Wanita Kongsi Rakaman ‘Deep Talk’ Dengan Arwah Bapa Dalam Kereta Buat Ramai Sebak [Video]
Menurut Mila, bapanya itu telah pergi dijemput Ilahi pada 22 Oktober yang lalu selepas berjuang melawan penyakit kansernya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ibu bapa merupakan individu yang sangat penting dalam kehidupan anak-anak. Malah kehadiran sosok penting ini mengajar kita mengenai kehidupan, pengorbanan, kasih sayang dan banyak lagi.
Tak dinafikan melihat mereka gembira dan tersenyum adalah satu perkara yang sangat membahagiakan kerana kita semua tidak akan tahu bilakah kali terakhir dapat melihat semua itu sebelum mereka kembali kepada penciptaNya.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila ramai yang merakamkan momen manis mereka bersama ibu bapa tersayang kerana mungkin ia bakal menjadi medium untuk melepaskan rindu apabila mereka sudah tiada.
Wanita kongsi perbualan mendalam dengan arwah bapa sebelum pergi selamanya
Baru-baru ini, seorang wanita yang dikenali sebagai Mila Ahmad telah berkongsi perbualan mendalamnya (deep conversation) bersama arwah bapa tentang kehidupan dan sebagainya.
Menerusi video yang dikongsikan oleh Mila di TikTok, kelihatan dua beranak itu pada mulanya berada di dalam kereta. Mila kemudian bertanya kepada arwah ayah yang merupakan pejuang kanser mengenai persediaan dalam mendepani penyakit.
Mila bertanya adakah arwah ayahnya takut dalam menghadapi saat-saat akhirnya. Namun bapanya menjawab persoalan itu dengan tenang dan menyifatkan aturan Allah SWT adalah terbaik.
“Hmm? Takut? Tak lah Allah SWT baik. Saat tu memang Allah SWT beri rasa, Nabi SAW pun sakit. Hadapi jelah, sekejap,” ujarnya sambil menyifatkan kepalanya ketika itu sakit seperti rasa ‘digerudi’.
Reda dengan segala kesakitan yang diberikan kerana Allah SWT sayang, ingatkan kena sentiasa sebut nama Allah
Jelas arwah bapa Mila, dia menerima segala kesakitan yang diberikan dengan reda dan percayai Allah SWT memberikan kesakitan itu bukan untuk menganiaya hambaNya.
“Allah SWT kasih dekat kita, Allah sayang kita. Kita banyak sebut nama Dia walaupun kita bukan orang alim.
“Tapi sebut (nama) itu yang Allah SWT nak, ingat Dia,” ujarnya lagi.
Anak adalah perkara paling bermakna
Malah bapanya itu turut mengatakan memiliki anak-anaknya merupakan antara yang paling bermakna buat dirinya. Meskipun berdepan kesusahan, dia akan sentiasa ikhlas mencari rezeki untuk anak menuntut ilmu dan yakin wang akan sentiasa ada.
Luahan bapanya itu secara tidak langsung membuatkan Mila sebak dan sedih. Mila turut mengucapkan terima kasih kepada arwah bapanya itu kerana menjadi seorang bapa yang terbaik buat dia dan adik beradik .
“Terima kasih ayah, jadi ayah yang terbaik. Ayah ada satu je. Insya-Allah syurga buat ayah dekat sana. Syurga, syurga,” kata Mila dan turut mengingatkan bahawa Allah SWT juga menyayangi bapanya.
Dia juga mengatakan makin banyak ujian makin Allah sayang kepada hambanya.
“Satu perbualan yang mendalam yang saya miliki sebulan sebelum saya tidak lagi dapat bercakap dengan ayah seperti biasa.”
Kongsi detik akhir ayah sebelum meninggal dunia
Dalam satu lagi video yang dimuat naik, Mila juga berkongsi detik akhir ayahnya sebelum menghembuskan nafas dan dia sempat mengajar ayah untuk mengucap dan berada di sisinya.
Jelas Mila dalam video tersebut arwah ayah meninggal dunia pada 22 Oktober yang lalu.
“Malam tu kebetulan akak semua keluar rumah kejap, ada nak ambil barang. Ayah hembuskan nafas terakhir tepat hari lahir ayah 22 Oktober 2024.”
Ramai mengalirkan air mata lihat video
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang sebak melihat video memaparkan momen kenangan dua beranak itu.
Tidak kurang juga ada yang teringatkan ibu bapa mereka sebaik melihat video tersebut, bukan hanya itu ada yang berkongsi pengalaman mereka yang pernah berdepan dengan situasi sama.