Meskipun seringkali dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, masih ada lagi segelintir pengguna yang mengabaikan peraturan yang ditetapkan.
Mungkin, ada segelintir pemandu atau penunggang motosikal yang beranggapan bahawa peraturan seperti mematuhi lampu isyarat terlalu remeh untuk diikuti terutama ketika jalan kelihatan lengang.
Pun begitu, tindakan pentingkan diri sedemikian boleh menjadi penyebab berlakunya kemalangan jalan raya sehingga menyusahkan orang lain.
95,298 saman langgar lampu merah direkodkan, kereta catat jumlah paling tinggi
Terbaharu, sebanyak 95,298 saman langgar lampu isyarat merah dikeluarkan sejak Januari hingga November tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kereta merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 44,889 saman.
Manakala motosikal pula merekodkan sebanyak 39,468 saman, lori (3,937) dan lain-lain kenderaan (7,004).
“Melanggar lampu isyarat merah bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menyebabkan kemalangan maut, terutama di kawasan persimpangan utama.
“JSPT tidak akan berkompromi dengan kesalahan ini, dan pemantauan serta penguatkuasaan akan dipertingkatkan,” katanya dipetik Utusan Malaysia.
JSPT ambil langkah pasang CCTV dan sistem kamera lampu merah di beberapa lokasi
Menurutnya lagi, antara langkah tambahan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem kamera lampu merah di lokasi tumpuan bagi mengesan pelanggaran secara lebih efektif.
“Di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pesalah boleh dikenakan denda minimum RM300 dan maksimum RM2,000,” katanya.
Berkongsi lanjut, Mohd Yusri berkata, JSPT juga menyeru pengguna jalan raya supaya lebih berdisplin dan mematuhi peraturan, apatah lagi ketika ini Malaysia bakal menjadi tuan rumah Pengerusi ASEAN 2025.
“Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama, kita semua perlu memainkan peranan dalam mengurangkan risiko kemalangan dan memperkukuhkan budaya patuh undang-undang.
“JSPT mengucapkan terima kasih kepada pengguna jalan raya yang terus mempamerkan tahap disiplin yang tinggi demi keselamatan semua,” katanya lagi.