Haram Simpan & Beku Jenazah Orang Islam Tanpa Sebab Sah – Mufti Pulau Pinang
Walau bagaimanapun, tindakan menyimpan dan membekukan jenazah orang Islam diharuskan sekiranya dalam situasi darurat atau terdapatnya keperluan tertentu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada minggu lalu, kecoh di media sosial kisah sedih mengenai seorang bayi lelaki yang disimpan dan dibekukan selama dua minggu oleh sebuah hospital swasta.
Tindakan tidak berperikemanusiaan itu dipercayai akibat bapa bayi berkenaan yang tidak dapat menyelesaikan bil hospital sebanyak RM3,600.
Bayi yang dikenali sebagai Muhammad Adham Mikail dipercayai telah meninggal dunia pada 24 November lalu sebelum jasadnya disimpan dan dibekukan dalam peti sejuk hospital tersebut.
Kisah sedih itu nyata mendapat perhatian ramai termasuklah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas ianya dikongsikan oleh Pengasas Pengurusan Jenazah UKVJ, Wan Cai yang menguruskan jasad bayi terbabit.
Malah, kes itu turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang meminta agar mufti mengeluarkan pandangan berhubung isu berkenaan.
Baca Artikel Berkaitan: Jenazah Bayi Dibekukan Selama 16 Hari, Kerana Bapa Tak Mampu Bayar Bil Hospital
Baca Artikel Berkaitan: KKM Jalankan Siasatan Selepas Tular Dakwaan Hospital Swasta Beku & Tahan Jasad Bayi 2 Minggu
Mufti Pulau Pinang Jelas Simpan & Bekukan Mayat Tanpa Sebab Haram Disisi Syarak
Terbaharu, Mufti Pulau Pinang Sahibus Samahah Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman menjelaskan perbuatan menyimpan atau membekukan mayat orang Islam tanpa sebab yang sah adalah haram di sisi syarak.
Jelas beliau, Islam sangat menekankan jenazah individu yang beragama Islam diuruskan dengan kadar segera termasuklah memandikan, mengkafankan, solat dan kebumi.
“Rasulullah SAW bersabda agar segerakanlah pengurusan jenazah (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
“Maka, menyimpan atau membekukan mayat tanpa sebab syarie bertentangan dengan tuntutan menyegerakan pengurusan jenazah,” kata beliau yang dipetik daripada Kosmo.
Diharuskan Sekiranya Dalam Situasi Darurat
Walau bagaimanapun, tindakan itu diharuskan sekiranya dalam situasi darurat atau terdapatnya keperluan tertentu.
“Antaranya bagi tujuan menjalankan siasatan forensik atau undang-undang membabitkan kes pembunuhan, kemalangan atau keperluan bedah siasat di mana jenazah boleh disimpan sementara waktu.
“Kedua adalah pengangkutan ke tempat lain. Jika jenazah perlu dihantar ke negara atau lokasi yang jauh, pembekuan sementara mungkin diperlukan untuk menjaga kehormatan jenazah.
“Harus dilakukan juga sekiranya berada dalam keadaan darurat seperti bencana alam atau peperangan, di mana pengurusan jenazah segera tidak dapat dilakukan,” jelas beliau.
Boleh Disimpan Atau Bekukan Dalam Tempoh Tertentu
Tambah beliau lagi, dalam keadaan tersebut tindakan menyimpan dan membekukan jenazah dibolehkan namun ia hanya untuk tempoh yang diperlukan serta niat bagi menjaga kehormatan si mati.
Jelas Mohd. Sukki, apa sahaja tindakan yang berkaitan jenazah perlulah dilakukan dengan niat menjaga kehormatan manusia dan mengutamakan prinsip syariah.
“Jika ragu, rujuklah kepada ulama atau pihak berkuasa agama setempat untuk mendapatkan kepastian bagi hukum syarak isu yang berkaitan,” jelas beliau.
Perbuatan Menyakiti Jenazah Dikira Sebagai Satu Bentuk Penganiayaan
Sebelum ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada Jumaat (13 Disember) lalu turut menjelaskan bahawa proses pembedahan, pembekuan dan pengawetan mayat adalah haram kecuali jika terdapat keperluan.
Ini kerana perbuatan itu menyakiti jenazah dan ia adalah satu bentuk penganiayaan serta amat menyalahi hukum syarak kecuali jika terdapat darurat tertentu.
Jelasnya lagi, jika terdapat sebarang keperluan mendesak, proses itu perlulah dilakukan dengan berhati-hati mengikut keperluan dan berdasarkan prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Sebagai contoh, penangguhan tersebut menyebabkan berlakunya perubahan pada tubuh jenazah, maka hukum mempercepatkan pengurusan jenazah tersebut menjadi wajib.
“Selain itu pengurusan mestilah dilakukan secara tertutup dan menjaga aib jenazah serta haram menyiarkannya secara terbuka,” jelasnya menerusi satu kenyataan.
Tidak Boleh Lewat & Perlu Segera Uruskan Jenazah
Malah, kenyataan itu turut menjelaskan Imam al-Nawawi dalam syarahnya menyatakan bahawa hadis riwayat Abu Hurairah RA menyarankan agar pengurusan jenazah disegerakan kerana ada hikmah yang pernah dinyatakan oleh Rasulullah SAW.
Menurut para ulama mazhab al-Syafi’I, proses menyegerakan pengurusan jenazah termasuklah proses mandi, solat dan pengebumian merupakan perkara sunat.
“Ulama mazhab al-Syafi’i tidak membenarkan melewatkan pengurusan jenazah melainkan untuk menunggu wali atau ahli keluarga yang terdekat selagi mana tidak mengubah keadaan jenazah.
“Selain itu, jika kelewatan itu disebabkan suatu maslahah tertentu, maka ia dibenarkan.
“Oleh itu, dalam melaksanakan proses pengurusan jenazah, ia mestilah dilakukan dalam keadaan penuh cermat dan berhati-hati supaya tidak menyakiti jenazah. Hal ini kerana menyakiti jenazah sama seperti menyakiti orang yang hidup,” jelasnya.
IRSYAD HUKUM SIRI KE-877: ISU PEMBEKUAN JENAZAH BAYI MUSLIM DI HOSPITAL SWASTA Soalan: Assalamualaikum Datuk Mufti,…
Posted by Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan on Thursday 12 December 2024
Baca Artikel Berkaitan: Jenazah Bayi Dibeku: Individu Selar Kenyataan Hospital Dakwa Ibu Bapa Tiada Sijil Kahwin
Baca Artikel Berkaitan: Isu Jasad Bayi Ditahan & Dibekukan 2 Minggu, Bapa Bayi Tampil Bersuara Jawab Semua Dakwaan