Jenazah Bayi Dibekukan Selama 16 Hari, Kerana Bapa Tak Mampu Bayar Bil Hospital
Menurut Wan Cai dalam hantarannya, bayi itu difahamkan meninggal dunia 30 minit selepas dilahirkan disebabkan tidak cukup sifat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kehilangan individu tersayang merupakan satu perkara yang sukar untuk diterima oleh sesiapa sahaja yang menghadapinya.
Apatah lagi individu yang pergi itu merupakan anak atau bayi yang dikandung selama sembilan bulan di dalam perut ibunya.
Pasti perkara ini amat menyedihkan buat kedua ibu bapa serta ahli keluarga untuk menerima kenyataan yang pahit itu namun terpaksa diredai.
Jenazah bayi terpaksa dibekukan kerana bapa tak mampu selesaikan bil hospital
Begitu jugalah yang dirasai pasangan suami isteri yang diuji dengan hebat apabila jenazah bayi lelaki yang meninggal dunia selepas dilahirkan terpaksa dibekukan selama dua minggu kerana bapa tidak berkemampuan untuk menyelesaikan bil hospital.
Menerusi video yang dikongsikan oleh Mr Wan Cai di Facebook, awalnya dia berkongsi keadaan jasad bayi yang dikenali sebagai Muhammad Adham Mikail yang sudah beku untuk proses pengurusan jenazah sebelum dikebumikan.
Menurut Wan Cai, pada mulanya si ibu telah dihantar ke sebuah hospital swasta oleh jiran selepas mengadu sakit.
Ketika insiden itu berlaku, bapa kepada arwah bayi berkenaan pula sedang bekerja dan bergegas ke hospital sebaik menerima makluman mengenai keadaan isteri tercinta.
Beritahunya lagi, ekoran keadaan jenazah bayi yang membeku pihak pengurusan jenazah terpaksa menggunakan air panas yang dicampur bersama air paip untuk melembutkan tubuh dan sendi si kecil berkenaan.
“Hancur luluh bila melihat jenazah anak tanpa dosa ini 100% beku. Bayangkan bayi yang sudah meninggal dunia 24 November ditahan selama 2 minggu dan diletakkan dalam peti sejuk.
“Perkara ini berlaku asbab si ayah tidak mampu mambayar bil bagi caj kelahiran anaknya di sebuah hospital swasta,” katanya.
Bayi meninggal dunia lepas 30 minit dilahirkan
Jelas Wan Cai, bayi itu dilaporkan sudah meninggal dunia selepas 30 minit dilahirkan difahamkan ekoran tidak cukup sifat.
“Adik Muhammad Adham meninggal dunia selepas 30 minit dilahirkan asbab tidak cukup sifat iaitu hanya mempunyai satu mata, tiada hidung dan tiada saluran lubang najis,” tulisnya dalam satu hantaran.
Dalam satu lagi hantaran, Wan Cai memaklumkan si ibu turut tidak dibenarkan keluar dari wad sehingga bil diselesaikan oleh suaminya pada 11 pagi dipercayai semalam (9 Disember).
“Bukan jasad bayi Muhammad Adham sahaja ditahan selama 16 hari di peti beku, tetapi ibunya juga tidak dibenarkan keluar dari wad sehinggalah bil dibayar oleh si ayah pada 11 pagi tadi (9 Disember).”
Dia turut memaklumkan ibu kepada bayi berkenaan berasal dari Melaka manakala bapanya dari Negeri Sembilan.
Ramai simpati dengan nasib keluarga bayi, bil hospital bernilai RM3600
Perkongsian Wan Cai mengenai kisah jenazah bayi berkenaan telah menarik perhatian ramai pengguna Facebook yang bersimpati dengan keluarga tersebut.
Malah ada yang bertanya berapakah jumlah bil hospital berkenaan sehingga menyebabkan jenazah dan si ibu ditahan. Wan Cai kemudian memaklumkan RM3600.
Wan Cai di dalam komen bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci seperti nama serta lokasi hospital berkenaan atas faktor tertentu.
Dalam satu siaran langsung yang dilakukan ketika pengebumian, perakam memaklumkan proses pengebumian yang dibuat itu menggunakan dana yang disumbang dari orang ramai.
Si bapa dalam siaran langsung itu turut berterima kasih kepada Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) dan sumbangan dari orang ramai yang banyak membantu sepanjang proses jenazah dan pengebumian bayinya.
Perakam turut memaklumkan keadaan emosi si ibu juga tidak begitu stabil dan asyik menangis. Dia juga berkongsi ini adalah pengalaman pertamanya menerima jenazah bayi yang 100% beku.
Berikut adalah beberapa komen daripada netizen: