Jenazah Bayi Dibeku: Individu Selar Kenyataan Hospital Dakwa Ibu Bapa Tiada Sijil Kahwin
Menurut Wan Cai pada 7 Disember seorang rakan sekerja ibu bapa bayi berkenaan telah datang untuk membuat pembayaran RM663, namun jenazah tidak boleh dituntut sehingga bil dijelaskan sepenuhnya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebelum ini, negara dikejutkan dengan insiden memilukan apabila mayat seorang bayi lelaki, Muhammad Adham Mikail didakwa dibekukan selama 16 hari di sebuah hospital swasta.
Menerusi perkongsian Mr Wan Cai di Facebook jenazah bayi itu dibekukan kerana bapanya tidak berkemampuan untuk menyelesaikan bil hospital.
Perkongsian itu menjadi tular dan mendapat perhatian ramai. Susulan itu Hospital Bersalin Razif di Klang, Selangor tampil membuat penjelasan berhubung isu berkenaan.
Dakwa hospital itu, ibu bayi tidak pernah mempunyai sebarang pemeriksaan sepanjang kehamilannya dan memaklumkan bahawa pihak mereka hanya menerima pesakit atas dasar kemanusiaan meskipun tidak berdaftar dan saringan.
Jelas kenyataan itu lagi, ibu kepada bayi berkenaan mendakwa wanita itu mengaku tidak berkahwin. Bayi yang lahir disahkan mengalami sindrom siclop sebelum meninggal dunia selepas beberapa minit dilahirkan.
Pihak hospital juga memaklumkan pesakit kemudiannya dibenarkan keluar pada keesokan harinya dan jumlah keseluruhan bil adalah sebanyak RM2,480.
Individu selar kenyataan hospital dakwa ibu bapa bayi tak berkahwin
Terbaharu Wan Cai menerusi Facebook rasminya menyelar dan mendakwa kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak hospital.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik olehnya, beliau turut menyertakan bukti mengatakan terdapat individu yang cuba membantu dengan membuat sedikit pembayaran pada 7 Disember untuk menuntut jenazah bayi.
“Sudahlah kejam penipu pula. Kau keluarkan kenyataan ibu bapa Adham (bayi) tak kahwin tanpa lihat sijil nikah mereka tu satu hal. Lepas tu kau kata bapa dia pula yang tak nak uruskan jenazah anaknya?
“Seorang kawan tempat kerja (bapa bayi) datang ke hospital buat bayaran RM663 pada 7 Disember. Lepas buat bayaran kawan tu cuba tuntut jenazah tapi staf di kaunter tak benarkan.
“Dia minta bayar baki RM1,817, baru jenazah bayi Adham boleh dilepaskan,” dakwanya.
Berpendapat hospital sepatutnya mengakui kesilapan, ada bukti resit dan sijil nikah
Dalam hantaran itu Wan Cai juga berpendapat pihak hospital sepatutnya mengakui kesalahan yang dilakukan dan betulkan keadaan.
Malah dia juga mengatakan mempunyai saksi dan resit yang dikeluarkan atas nama hospital terbabit.
“Aku ada bukti dokumen sijil nikah yang kau sibuk kata ibu bapanya tidak berkahwin. Kau berani kata ibunya dibenarkan keluar pada hari kejadian.
“Kau lupa pada hamba Allah yang tolong bayarkan baki RM1800 duit bil hospital pada 11 Disember. Kalau Allah nak buka aib kau, silap-silap hamba Allah tu muncul tampilkan diri untuk menjadi saksi.”
Dalam hantaran itu Wan Cai juga memuat naik beberapa tangkap layar perbualan dipercayai bapa bayi berkenaan dengan individu yang membantunya untuk membuat pembayaran bil hospital agar jenazah boleh dituntut.
Tunjuk bukti resit dibayar bertarikh 7 Disember 2024
Dalam satu lagi hantaran Wan Cai memuat naik paparan resit pembayaran sebanyak RM663 yang dibuat pada 7 Disember lalu.
Selain itu, turut berserta gambar ibu bayi berkenaan semasa rakannya datang melawat pada hari sama pembayaran dibuat.