual di sana g*blok,” kata Gus Miftah sebelum jemaah yang turut berada di atas pentas ketawa bersama-sama.
Difahamkan, segelintir individu yang berada di atas pentas bersama Gus Miftah itu merupakan golongan agamawan termasuk Habib Zaidan.
“Kamu jual dulu, kalau belum laku, ya sudah itu takdir,” kata Gus Miftah lagi di atas pentas sebelum disambut dengan gelak tawa orang ramai yang berada di sana.
Peniaga air teh terdiam kaku mendengar gurauan Gus Miftah
Apa yang memilukan, jelas kelihatan reaksi wajah peniaga air teh itu seakan menahan malu setelah mendengar kata-kata Gus Miftah.
Malah, lelaki itu juga hanya terdiam dan berdiri kaku seolah-olah buntu sama ada perkara itu adalah gurauan atau satu bentuk penghinaan kepada dirinya.
Dia kemudiannya memberikan satu senyuman pahit yang membuatkan orang ramai yang menonton video tular itu berasa simpati.
Tindakan Gus Miftah cetus kemarahan rakyat Indonesia
Penularan video tersebut sekali gus mencetuskan kemarahan ramai rakyat Indonesia yang menyifatkan gurauan itu sebagai satu hinaan yang sangat biadap.
Mereka turut menzahirkan rasa simpati terhadap lelaki berkenaan dan tidak dapat membayangkan sekiranya perkara itu terjadi kepada ahli keluarga mereka.
Mereka turut mempersoal bagaimana tergamaknya individu lain yang berada di atas pentas turut ketawa bersama-sama mendengar gurauan Gus Miftah yang disifatkan sebagai langsung tidak kelakar.
Gus Miftah tampil mohon maaf, akui kesilapan terlebih bergurau
Cakna akan perkara itu, Gus Miftah pada semalam (3 Disember) telah tampil membuat permohonan maaf dan mengakui kekhilafannya.
“Assaalamualaikum, saya ingin memberi respon terhadap apa yang sedang tular hari ini. Pertama sekali, dengan rendah hati, saya memohon maaf atas kekhilafan saya,” katanya dipetik Warta Kota.
Menurutnya, kata-kata kasar yang dilontarkan olehnya kepada peniaga air teh itu hanyalah gurauan semata-mata.
“Saya memang sering bergurau dengan sesiapa sahaja. Maka atas gurauan saya terhadap individu tersebut, saya akan meminta maaf secara langsung dan semoga pinta kemaafan dibuka untuk saya.
“Saya juga memohon maaf kepada masyarakat atas kekecohan ini, terutamanya kepada mereka yang berasa terganggu dengan gurauan saya yang mungkin dianggap berlebihan.
“Untuk itu, saya memohon maaf. Ini juga menjadi satu pengajaran untuk saya lebih berhati-hati ketika bercakap di hadapan khalayak ramai,” ujarnya.
Berikut komen yang diberika netizen Indonesia di TikTok: