Ramai Sebak Wanita OKU Guna Bahasa Isyarat Untuk Nyanyi Bersama Rakan Ketika Di Karaoke [Video]
Menerusi video tersebut kelihatan Pyka bersungguh-sungguh menggunakan bahasa isyarat untuk bernyanyi bersama-sama dengan rakannya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Rakan merupakan salah seorang insan yang diperlukan oleh setiap individu dalam kehidupan harian. Jumlahnya tidak perlu ramai tetapi cukuplah untuk mempunyai seseorang yang baik dan berkawan dengan ikhlas.
Kebiasaannya mana-mana individu akan membuat pelbagai aktiviti bersama sahabat mereka seperti pergi makan, menonton wayang, beriadah, karaoke dan banyak lagi.
Meskipun ada segelintir dari kita tidak selalu dapat bertemu dengan sahabat namun kenangan bersama akan sentiasa menjadi ingatan.
Rakan terharu lihat gelagat wanita OKU guna bahasa isyarat untuk nyanyi
Baru-baru ini, seorang wanita iaitu Pyka yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) pekak dan bisu membuatkan rakannya terharu dengan gelagat spontannya sewaktu meluangkan masa bersama rakan-rakan di sebuah pusat hiburan.
Menerusi video yang dimuat naik oleh Syah di TikTok, awalnya kelihatan tiga rakan itu telah berkunjung ke sebuah pusat karaoke.
Dalam video tersebut kelihatan salah seorang dari rakan Pyka telah menyanyikan lagu Bukan Cinta Biasa dari Siti Nurhaliza.
Guna bahasa isyarat untuk nyanyi sama-sama dengan kawan ketika karaoke
Namun apa yang menjadi perhatian, meskipun mengalami kecacatan namun Pyka turut menyanyi bersama-sama dengan menggunakan bahasa isyarat.
Malah kelihatan mulutnya juga seperti terkumat-kamit mengikuti lirik yang tertera pada skrin televisyen.
Perkara itu secara tidak langsung membuatkan rakan-rakannya tergamam apabila melihat Pyka cuba mengikuti mereka bernyanyi dengan caranya sendiri.
“POV (Point Of View) kau speechless (tergamam) dan terharu dalam masa yang sama. Awak terlalu sempurna kepada kami Pyka,” kata Syah dalam video tersebut.
Rakan dilihat menangis terharu lihat kesungguhan Pyka
Turut kelihatan rakan yang duduk bersebelahan Pyka juga menyeka air matanya kerana terharu melihat kesungguhan wanita itu untuk menyanyi bersama-sama.
Melihat di ruang komen, ramai yang terharu dan memuji Syah serta rakannya kerana ikhlas dan menerima Pyka seadanya.
Ada juga yang memberi cadangan sekiranya ada konsert dilakukan di Malaysia, mereka juga boleh memanggil Pyka untuk melakukan terjemahan dalam bahasa isyarat.
Menurut Syah di ruang komen, bahasa isyarat itu dibuat oleh Pyka secara diam-diam ketika mereka menyanyi.