FAM Umum Peter Cklamovski Jadi Ketua Jurulatih Baharu Harimau Malaya
FAM turut mengumumkan Nafuzi Zain dilantik menjawat jawatan sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya bagi skuad bawah 23 tahun (B-23).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Teka-teki mengenai posisi Ketua Jurulatih baharu skuad kebangsaan, Harimau Malaya bagi menggantikan Kim Pan-gon akhirnya terjawab hari ini (16 Disember) selepas ia secara rasminya diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook FAM, jurulatih kelahiran Australia, Peter Cklamovski yang kini berusia 46 tahun dilantik sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya.
“Peter Cklamovski dari Australia dilantik untuk menggalas tugasan ini selepas beliau dilihat sebagai seorang jurulatih muda yang berkaliber dalam memastikan skuad Harimau Malaya dapat bersaing lebih hebat di pentas antarabangsa bermula dengan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac depan,” katanya.
Peter Cklamovski berjaya lakar pelbagai kejayaan
Menurut FAM, bekas pengurus FC Tokyo itu pernah bekerja selama lebih 15 tahun di bawah pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou.
Difahamkan, kedua-dua individu ini pernah mengemudi skuad kebangsaan Australia sehingga menjuarai Piala Asia 2015 dan Liga J1 2019 ketika mereka mengemudi kelab Jepun, Yokohama F. Marinos.
“Cklamovski kemudian mengembangkan kariernya sebagai ketua jurulatih apabila dilantik sebagai pengurus kelab Liga J1, Shimizu S-Pulse pada 2020.
“Pada musim 2021, beliau mengambil cabaran untuk menjadi pengurus kelab Liga J2, Montedio Yamagata dan berjaya menyelamatkan kelab tersebut daripada zon penyingkiran, seterusnya bangkit layak ke perlawanan ‘playoff’ ke Liga J1.
“Selepas itu, Cklamovski dilantik pula sebagai pengurus FC Tokyo pada Jun 2023 dan berjaya memberi impak segera menerusi penerapan identiti bola sepak penuh berinspirasi yang menghasilkan kejayaan serta memberikan keterujaan kepada penyokong,” katanya lagi.
Cklamovski bawa misi ingin Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi
Menurut persatuan induk bola sepak itu lagi, Cklamovski hadir ke negara ini bersama set staf kejurulatihan yang mantap untuk memastikan para pemain yang dipanggil ke kem latihan skuad Harimau Malaya diberi tunjuk ajar yang sebaiknya.
Sebagai permulaan, misi utama Cklamovski adalah untuk memastikan skuad kebangsaan berjaya mengungguli saingan kelayakan Kumpulan F bagi mencapai sasaran layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi, selain memperbaiki ranking FIFA untuk menuju ke kedudukan 100 terbaik dunia.
Nafuzi Zain dilantik jadi Ketua Jurulatih skuad kebangsaan B-23
Dalam pada itu, FAM turut melantik Nafuzi Zain sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya bagi skuad bawah 23 tahun (B-23).
Rekod dan pengalaman Bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC berusia 46 tahun itu dalam mengendalikan pasukan bawah umur tidak boleh dinafikan apabila beliau berjaya membawa Kelantan menjuarai Piala Presiden sebanyak tiga kali.
Kejayaan itu diraih Nafuzi semasa memegang jawatan sebagai penolong ketua jurulatih pada 2011 dan 2013 serta ketua jurulatih pada 2017 hingga 2019.
Kedua-dua individu ini akan memulakan tugasan secara rasmi bersama FAM bermula 1 Januari 2025.
Sebelum ini, tular desas-desus yang mengatakan Cklamovski akan dilantik sebagai Ketua Jurulatih baharu Harimau Malaya, namun pada waktu itu, tiada sebarang pengesahan dari pihak FAM bahkan Pemilik JDT, Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan ia hanya akan diumumkan pada hari ini.
Malaysia's new head coach will be Aussie Peter Cklamovski after leaving FC Tokyo at end of #JLeague season.
— Sacha Pisani (@Sachk0) December 12, 2024
The 46yo's been in Asia since 2018.
Malaysia's FA set to unveil ground-breaking project aimed at restructuring Malaysian football, with Tim Cahill to be involved too. pic.twitter.com/90vvaORR9T