Betul Ke Tak Elok Tidur Lepas Subuh? Ini Penjelasannya [Video]
Menerusi video tersebut, Dr Kamilin menjelaskan terdapat keberkatan rezeki sebelum dan selepas subuh namun tiada hadis sahih yang spesifik menghalang seseorang tidur selepas waktu berkenaan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap yang beragama Islam pasti akan bangun di awal pagi sekitar jam 6 pagi untuk menunaikan solat subuh seperti yang telah diwajibkan ke atas setiap hambaNya.
Namun kita sering dilarang daripada tidur semula selepas selesai menunaikan solat fardu subuh
Malah ada yang mengatakan ia tidak elok seseorang kembali tidur selepas subuh, sebaliknya ada yang menyarankan untuk terus aktif dengan melakukan perkara lain apabila selesai menunaikan fardu wajib itu.
Walau bagaimanapun, ada segelintir dari kita yang adakalanya tidak dapat menahan diri daripada tidak tidur atas beberapa faktor seperti pekerjaan, keletihan atau mahukan masa untuk berehat.
Dr Kamilin jelaskan mengenai tidur selepas subuh
Baru-baru ini Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis, Dr Kamilin Jamilin ada menjelaskan mengenai perkara ini dalam satu video di TikTok.
Menurut Dr Kamilin, sebenarnya tidak ada satu hadis sahih yang spesifik menghalang seseorang untuk tidur selepas subuh.
Ujarnya perkara itu adalah sebahagian pandangan daripada para ulama berdasarkan hadis yang umum.
“Contohnya hadis yang sebut keberkatan awal pagi. ‘Ya Allah, berkatilah umatku di awal paginya’ tapi sebenarnya hadis ini lebih kepada galakan untuk mencari rezeki di awal pagi.
“Yelah siang, pagi-pagi ni kan orang dah mula nak meniaga, bekerja dan rugilah kalau kita tak ambil peluang ini untuk mencari rezeki.
“Begitu juga dengan hadis yang Nabi SAW umpamakan orang yang bertawakal ini, seperti burung yang keluar di awal pagi mencari rezeki keluar dalam keadaan perut kosong dan pulang dalam keadaan yang kenyang,” jelasnya.
Ada keberkatan rezeki sebelum dan selepas subuh, tiada masalah untuk tidur selepas subuh
Kata beliau lagi, tak dinafikan waktu di awal pagi sebelum dan selepas subuh itu mempunyai keberkatan serta manusia menjadi segar apabila ingin melakukan sebarang aktiviti kerana cuaca juga dalam keadaan baik.
Selain itu, ada juga keberkatan rezeki yang hanya diketahui oleh Allah SWT.
“Tapi kalau ada maslahat untuk kita tidur sebab setiap orang ni berbeza-beza waktu dan cara bekerja. Mungkin kita kena caj tenaga dulu, mungkin kita jenis yang suka nap (tidur sekejap) dulu.
“Tak apalah tiada larangan pun. Kalau tanya saya lepas subuh ni, kalau boleh kita zikir apa yang patut dulu. Kita zikir pagi ke, kalau boleh solat Dhuha tu lagi baik, lepas tu kalau kita nak tidur sekejap pun tidak ada masalah, boleh je,” katanya lagi.
Boleh jadi makruh jika tiada keperluan
Di akhir video, Dr Kamilin juga ada menjelaskan hukum untuk tidur selepas subuh juga boleh menjadi makruh sekiranya tiada keperluan. Ini kerana, Allah telah menjadikan malam sebagai waktu tidur dan berehat.
Manakala di waktu siang adalah untuk manusia kekal proaktif dan produktif berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Naba’ ayat 9-11:
“Dan kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat (ayat 9).
“Dan kami telah menjadikan kegelapan malam sebagai pakaian (ayat 10).
“Dan kami telah menjadikan siang masa untuk mencari rezeki (ayat 11).”
Perkara sama turut dijelaskan oleh mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mengatakan tiada nas yang jelas menghalang seseorang untuk tidur selepas subuh.
Bahkan Ustaz Azhar Idrus juga pernah menjelaskan bahawa tidak haram untuk tidur selepas subuh sebaliknya perbuatan itu hanya merugikan seseorang.
Penjelasan yang diberikan oleh Dr Kamilin itu turut menarik perhatian ramai. Malah ada yang mengatakan jika di Malaysia mungkin keperluan untuk tidur semula hanya perlu untuk segelintir individu.
Namun perlu untuk individu yang duduk di negara 4 musim untuk tidur semula selepas subuh memandangkan waktu solat mereka sekitar jam 3 hingga 4 pagi. Perkara itu turut dipersetujui oleh Dr Kamilin.