fbpx
Now Reading
Tular Peniaga Jual Nasi Goreng Tingkap RM5, Rupanya Ada Kisah Di Sebaliknya [Video]

Tular Peniaga Jual Nasi Goreng Tingkap RM5, Rupanya Ada Kisah Di Sebaliknya [Video]

Menurut peniaga itu, dia memulakan perniagaan ‘Tingkap’ itu selepas terpaksa bercuti kerana sakit dan untuk mengumpul duit belanja serta wang ubat-ubatan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Di saat ekonomi yang kian menghimpit kehidupan rakyat marhaen, tak dinafikan bukan mudah untuk mencari barangan atau makanan yang murah di luar sana.

Oleh di sebabkan itu, sekiranya ada peniaga yang menawarkan harga yang murah dengan saiz hidangan yang berpatutan ia akan menjadi buruan dan mendapat perhatian.

Tular peniaga jual nasi goreng RM5 di Langkawi

Seperti yang berlaku pada baru-baru ini apabila tular mengenai seorang peniaga yang menjual nasi goreng tingkap di Langkawi, Kedah pada harga RM5 sahaja.

Malah apa yang menjadi tarikan saiz hidangan untuk harga RM5 itu juga begitu banyak dan turut dilengkapi dengan ikan bilis dan telur goreng.

Selain itu, keunikan nasi goreng ini adalah pelanggan akan mengambil sendiri makanan tersebut dari bakul yang diturunkan dari tingkap kerana peniaga tidak menyediakan sebarang meja mahupun kerusi (no dine in concept).

Video yang dikongsikan oleh seorang wanita di TikTok kemudiannya menjadi tular dan menarik perhatian ramai yang tidak sabar untuk mencubanya.

Rupanya ada kisah di sebalik perniagaan nasi goreng yang tular

Namun di sebalik video tular itu tersimpan satu kisah bagaimana tercetusnya perniagaan makanan yang dijual dari tingkap ini.

Malah dia juga tidak menyediakan sebarang peralatan untuk makan di kedai dan hanya ‘self-pick up’ (ambil sendiri).

Sedang cuti sakit punca buka perniagaan nasi goreng tingkap

Menurut Abang Tingkap, dia menjalankan perniagaan ‘pesan dan ambil makanan sendiri’ kerana sedang bercuti disebabkan kecederaan yang dialami.

Ujarnya kecederaan tersebut secara tidak langsung membuatkan dia sukar untuk berdiri dalam tempoh yang lama. Perkara ini sekali gus menyebabkan dia tidak dapat meneruskan pekerjaan terdahulunya iaitu seorang tukang masak di sebuah restoran.

“Jadi setelah berbulan tidak bekerja dan hampir kehabisan duit simpanan serta mendapat kebenaran, kami mulakan nasi goreng seperti sekarang untuk mencari duit belanja harian, duit ubatan dan lain-lain.

“Kenapa jual murah, untung ke? Susah nak cakap tapi sekadar mencari duit belanja dan duit ubat pun dah bersyukur. Tambahan pula, rencah (bahan) tidak sama seperti kedai makan yang mampu menyediakan bahan mentah,” katanya menerusi satu perkongsian di TikTok.

Menurut Abang Tingkap lagi setiap nasi goreng yang dijual dimasak secara ‘fresh’ berdasarkan order yang diterimanya.

Dia juga turut menjawab persoalan segelintir pihak sama ada menerima bantuan (pihak berkenaan) atau pun tidak memandangkan berada dalam keadaan sakit. Abang Tingkap memaklumkan dia pernah memohon namun tidak mendapat perhatian.

Buat menu simple sebab tak ada peti ais nak simpan bahan basah

Jelas Abang Tingkap lagi dia memilih untuk membuat menu yang mudah kerana tidak mempunyai kelengkapan yang cukup untuk menyimpan bahan mentah sekiranya ia tak habis digunakan.

Malah memaklumkan tidak mempunyai modal yang banyak apabila ada yang mengatakan jualannya terlalu cepat habis.

“Modal abang tak besar, kadang apa yang dapat hari ni, itu lah modal esok. Kadang pula, tak banyak order, duit akan jadi dua kali ganda. Begitu lah, lagi pun abang tidak ada transport (kenderaan) langsung.

“Mengharapkan seorang kawan setiap pagi untuk beli barangan sekejap dan misi untuk beli barang sebelum jam 6 petang,” ujarnya lagi.

Abang Tingkap juga memaklumkan dia akan kembali bekerja seperti sebelum ini apabila sihat kelak.

Kongsi cara nak buat pesanan

Di akaun TikTok rasminya, Abang Tingkap turut berkongsi cara untuk memesan makanan yang dijualnya malah mengalakkan mereka membuat order awal sejam selain mengelak membuat pesanan di kedai.

Melihat di ruang komen, ramai yang memberikan semangat kepada Abang Tingkap selepas mengetahui kesusahan yang dihadapinya.

Tidak kurang juga ada yang mendoakan agar dia kembali sihat serta dipermudahkan segala urusan.

“Insya-Allah kalau ada rezeki kami, kami pergi Langkawi dan nak singgah. Semoga murah rezeki Abang Tingkap..”

“Bagi yang berkemampuan, bagi lah lebih sikit. Niat nak bantu Abang Tingkap. Semoga murah rezeki kepada yang dah pernah bagi. Semoga abang tingkap sihat”

“Semoga Abang Tingkap diberikan kesihatan yang baik. Cepat sihat, Allah permudahkan segala urusan dan dilimpahkan lagi rezeki Abang Tingkap”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.